Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

21 February, 2012

MENGUMPAT YANG DIHARUSKAN


Memang benar, mengumpat adalah haram dalam Islam. Mereka yang melakukannya telah melakukan perkara yang berdosa besar.

Umpatan bermaksud mengatakan sesuatu tentang seseorang di belakangnya yang andaikata diketahuinya pasti tidak akan disenangi olehnya. Perkara yang dikatakan
itu mungkin berkaitan dengan keaiban dan kekurangan yang ada pada fizikal, keturunan, kelakuan, perbuatan, perkataan, dunia atau agama seseorang. Malah jika ianya berkaitan dengan pakaian, rumah serta kenderaannya sekalipun, ia tetap dihukum sebagai mengumpat. (Ihya Ulumuddin bab Bahaya Lidah)

Di zaman Rasulullah telah berlaku insiden di mana Maiz bin Malik Al-Aslami telah berzina, maka dia pun dihukum oleh Rasulullah. Seorang lelaki, ketika melihat Maiz sedang dihukum, telah berkata kepada rakannya: "Orang ini mati di tempatnya seperti matinya anjing di tempatnya." Ketika mereka beredar, mereka telah bertemu dengan seketul daging bangkai di tepi jalan. Ketika itu Nabi terus bersabda kepada mereka: "Apa yang kamu perolehi dari (umpatan ke atas saudaramu) adalah lebih busuk dari bangkai ini." (Riwayat Abu Daud & An-Nasai – Isnad Hasan / Baik)

Namun pada ketika tertentu mengumpat adalah diharuskan. Imam Nawawi telah menetapkan enam keadaan di mana mengumpat adalah diharuskan.

1-Ketika Dizalimi. Orang yang dizalimi boleh bersuara untuk mengadu tentang perbuatan orang-orang yang telah menzaliminya. Dalam al-Azkar Imam an-Nawawi telah berkata: "Adalah harus bagi yang dizalimi mengadu kepada sultan, qadhi atau mereka yang lain yang mempunyai kekuasaan atau kemampuan untuk menghilangkan kezaliman daripada dirinya. Nabi telah bersabda: "Sesungguhnya orang yang mempunyai hak itu mempunyai perkataan (berhak untuk bersuara)." Bukhari – Muslim

Jika yang melakukan kezaliman itu ialah orang-orang atasan, kita hendaklah menceritakan tentang perkara ini kepada mereka yang lebih berkuasa daripada mereka, agar tindakan dapat dilakukan secara berkesan. Imam al-Ghazali telah berkata: "Jika yang melakukan kezaliman itu ialah seorang Hakim, seseorang itu berhak mengadu tentang kezaliman itu kepada pihak pemerintah." (Ihya Ulumuddin bab Mengumpat)

2- Ketika Meminta Pertolongan Untuk Mencegah Kemungkaran. Menceritakan kemungkaran yang dilakukan seseorang bertujuan untuk mendapatkan bantuan untuk mencegahnya, adalah diizinkan. Dalam Ihya Ulumuddin telah dilaporkan, "Ketika sampai berita kepada Umar bahawa Abu Jundul telah membuat
arak di Syria, beliau terus menulis surat untuk menegurnya. Abu Jundul terus bertaubat dan Umar tidak berpendapat bahawa berita yang sampai kepadanya itu adalah suatu umpatan."(Ihya bab Mengumpat)

3- Ketika Meminta Fatwa. Di haruskan menceritakan tentang keaiban orang lain kepada yang berilmu untuk mendapatkan fatwa darinya. Tanpa maklumat itu, berkemungkinan hukum dan fatwa tidak akan dapat diberikan secara tepat. Dalam konteks ini, seorang isteri yang tidak mendapat hak dari suaminya harus menceritakan tentang ketidakadilan suaminya untuk mendapatkan fatwa dan nasihat dari orang-orang yang layak. Kes yang seperti ini telah berlaku di zaman Rasulullah. Pada suatu ketika Hindun binti Utbah telah bertanya kepada Rasulullah tentang suaminya (Abu Sufyan) yang bakhil. Beliau berkata: "Dia tidak memberikan harta yang mencukupi bagiku. Bolehkah aku mengambil hartanya tanpa pengetahuannya?" Jawab Rasulullah: "Ambillah secara yang mencukupi untuk diri dan anakmu secara yang makruf."(Bukhari –Muslim)

4- Ketika Mengingatkan Orang Islam Dan Menakutkan Mereka Tentang Sesuatu Kejahatan Dan Bidah. Masyarakat perlu disedarkan tentang kumpulan-kumpulan dan tokoh-tokoh sesat di dalam masyarakat (contohnya Ayah Pin) agar mereka dapat berwaspada dari golongan-golongan ini. Mendedahkan tentang mereka tidak dianggap sebagai suatu umpatan malah kadangkala ianya merupakan suatu tuntutan. Rasulullah pernah bersabda: "Aku tidak yakin bahawa si pulan dan si pulan mengetahui tentang agama sedikitpun."(Bukhari) Di dalam hadis ini Nabi telah menceritakan tentang keaiban dua orang munafik agar sahabat-sahabat berwaspada dengan tindak tanduk mereka. Imam Al Ghazali telah berkata: "Apabila kamu melihat seorang alim sering mendatangi seorang pembuat bidaah atau kefasikan, dan kamu takut bidaah itu menular kepadanya, maka kamu berhak menceritakan tentang keaiban orang itu kepada si alim tadi. Yang menggerakkan kamu melakukannya ialah ketakutan menjalarnya bidaah dan kefasikan dan bukan disebabkan oleh faktor-faktor lain.”(Ihya Ulumuddin bab Mengumpat)

Tambahan dari itu, Imam Nawawi dalam al-Azkar, telah berkata: "(Antara perkara yang harus diumpatkan) ialah tentang mereka yang mempunyai kekuasaan tetapi tidak menggunakannya di atas jalan yang hak ataupun mereka ini merupakan orang-orang yang fasik, lalai dan yang seumpamanya. Ketika itu wajib diberitahu kepada pemimpin tertinggi agar dilucutkan jawatannya dan digantikannya dengan seorang yang lebih layak."

5- Umpatan ke Atas Mereka Yang Menzahirkan Maksiat. Mereka yang sanggup mengiklan dan mendedahkan kemaksiatan tanpa berasa malu dan segan, tidak layak untuk dihormati. Umar Al Khattab pernah berkata: "Tidak ada kehormatan ke atas orang-orang yang fajir." Imam Al-Ghazali telah mentafsirkan kalimat ‘fajir’ ini sebagai "yang melakukan kefasikan secara terang-terangan tanpa selindung."(Ihya Ulumuddin bab Mengumpat) Justeru, apabila seseorang menceritakan tentang golongan yang sanggup menzahirkan maksiat tanpa perasaan segan-silu, ia tidak dianggap sebagai mengumpat. Imam Al-Ghazali telah menegaskan: "Orang-orang lelaki yang menampakkan dirinya sebagai wanita, mereka yang mempunyai tempat minuman keras di mana arak diminum secara terang-terangan dan mereka yang meminta harta menusia secara paksaan, kesemua mereka adalah termasuk di dalam golongan yang menzahirkan perbuatan keji dan dengan itu tidak memelihara diri mereka dari disebut-sebut. Apabila kamu menceritakan tentang mereka dan maksiat yang mereka zahirkan, maka kamu tidak berdosa.”(Ihya Ulumuddin bab Mengumpat)

Pemimpin yang memperkecilkan syariat Allah secara terang-terangan adalah termasuk di dalam golongan yang tidak layak untuk dihormati. Imam Hasan Al-Basri telah berkata:"Tiga golongan manusia boleh diumpat, iaitu, yang mengikut hawa nafsunya, yang melakukan kefasikan secara terang-terangan dan imam (pemimpin) yang zalim.”(Ihya Ulumuddin bab Mengumpat)

6- Ketika Memberi Gelaran Kepada Seseorang Untuk Pengenalan Pada Ketika Yang Diperlukan. Jika dalam sesebuah kampung ramai daripada penduduknya bernama Muhammad, harus diberikan gelaran khusus bagi setiap seorang daripada mereka untuk memudahkan pengenalan. Sebagai contoh, seorang digelar dengan Muhammad Surau, seorang dengan Muhammad Tomyam, Muhammad Bisu dan seumpamanya.

Rujukan:

1- Al Azkar, Imam Nawawi, Dar al-Kitab al-Gharbiy, 1979.
2- Ihya Ulumuddin, Al-Ghazali, Pus. Nasional, 1981
3- Bahan Berdakwah Bagi Remaja Moden karangan Dr Danial

16 February, 2012

Dosa Mengumpat



Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain.

Rasulullah S.A. W. menjelaskan mengenai mengumpat separti sabdanya bermaksud "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim)

Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.

Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. (adooii...)
Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat. ( ya ALlaaaah...)

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.

Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah S.A.W. "wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya,
dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud :
"Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering".

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya ?".

Maka Allah menjawab :"Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.

http://www.youtube.com/watch?v=I3lkCu3vlFE

12 February, 2012

~PENGANTIN DI ALAM BARZAKH~

Pengantin...
untuk semua...
Pada suatu masa yang ditetapkan...

Kita pasti dirisik..
Pertunangan sejak azali..
Di hujung hidup nanti..

Berlangsungnya perkahwinanmu dengan maut..
Hantarannya..sakit dan nazak..
Tamu bertandang menghadiahkan esak tangis..
Pengantin dimandikan..

Dipakaikan baju cantik putih..
Wangian gaharu dan cendana..
Keranda jadi pelaminan..
Pengantin bersanding sendirian..

Di arak keliling kampung..
Berkompangkan azan dan kalimah kudus..
Akad nikahnya bacaan talkin..
Berwalikan liang lahad..

Saksi pula nisan-nisan..
Siraman air mawar..
Keluarga terdekat menepung tawar..
Tiba masa pengantin..
Menunggu sendirian..

Malam pertama bersama KEKASIH..
Di kamar bertilamkan tanah..
Dan Dia menuntut janji..
Sucikah kita tatkala berpadu..

Pernahkah taubat sepanjang hayat.. ?
Atau terkubur bersama dosa-dosa...
Dan Dia Kekasih itu..
Menetapkanmu ke syurga..
Atau melemparkan dirimu ke neraka

01 February, 2012

Semua akan dikehendaki hadir tanpa sebarang pengecualian.

KEKOSONGAN JAWATAN:
  1. Ahli Syurga Dari Awal.
  2. Ahli Neraka Dari Awal.
  3. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A):

  1. Nikmat kubur.
  2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
  3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
  4. Syurga yang kekal abadi.

TARIKH TEMUDUGA:
Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA:
Di dalam kubur (alam barzakh).

KELAYAKAN:

  • Anda tidak perlu bawa siji-sijil.
  • Anda tidak perlu bawa pingat.
  • Anda tidak perlu bawa wang atau harta (yg banyak).
  • Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
  • Sila bawa dokumen asal Iman dan Amal.

PANEL/PENEMUDUGA:
Munkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR:

  1. Siapa Tuhan anda?
  2. Apa Agama anda?
  3. Siapa Nabi anda?
  4. Apa Kitab anda?
  5. Di mana Kiblat anda?
  6. Siapa Saudara anda?

CARA MEMOHON:

Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu. Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:

Hadis hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini:
Sabda Rasullah SAW:

Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara terompah (kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan di sebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan di hujung dua kakinya. Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat: dari arasku tidak ada jalan masuk.

Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal kebajikan: dibahagianku tidak ada jalan masuk. Maka malaikat berkata kepadanya: Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) diperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu: Apakah pandangan kamu tentang seorang lelaki yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya?

Maka berkata mayat itu:
Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang.

Maka berkata malaikat:
Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang lelaki yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya?

Maka berkata mayat itu:
Lelaki itu ialah Nabi Muhammad saw dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad
saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Maka malaikat berkata kepada mayat itu:
Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula di akhirat Insya'Allah.

Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikatakan padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya.

Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya"

Nampaknya pertahanan kita perlu kuat dari semua aras (kepala, kanan, kiri dan hujung kaki).!

اللهم صلّ على سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه وسلم

Wallahu-a'lam