Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

26 November, 2009

Salam Aidil Adha dari Padang Pasir


Doakan kami anak-anak perantauan agar berjaya dalam pengajian masing-masing.
Diucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada para pengunjung blog ini juga terutama sahabat-sahabat dan siapa jua yang mengenali diri yang tak terkenal ini.
wassalam

23 November, 2009

Sejarah korban bukan sekadar cerita


Apabila disebut sahaja Hari Raya Aidiladha, ia pasti mengingatkan kita tentang sejarah pengorbanan hamba yang soleh dan nabi yang mulia, serta puteranya pemuda yang sabar dan sanggup menjunjung perintah Allah walaupun sampai mengorbankan jiwa.

Nabi Ibrahim, Hajar dan Nabi Ismail alaihimus salam telah menunjukkan gambaran kepatuhan yang tidak ada taranya. Allah telah mengabadikan sebutan baik keluarga ini hingga ke akhir zaman dengan diturunkan ayat yang diabadikan pembacaannya di dalam al-Qur'an:

Maksudnya: “Apabila anak yang di sampingnya sudah boleh berusaha, dia pun berkata kepada anaknya: Wahai anak kesayanganku, aku melihat di dalam mimpiku aku menyembelihmu, perhatikanlah bagaimana pendapatmu. Anak yang setia itu pun berkata: Wahai ayahku, buatlah apa yang telah diperintahkan kepadamu, ayah akan dapati saya, insya'Allah dari golongan orang yang sabar. Apabila mereka berdua telah berserah bulat dan Ibrahim telah membaringkan anaknya atas pelipisnya. (Allah berfirman) Kami pun menyerunya: Wahai Ibrahim, sungguh engkau telah menepati mimpimu, sesungguhnya begitulah Kami membalas orang-orang yang melakukan kebaikan. Sesungguhnya inilah suatu ujian yang nyata. Maka Kami tebus dia dengan suatu penyembelihan yang besar. Dan Kami abadikan baginya sebutan yang baik di kalangan orang di belakangnya (iaitu) "sejahtera atas Ibrahim".” (Ash-Shaaffat: 102-109)

Itulah suatu gambaran bagi sejarah kesetiaan keluarga Ibrahim yang menjadi contoh yang baik bagi keluarga-keluarga yang soleh lagi setia kepada perintah Allah. Ayah yang taat, anak yang redha dan ibu yang sabar.

Sejarah ini bukan setakat untuk ditunjukkan menjadi suatu cerita yang dibaca dan diulang, tetapi ianya perlu dihayati kerana ia mengandungi pengertian bagaimana sesebuah keluarga itu perlu bekerjasama dalam menjalankan sesuatu perintah Allah swt.

Bukan mudah bagi seorang ayah hendak mengorbankan anak sendiri, sedangkan usaha untuk mendapatkan zuriatnya itu telah mengambil masa yang sangat lama. Sehingga terpaksa berkahwin dengan seorang isteri lagi. Apabila telah mendapat anak, lalu dimanja dan diberikan belaian penuh kasih sayang tiba-tiba hendak dikorbankan pula.

Tiada ibu yang sanggup melihat anaknya mengalami kesusahan dan kesakitan. Sedangkan anak yang mengalami luka sedikit pun, si ibu sudah riuh, inikan pula anaknya yang akan disembelih hidup-hidup oleh ayah sendiri. Namun kedua-dua ibubapa yang beriman ini sangat patuh tanpa berdalih dan banyak soal kepada Tuhan mereka, malahan taat dengan perintah yang telah diberikan. Mereka yakin ini adalah ujian Allah swt ke atas mereka dan optimis di sana pasti ada hikmahnya.

Walaupun ketika hendak melaksanakan perintah Allah ini mereka telah dihasut iblis yang menyerupai seorang syeikh yang menasihati mereka agar tidak menjalankan perintah tersebut. Kerana perintah atau wahyu ini datangnya hanya dengan mimpi dan yang akan disembelih pula seorang anak lelaki yang sudah remaja yang telah mampu berusaha, tentunya ini perkara yang tidak wajar dan sukar dibuat, iblis terus menggoda dan mengekori mereka. Tetapi mereka menyedari hasutan iblis ini lalu mereka merejamnya. Itulah simbolnya melontar jamrah yang disyariatkan pada setiap musim haji.

Begitulah gambaran keluarga yang sabar lagi patuh kepada perintah Allah dan seorang anak remaja yang menghabiskan usia remajanya dengan kepatuhan dan ketaatan terhadap Allah swt. Inilah anak muda yang kemudiannya diangkat menjadi rasul memimpin umat ke arah hidayah Allah.

04 November, 2009

Rahsia Penyembelihan Dalam Islam

Masyarakat bukan Islam di Barat terus mempersoalkan mengapa Islam membenarkan perbuatan ‘kejam dan ganas’ terhadap haiwan. Barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap perbuatan menyembelih haiwan yang dilakukan umat Islam mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana banyak darah tertumpah ke bumi terutama ketika amalan korban pada Aidiladha.

Malah, ketika kempen keganasan sibuk dilancarkan oleh Barat, mereka menggunakan alasan amalan korban ini sebagai satu daripada hujah mereka bagi membuktikan betapa Islam mengajar umatnya menjadi ganas.

Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya haiwan dikenakan kejutan elektrik di kepala sebelum dibunuh, kononnya bagi memastikan haiwan itu pengsan terlebih dulu sebelum ia dibunuh. Selain itu, kononnya tindakan mereka itu bertujuan untuk menghalang binatang berasa sakit sebelum ia mati. Tetapi sekali lagi, apakah pandangan Barat ini benar?

Pendirian Islam mengenai apa yang boleh dimakan dan apa yang diharamkan adalah jelas terutama membabitkan daging.

Dalam Surah al-Maidah ayat 5, Allah menyatakan:

حرمت عليكم الميتة والدم ولحم الخنزير وما أهل لغير الله به والمنخنقة والموقوذة والمتردية والنطيحة وما أكل السبع إلا ما ذكيتم وما ذبح على النصب

"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala." (Tafsir al-Rahman, Jakim).

Selain itu, Islam juga mengharamkan memakan daging haiwan tanpa disembelih seperti mencucuk leher, menghempap dengan batu atau cara selain daripada sembelihan. Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Kaedah ini dikaji pakar Jerman.

Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar. Kajian itu bertajuk, `Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing', menyimpulkan kaedah Islam terbaik kerana lebih berperikemanusiaan.

Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada haiwan. Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu.

Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP). Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP.

Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan. Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit.

Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan. Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan.

Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.

Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan itu. Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan.

Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia. Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas A & M dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada. Ia menyatakan, kaedah kejutan pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi) menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang haiwan itu.

Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan saraf tunjang adalah bahagian yang paling terjejas teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke daging. Malah, lebih menggemparkan, kaedah ini digunakan ke atas 30 hingga 40 peratus lembu yang dimatikan untuk diambil dagingnya di Amerika Syarikat.

Malah, kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia juga mendapati daging menjadi lebih lembut berbanding daging yang tidak disembelih menurut Islam seperti ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelihan dan tidak disembelih. Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia.

Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan dengan lebih baik. Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW pernah mengarahkan supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi mengurangkan rasa sakit.

إن الله كتب الإحسان على كل شيء، فإذا قتلتم فأحسنوا القتلة، وإذا ذبحتم فأحسنوا الذبحة، وليحد أحدكم شفرته وليرح ذبيحته.

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan agar berlaku ihsan terhadap semua perkara. Sekiranya kamu hendak membunuh/mematikan hendaklah perelokkan caranya. Jika kamu hendak menyembelih maka perelokkanlah cara sembelihan itu, dan hendaklah kamu menajamkan pisau/parang itu serta selesakanlah kedudukan/keadaan binatang sembelihan itu.”

Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan dengan pantas bagi memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan kepada otak. Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih. Pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang. Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya, kata Dr Aisha El-Awady, yang menulis dalam Islamonline pada 2003.

Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad SAW juga menegaskan, adalah tidak wajar seseorang penyembelih, menajamkan pisaunya di depan haiwan yang akan disembelih atau menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain. Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha menyatakan, kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang. "Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih. Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging. Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma," kata Aisha dalam kajiannya.

Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat berkempen supaya menggunakan kaedah Islam ketika proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman mereka terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Oleh : Meor Hisham Zulkifli (Sumber : Berita Harian)

01 November, 2009

Darul Quran

DARUL QURAN (KHUSUS UNTUK PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA DI MESIR)

Tawaran Talaqqi Al-Quran Bersanad

Apa itu sanad?
Sanad ialah pengajian talaqqi secara tahsinat makhraj huruf dan tajwid khas dengan seorang Syeikh yang tidak putus daripada Jibril a.s, Nabi SAW, para sahabat, tabien sehinggalah generasi sekarang. Bagi mereka yang layak mendapat ijazah sanad, mereka juga layak untuk menurunkan ijazah sanad kepada anak muridnya.

Anda ingin TALAQQI AL-QURAN dengan masyaikh Mesir.

Anda inginkan ijazah sanad Al-Quran riwayat Hafsin daripada ‘Asim dan Qiraat 10 seperti Warasy, Qalom dan lain-lain.

PERCUMA- Tashih Bacaan Surah al-Fatihah dan lain-lain secara ringkas.

Tawaran TALAQQI AL-QURAN ini dibuka sepanjang tahun.
Syarah Matan Syatibi dan Sanad Tajwid (Tuhfatul Atfal)
Ijazah dan sanad boleh diterjemah di Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK)
Pengajian Al-Quran bersanad ini boleh tamat mengikut masa yang dikehendaki oleh pelajar.
Saudara-saudari hanya perlu menghantar nama negeri, muhafazah dan nombor telefon melalui SMS SAHAJA untuk tempahan tempat.

Di antara syeikh-syeikh yang hebat akan membimbing anda seperti Syeikh Nabil dan syeikh-syeikh lain yang terkenal.

TAWARAN BACAAN AL-QURAN BERSANAD DI MUHAFAZAH / RUMAH NEGERI

Wakil Iskandariah – Ustaz Khairul Nizam bin Mohd Rozali
Mansuroh – Sayyidah Zainab – ARMA – Abdul Ar Rasul – muhafazah-muhafazah – dan lain-lain tempat di mana anda berada
Sudah bermula di BKAN-BKAN !
BKAN Kuala Lumpur, Johor (baru) dan Kedah (baru)

TAWARAN SEPANJANG TAHUN
Pakej Talaqqi Al-Quran Bersanad
Pakej Pengajian Khas Ilmu Tajwid (Ghaayatul Muriid fii ‘ilmit-Tajwiid) 25 jam
Pakej Kursus Intensif Bahasa Arab (Lavel atau Komunikasi)
Kelas ilmu-ilmu Islam dan turath
Kelas tambahan bagi muqarrar kuliah dan lain-lain

Untuk keterangan lanjut sila hubungi: USTAZ CHE ENGKU OMAR BIN CHE ENGKU MAHMOD
H/P: 010-9502889, 02 2262 9237
E Mail: murni_2009@yahoo.com

BELAKANG RUMAH SELANGOR, BERHAMPIRAN RUMAH SARAWAK, KOMPLEKS PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA, TOOB EL-RAMLY, EL HAYYU ‘ASYIR, MADINAH NASR, KAHERAH, REPUBLIK ARAB MESIR