Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

31 July, 2013

Tidak Bersih Islam Dengan Kekotoran Muslim



Saya ingin kongsikan sebuah artikel yang ditulis oleh al-Fadhil al-Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang juga dikenali sebagai Saiful Islam dalam Majalah i, bilangan 67, Mei 2008, bertajuk “TIDAK BERSIH ISLAM DENGAN KEKOTORAN MUSLIM”.

Sungguhpun artikel ini ditulis pada lima tahun yang lalu, namun saya merasakan ia tetap relevan dan ada kaitan ataupun wujud persamaan dengan isu “Alvin dan Vivian” yang kita dakwa mereka sebagai menghina kesucian bulan Ramadhan.

Berikut adalah kandungan artikel .....
**************
“Kita kena tunjukkan kepada orang-orang kafir yang kita orang Islam ini tidak semudah itu diperkotak-katikkan”, bentak seorang ‘pembela Islam’.

“Ya, biar mereka tahu siapa kita!”, tegas seorang yang lain.
“Ajar kafir laknat tu!”, berapi-apinya seorang  ‘pahlawan Islam’ yang seorang lagi.
 Tunjukkan! Buktikan! Biar mereka Nampak!

Itulah kalimah yang sering diulang-ulang dengan penuh emosi, atas alasan mahu mempertahankan kesucian Islam. Dan semakin kerap laungan itu diseru, semakin palsu kedengarannya di telinga. Bahawa Muslim memaksa dunia untuk mengakui kehebatan Islam.

Ironi sekali, isu penghinaan filem Fitna Geert Wilders muncul hampir serentak dengan laporan media bahawa buat kali pertamanya dalam sejarah, jumlah umat Islam sedunia telah mengatasi jumlah penganut Catholic, sebagaimana yang diumumkan oleh pihak Vatican City.

Sungguh memilukan. Tatkala Vatican City mengisytiharkan ‘kekalahan mereka’ kepada Muslim dari segi jumlah penganut, ketika itulah satu lagi siri penghinaan terhadap Islam muncul dalam versi filem pendek Fitna, hasil ‘kreativiti’ ahli politik berhaluan kanan Belanda, Geert Wilders.

Tiadakah sebarang makna kepada jumlah Muslim yang sebegitu ramai? Tidakkah sepatutnya jumlah seramai itu sudah cukup untuk menggertak musuh tentang ‘ketuanan Islam’? Bahawa Islam itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi mengatasinya? Bahawa, “jangan main-main dengan Islam!”

Persoalan-persoalan ini menghiris perasaan sesiapa sahaja yang merenung kehidupan ini dengan pandangan mata hati bahawa apa yang dicari adalah sebuah realiti, dan bukannya ilusi.

ILUSI DAN REALITI
Abu al-Hasan Ali an-Nadawi di dalam bukunya  إلى الإسلام من جديد (Kembali semula Kepada Islam). Di bawah tajuk “Antara ilusi dan realiti”  (بين الصورة والحقيقة), an-Nadawi telah memberikan suatu analogi yang sangat baik untuk difikirkan bersama.

An-Nadawi membayangkan bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah mati, dikenang oleh pengikutnya dengan membina sebuah patung yang besar dan amat menyerupai rupa pemimpin itu semasa hayatnya. Tetapi pada suatu hari, seekor burung datang bertenggek di atas hidung “pemimpin” tersebut dan melepaskan najisnya. Patung yang besar dan gagah itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap burung yang kecil itu, walaupun di kaki patung itu terpahat nama seorang pemimpin yang semasa hidupnya digeruni kawan dan lawan.

Mengapakah kejadian itu boleh berlaku? Mengapakah pemimpin yang hebat itu terhina hanya oleh seekor burung yang kecil?

An-Nadawi mengulas analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi versus realiti.

Patung itu walaupun besar, gagah dan hebat, malah memiliki peribadi seorang pemimpin yang agung semasa hidupnya, adalah hanya “seorang patung”. Ia hanya sebuah gambaran. Sebuah ilusi. Manakala burung tersebut, walaupun kecil dari segi saiznya, ia adalah burung yang hidup. Burung itu walaupun kecil, namun ia adalah realiti.

Sunnatullah telah menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Beginilah perihalnya kita ketika berhadapan dengan musuh. Jika kita membaca al-Quran dan meneliti ayat-ayat tentang Nasrani, kita akan dapati bahawa orang-orang Kristian hari ini amat menepati watak mereka seperti yang digambarkan oleh al-Quran. Maka orang-orang Kristian hari ini adalah Kristian sejati. Mereka adalah realiti. Pertembungan kita terhadap mereka adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Jika kita membuka lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka kita akan dapati bahawa keterangan al-Quran tentang karekter Yahudi amat selaras. Maka orang-orang Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita dengan Yahudi adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.
Namun, jika  kita amati keterangan al-Quran tentang ciri-ciri orang Islam dan Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?

Apakah ciri-ciri kita sebagai Muslim, sama dengan ciri Muslim yang digambarkan oleh al-Quran? Jika al-Quran yang pantang dihina oleh kuffar itu bercakap tentang kualiti Muslim pada akhlaqnya, pada aturan hidupnya, pada upaya dirinya ... apakah kita semua wahai kaum Muslimin, sama seperti apa yang digambarkan oleh al-Quran?

BERCAKAPLAH DENGAN JUJUR...

Bahawa sesungguhnya kita amat jauh dari al-Quran. Kita amat berbeza dari keterangan al-Quran tentang diri kita yang sebenar. Dalam erti kata yang lain, dunia ini didiami oleh Yahudi dan Nasrani yang hakiki dan realiti, ketika Muslimnya hanya sekadar ilusi. Sunnatullah menetapkan realiti sentiasa mengatasi ilusi, biar pun ilusi itu besar jumlahnya, mengatasi Catholic buat pertama kali dalam sejarah, bagai laporan Vatican City tempoh hari.

Betapa perbuatan kita itu telah menimbulkan kekeliruan dan kesulitan yang amat sangat untuk manusia mengenal dan memahami apa itu Islam. Yusuf Islam (Cat Stevens) sendiri mengakui, beliau bertuah kerana bertemu Islam sebelum bertemu Muslim! Golongan yang mahu mengenali Islam, terpaksa mengambil jalan yang susah untuk mempelajarinya kerana mereka terpaksa memaksa diri untuk mengasingkan al-Quran dan Islam Tekstual, dengan Muslim dan kelakuannya yang ada di depan mata.

Tanyalah kepada bangsa Melayu di bumi ini, mengapakah selepas 50 tahun kita berkongsi tanah hidup selorong dengan kaum Cina dan India yang tidak Islam itu, jumlah mereka yang terbuka hati kepada Islam masih terlalu kecil? Bukan sahaja kecil, malah ketakutan terhadap Islam dan Muslim bertambah-tambah! Tanyalah kepada tokoh yang memeluk Islam seperti Ustaz Hussein Yee atau Ustaz Farid Ravi, Brother Shah Kirit atau Brother Lim Jooi Soon, Sifu Nasir dan ramai lagi, bagaimanakah jalan dan liku mereka mencari Islam di celah-celah Muslim?

Oleh kerana itu, saya menyeru kepada diri saya dan kita semua, bahawa sebelum kita mahu bangkit melenting dengan penghinaan sesiapa terhadap Islam, tanyalah kepada diri sendiri, apakah Islam itu selama ini mulia di tangan kita? 

Apakah Islam berjaya diperlihatkan kemuliaannya dengan adanya kita ini sebagai Muslimnya? Apakah nilai yang ada pada kita untuk mengangkat kemuliaan Islam?

Sesungguhnya, sebelum Salman Rushdi atau Geert Wilders muncul dengan penghinaannya terhadap Islam secara bermusim, kitalah si kaum Muslim yang menghina Islam sehari-harian dengan kemunduran akal, akhlaq dan segala yang kita ada atas nama Islam!

TIDAK LAYAK KESUCIAN ISLAM DIBELA OLEH KEKOTORAN MUSLIM

Tidak akan terbela Islam oleh hati, mulut dan tangan yang kotor seperti hati, mulut dan tangan kita. Allah tidak akan izinkan IslamNya diperjuangkan oleh manusia pengotor seperti kita. Tidak bersih palitan lumpur jika air yang menyimbahnya juga cemar dan cela.

Sesungguhnya proses untuk memperjuangkan kesucian Islam sebenarnya adalah proses menyucikan Muslim. Semasa kita menyucikan diri dari pemikiran, amalan dan akhlaq yang kotor, ketika itulah kemuliaan Islam akan menyerlah.

Sucikanlah dirimu wahai Muslim, nescaya mulialah Islam, tanpa dipaksa-paksa, tanpa diminta-minta. Tidak ada apa yang perlu kamu buktikan kepada dunia dengan tempik sorak itu. Ditertawa ketika melawak adalah biasa. Tetapi ditertawa ketika menunjuk marah, itulah kemuncak hina.

Sesungguhnya kegerunan musuh kepada kamu hanya akan muncul apabila kamu layak digeruni, iaitu apabila Islam dan Muslim, kembali bersatu. Tiada lagi Islam di satu lembah, dan Muslim di satu lembah yang lain. Penghormatan dunia kepada Islam dan Muslim tidak perlu dipaksa-paksa, tidak perlu didesak-desak. Hormat datang sendiri ... apabila kita layak menerimanya.


“Hampir tiba masanya kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain (musuh-musuh kamu), sebagaimana orang-orang lapar mengadap hidangan di dalam jamuan”. Sahabat bertanya, “apakah semua itu berlaku disebabkan oleh jumlah kami yang sedikit?”. Rasulullah S.A.W menjawab, “bahkan ketika itu jumlah kamu amat ramai, tetapi ramainya kamu tidak lebih dari seumpama buih di permukaan banjir. Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa gerun mereka terhadap dirimu, dan dimasukkan ke hatimu penyakit AL-WAHAN”. Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulallah, apakah al-wahan itu?” Jawab Rasulullah SAW “ialah cinta dunia dan takut menghadapi maut”. (Hadith riwayat Abu Daud daripada Sauban).

Oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil @ Saiful Islam

21 July, 2013

BERSAHUR




Ibnu Umar(ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengirim rahmat ke atas mereka yang makan sahur. "
Betapa besarnya kurnia Allah ke atas kita sehinggakan makanan yang diambil ketika bersahur untuk berpuasa pun diganjari dengan banyaknya. Terdapat banyak hadis yang menyatakan kelebihan bersahur dan ganjaran-ganjarannya juga dinyatakan.

Pengulas Sahih Bukhari, Allamah Aini telah menukilkan kelebihan bersahur daripada tujuh belas orang sahabat yang berlainan dan kesemua ulama bersetuju bahawa bersahur adalah mustahab (disukai). Kebanyakan orang sering terlepas daripada ganjaran besar ini semata-mata kerana kemalasan mereka. Setengahnya sudah tarawih, mereka lantas makan (yang disangka mereka itulah makanan sahur) lalu pergi tidur. Betapa besarnya berkat yang telah mereka rugi ! 

Sahur sebenarnya bermaksud mengambil makanan sebelum hampir waktu subuh menjelang. Setengah ulama mengatakan bahawa waktu sahur bermula selepas sebahagian daripada malam berlalu.

Pengarang Tafsir al KasySyaff (Zamakhsyari) telah membahagikan malam kepada enam bahagian, dan menunjukkan bahagian yang terakhir adalah waktu sahur. Oleh itu, apabila malam (iaitu setelah matahari terbenam sehingga subuh) mengambil masa sebelas atau dua belas jam, maka dua jam yang terakhir adalah waktu yang tepat untuk bersahur. Maka hendaklah diingat juga bahawa mengambil makanan pada waktu yang paling lewat terlebih besar ganjarannya daripada makan pada waktu awal dengan syarat tidak ada keraguan bahawa makanan sahur telah diambil sebelum subuh. Banyak sekali hadis-hadis yang memberitahu tentang kelebihan bersahur.

Rasulullah (saw) bersabda: "Perbezaan di antara puasa yang kita lakukan dengan yang dilakukan oleh Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak melakukannya." Baginda bersabda lagi: "Bersahurlah kerana di dalamnya terdapat berkat yang besar, dan lagi, terdapat keberkatan di dalam tiga perkara iaitu dalam jamaah, di dalam makanan 'tharid' dan bersahur. "

Di dalam hadis ini, penggunaan perkataan jamaah adalah bersifat umum, yang mana dapat disimpulkan bahawa ia termasuk solat berjamaah dan lain-lain amalan kebaikan yang dilakukan secara berjamaah kerana pertolongan Allah datang kepada mereka. Tharid adalah sejenis makanan yang enak yang diperbuat daripada roti bakar yang dimasak bersama daging. Perkara ketiga yang disebutkan di dalam hadis ini ialah sahur. Apabila Rasulullah (saw) mengundang mana-mana sahabatnya untuk makan sahur bersama-samanya, baginda selalu bersabda: "Marilah mengambil makanan yang berkat ini bersama-samaku."

Di dalam sebuah hadis dinyatakan bahawa: "Bersahurlah dan perkuatkan puasamu. Dan tidurlah selepas pertengahan (qailulah) untuk membantumu bangun pada akhir malam (untuk beribadah). "

Abdullah bin Harith (ra) meriwayatkan bahawa seorang sahabat telah berkata: "Suatu ketika aku menziarahi Rasulullah (saw) tatkala baginda sibuk bersahur. Kemudian, Rasulullah (saw) bersabda: 'Inilah perkara yang penuh dengan keberkatan