Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

20 August, 2010

Al-Quran diturunkan secara munjaman

Ada orang tertanya-tanya mengapa Al-Quran itu tidak diturunkan sekaligus seperti kitab-kitab samawi yang sebelumnya? Kenapa ia disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur, seolah-olah nabi itu sentiasa memikirkan bagaimana hendak mengarang ayat yang seterusnya?


Untuk menjawab persoalan ini, kita bentangkan firman Allah,


وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْلَا نُزِّلَ عَلَيْهِ الْقُرْآَنُ جُمْلَةً وَاحِدَةً كَذَلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ وَرَتَّلْنَاهُ تَرْتِيلًا

“Berkatalah orang-orang kafir, “Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun sahaja?”, demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacakannya secara tartil (teratur dan benar). (al-Furqan: 32)


Malahan di sebalik sedikit demi sedikit inilah cara terbaik yang membantu nabi untuk mengembangkan dakwah Islamiyah. Sebagai contoh dalam pensyariatan bahawa arak itu adalah haram.


Tatkala Islam baru muncul, orang Arab ketika itu sangat suka minum arak walaupun menyedari keburukannya. Oleh kerana ia sudah menjadi suatu tabiat yang lama, maka ia sukar dikikis dengan serta-merta.


Islam sebagai sebuah agama yang berhikmah mengharamkan minuman arak ini secara berperingkat-peringkat bermula dengan menerangkan bahawa perbuatan minum arak itu adalah aktiviti yang tiada kebaikannya. Firman Allah SWT:


وَمِنْ ثَمَرَاتِ النَّخِيلِ وَالْأَعْنَابِ تَتَّخِذُونَ مِنْهُ سَكَرًا وَرِزْقًا حَسَنًا

“Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur, kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal” (Al-Nahl: 67)


Menurut Ibnu Abbas, perkataan ‘sakara’ yang tersebut dalam ayat ini ialah minuman yang haram yang diperah dari buah tamar dan anggur itu; Manakala ‘rizqan hasana’ (makanan serta minuman yang halal), ialah buah-buah tamar dan anggur itu sendiri, dan benda-benda yang dibuat daripadanya seperti cuka dan lain-lain.


Daripada ayat ini juga difahami bahawa membuat arak daripada buah tamar dan anggur adalah bukannya rezeki yang baik dan halal.


Kemudian Allah SWT menjelaskan bahawa mudarat arak lebih banyak berbanding manfaatnya. Firman Allah SWT:


يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai arak dan judi. Katakanlah, “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya” (Al-Baqarah: 219)


Seterusnya diikuti dengan ayat yang melarang mengambil arak walaupun sedikit sebelum masuknya waktu solat;


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menghampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan” (Al-Nisa’: 43)


Setelah itu, barulah diturunkan ayat perintah yang muktamad mengharamkan arak. Allah SWT berfirman:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ () إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?)” (Al-Maidah: 90-91)


Oleh yang demikian, inilah salah satu rahsia dan hikmah Al-Quran itu diturunkan secara munjaman (beransur-ansur). Kita sedia maklum bahawa wahyu Al-Quran itu terbahagi kepada Makkiyyah dan Madaniyyah. Maka ia saling melengkapi.


Sebagai contoh dalam bab arak ini, ayat yang pertama di atas telah turun di Makkah menurut sepakat ulama’ tafsir. Penurunan sebegini sangat bersesuaian memandangkan situasi Islam yang baru hendak bertapak di bumi Makkah Al-Mukarramah. Berbeza dengan ayat-ayat selanjutnya yang telah diturunkan di Madinah Al-Munawwarah, secocok dengan keadaan umat Islam yang semakin bertambah bilangan dan kekuatan imannya.


Sekiranya Al-Quran diturunkan kesemua ayatnya sekaligus, nescaya tidak akan terserlah kehebatan dan mukjizatnya. Allah SWT juga tidak menghendaki mengejutkan manusia dengan hukum-hakam yang melampaui kemampuan dan keupayaan manusia. Penurunan ayat secara berperingkat ini berlaku menurut keadaan yang memerlukannya dengan mengambil masa selama 23 tahun.

Allah SWT berfirman:


وَقُرْآَنًا فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَى مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنْزِيلًا

“Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan ia supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang, (supaya mudah difahami dan dihafaz) dan Kami menurunkannya beransur-ansur” (Al-Isra’: 106)