Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

29 July, 2009

IMAM MUHAMMAD MUTAWALLI ASY SYA’ROWI

Syeikh Muhammad Mutawalli Asy Sya'rowi dilahirkan pada 16 April 1911 Masihi di Miyt Ghamr, Daqhiliah. Beliau adalah seorang imam yang memperjuangkan Islam sehingga digelar sebagai "Lampu Kebenaran". Beliau menghabiskan hidupnya dengan memperjuangkan kalimah Allah SWT, menerangkan Islam dengan kefahaman yang sahih, menafsirkan Al Quran dengan uslub / method yang tiada bandingannya hingga mampu menarik perhatian pendengar.

Beliau telah mendapat sijil tertinggi dari Kulliyyah Al-Lughah Al-‘Arabiah (Fakulti Bahasa Arab) pada tahun 1941 M dan Syahadah 'Alimiyyah dari Universiti Al-Azhar dengan kebenaran mengajar pada tahun 1943. Syeikh Sya'rowi pernah bertugas sebagai tenaga pengajar di banyak pusat pengajian Al-Azhar, malahan pernah dijemput oleh Kerajaan Arab Saudi untuk mengajar di Universiti King Abdul Aziz, Makkah Al- Mukarramah di Fakulti Syariah selama 10 tahun.

Kemudian, setelah kembali ke tanahair beliau dilantik sebagai Timbalan Pengetua di Ma'ahad Tanta pada 1960 dan dinaikkan pangkat sehingga akhirnya menjadi Menteri Waqaf dan Kementerian Hal Ehwal Al-Azhar pada tahun 1976 (di Malaysia seumpama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri – bahagian agama Islam). Beliau juga merupakan anggota Pusat Kajian Islam, dan pelbagai lagi badan-badan berkanun Mesir yang lain.

Sejak kecil lagi Syeikh Sya’rowi dikenali dengan nama As-Syeikh Al-Amin (yang beramanah). Beliau pernah dipenjara ketika masih menuntut di Ma'had Al-Azhar, Zaqaziq selama sebulan kerana mengadakan sambutan sempena mengingati Syeikh Sa’ad Zaghlul, iaitu seorang ulama Al-Azhar yang pernah bangun berjuang menentang kerajaan.

Beliau telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan ilmu yang tinggi, ingatan yang kuat serta peribadi yang sempurna. Seorang yang amat pemurah dan menafqahkan gaji yang diperolehi kepada pelajar-pelajar dan fakir miskin.

Syeikh Sya’rowi juga amat cinta kepada kaum keluarga Nabi SAW. Beliau lebih gemar tinggal berhampiran dengan kawasan Husain dan sentiasa menziarahi Maqam Saiyyidah Nafisah serta sentiasa menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul di perkarangan Masjid Husain.

Syeikh Sya'rowi juga merupakan seorang peniaga yang berjaya. Salah seorang anaknya, Ahmad berkata bahawa ayahnya telah mengkhaskan gaji kepada beberapa orang penduduk yang tinggal di Kaherah, Tanta dan Daqdus (kampung beliau). Beliau juga mengkhaskan bayaran ceramah di radio-radio dan televisyen serta tulisan-tulisan dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah untuk kebajikan. Wang 250 juta Pound Mesir (lebih kurang 73 juta US Dollar) yang merupakan hadiah daripada Raja Dubai telah didermakan sebanyak 500,000 Pound Mesir (lebih kurang 146,000 US Dollar) kepada pelajar-pelajar Al-Azhar termasuk pelajar-pelajar Malaysia dan yang selebihnya telah didermakan kepada Kementerian Waqaf untuk diedarkan kepada penghafaz-penghafaz Al-Quran.

Sebelum Syeikh Sya'rawi rneninggal dunia, beliau mengalami kesakitan yang parah pada dadanya menyebabkan beliau tidak mampu untuk bernafas dengan baik dan sakit tulang. Anak saudaranya yang bernama Hajjah Su’ad menyatakan bahawa sewaktu hampir saat kematian, beliau cuba untuk bangun dan berteriak dengan suara yang jelas sehingga didengari oleh orang yang berada di sekelilingnya, "Selamat datang wahai Husain ! Kamu telah datang sendiri berjumpa aku, aku gembira dengan kedatanganmu". Kemudiannya, beliau melafazkan ucapan hamdalah lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Syeikh Sya’rowi telah meninggalkan dunia ini pada tahun 1998 ketika berumur 87 tahun.

Jenazah beliau telah dikebumikan di kampungnya iaitu Daqdus berdasarkan wasiat beliau sendiri. Jenazahnya telah dibawa oleh anak-anak muridnya, penduduk kampung serta semua pencinta beliau. Hampir sejuta orang telah menghadiri upacara pengebumiannya.

2 comments:

Assyafi'e said...

Syukran us syauqi ats perkongsian biografi Syeikh Sya'rawi, ana peminat beliau, ceramahnya cukup memberi kesan lebih-lebih lg tafsir - assyafie.

Nafsah Dulajis said...

seronok baca kisah hidup beliau. syukran ust.