Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

26 April, 2009

Al-Azhari dan Al-Quran


Alif Laam Ra. Sebuah kitab yang tersusun ayat-ayatnya dan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu, (susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya. (Hud:1)

Hampir lima tahun saya berada di bumi Mesir ini dan telah menyaksikan pelbagai ragam Azhari Malaysia. Salah satu daripadanya adalah tentang mutu pembacaan Al-Quran Al-Karim. Saya tidak berniat untuk merendah-rendahkan segelintir mahasiswa Al-Azhar yang masih lemah bacaannya samada dari segi hukum tajwid Al-Quran dan makhraj hurufnya. Tambahan pula, saya juga adalah sebahagian daripada mereka.

Apa yang ingin disentuh di sini adalah berkenaan bagaimana persiapan graduan Al-Azhar apabila pulang ke tanahair satu masa nanti yang mana, rata-rata lepasan universiti ini akan melibatkan diri dalam bidang dakwah ataupun pendidikan. Sudah pasti mereka akan dipinta untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat dengan memenuhi jemputan berceramah, mengajar dan seumpamanya. Walhal, antara intipati utama dalam sesebuah ceramah agama ialah dalil-dalil Al-Quran Al-Karim dan Hadith Nabi SAW. Ianya adalah umpama lauk dalam hidangan. Nasi yang dimakan tidak akan enak jika tiada lauk-paukdalam jamuan tersebut.

Keadaan akan lebih mengecewakan jika ayat-ayat Al-Quran mahupun hadith itu tidak dapat disampaikan dengan bacaan yang betul dan tepat. Bukankah hal tersebut memalukan?

Saya yakin, umum masyarakat meyakini bahawa Al-Quran adalah sumber cahaya bagi orang-orang yang beriman. Allah berfirman yang mafhumnya: "Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran sebagai ruh (yang menghidupkan hati) dengan perintah Kami". (Al-Syura:52)

Namun begitu, fakta begini dikhuatiri sedikit ternafi disebabkan pembacaan yang tidak lancar.

Sekali lagi, saya tidak bermaksud memandang sebelah mata kepada mereka yang ingin menyampaikan ilmu agama tetapi tidak elok bacaan Al-Qurannya! Bagi saya, usaha dan keinginan mereka untuk berkongsi ilmu amatlah dihargai dan dipuji. Cuma jika saya boleh mengumpamakan senario ini seperti seseorang yang ingin menghadiahkan permata-permata yang indah tetapi dalam keadaan berterabur dan berselerak. Bagaimana perasaan penerima hadiah tersebut?

Motif utama tulisan ini adalah ingin menyeru diri al-faqir dan para pembaca sekalian terutama sekali mereka yang terlibat dalam pengajian agama agar berusaha untuk memperbaiki mutu bacaan Al-Quran. Bukan bertujuan untuk dilabelkan sebagai 'penceramah yang hebat', tetapi demi mengharapkan keredhaan Allah.

Hadith Nabi SAW yang mafhumnya lebih kurang, "Seseorang yang ahli dalam Al-Quran akan bersama para malaikat pencatat yang mulia. Dan seseorang yang tersekat-sekat bacaannya (di samping berusaha untuk memperelokkannya) akan mendapat dua ganjaran"
au kama qaalan Nabi SAW

Bagi mahasiswa-mahasiswa yang menuntut di bumi Mesir ini, peluang untuk bertalaqqi Al-Quran dengan para Qurra' Al-Misriyyin sangat cerah dan tidak patut dipersia-siakan. Saya yakin peluang yang sama turut diperolehi oleh sahabat-sahabat yang belajar di negara-negara Arab yang lain. Saya juga tidak dapat menafikan bahawa di Negara Malaysia, tidak kurang golongan ustaz dan ustazah yang boleh membantu dalam pengajaran Al-Quran yang mulia ini.

Sabda Nabi SAW, "Sebaik-baik kamu adalah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya"

10 April, 2009

Janji Tuhan Pasti Berlaku


JANJI TUHAN PASTI BERLAKU


Oh alangkah indah hidup ini

Bila Islam bersinar kembali

Cahaya iman menyuluh tiap sanubari

Kebenaran mewarnai bumi


Kalam Allah memimpin manusia

Sunnah Rasul memandu langkahnya

Isi alam mendapat rahmat dan berkatnya

Kebatilan tiada tempatnya


Telah lama dinantikan

Bara Islam marak semula

Manusia kegelapan merindukan cahaya pembela

Pasti datang saat itu

Janji Tuhan pasti berlaku

Di dunia bahagia

Syurga Tuhan kekal selamanya


Kupanjatkan doa dan harapan

Daulah Islam seluruh dunia

Selamatkan kami umat di akhir zaman

Dengan iman yang terpelihara


(Soutul Amal)

07 April, 2009

Makna JAHILIYAH

Apabila disebut perkataan jahiliyah, rata-rata di kalangan kita pantas menterjemahkannya sebagai suatu kebodohan yang melampau, dungu, tidak tahu apa-apa dan tidak berpengetahuan. Termasuklah dalam kategori terjemahan tadi ungkapan-ungkapan seperti buta huruf, tiada kemahiran hidup, dan mental yang lembap. Akhirnya, kita pun melabelkan orang-orang Arab sebelum kedatangan Islam sebagai umat dan masyarakat yang jahil dalam semua perkara. Realitinya, tafsiran-tafsiran tersebut telah lari daripada konsep asalnya.

Jika kita melaruti secara halus, maka jahiliyah dalam erti kata yang sebenarnya adalah jahil dari menerima agama yang benar, iaitu agama Islam yang mentauhidkan Allah SWT. Jahil juga diertikan sebagai lawan sifat sabar dan tidak mahu berfikir. Akan tetapi bukannya jahil dengan makna tidak berilmu, kerana Al-Quran Al-Karim telah menyifatkan orang-orang Arab yang hidup sezaman dengan Rasulullah SAW mempunyai ilmu pengetahuan. FirmanNya:

Ò ô كتاب فصلت ءاياته قرآنا عربيا لقوم يعلمون

Mafhumnya: “Sebuah kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dengan Bahasa Arab, bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya”. (Fussilat:3)

Allah SWT juga telah mengkhabarkan bahawa mereka juga boleh membaca. FirmanNya:

÷أو يكون لك بيت من زخرف أو ترقى في السماء ولن نؤمن لرقيك حتى تنزل علينا كتابا نقرؤه

قل سبحان ربي هل كنت إلا بشرا رسولاß

Mafhumnya: “Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya.” Katakanlah (wahai Muhammad): “Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanyalah seorang manusia yang menjadi rasul?” (Al-Isra’: 93

Seperkara lagi, kita tahu bahawa orang-orang Arab ketika itu telah sampai ke tahap tertinggi dalam sastera mereka. Hal ini terbukti melalui syair-syair jahiliyah, kata-kata hikmah dan bidalan-bidalan ataupun peribahasa-peribahasa yang sering dikumandangkan oleh para sasterawan mereka.

Selain daripada itu, kita dapat mengesan kehebatan orang Arab jahiliyah dalam bahasa melalui kefahaman mereka terhadap Bahasa Al-Quran Al-Karim yang mana ia adalah kemuncak bahasa yang tertinggi dari segi fasohah dan balaghahnya. Malahan, kebanyakan pembesar-pembesar mereka memeluk Islam setelah terpikat dengan keindahan Bahasa Al-Quran yang bermukjizat itu seperti Saidina Umar Al-Khattab dan lain-lain.

Oleh itu, makna perkataan jahiliyah bukanlah bodoh atau jahil kerana tidak berilmu pengetahuan, sebaliknya ia adalah suatu sifat ataupun ciri-ciri kaum yang tersesat daripada jalan agama yang benar, di samping sikap mereka yang degil, bodoh-sombong, melancarkan permusuhan terhadap nabi, sering terburu nafsu dan berlagak angkuh.

Jika kita renungkan sejenak, apakah logik Al-Quran yang serba hebat itu diturunkan kepada kaum yang tidak berpengetahuan? Di manakah nilai Al-Quran sekiranya Ia mencabar golongan yang bodoh ini untuk menyusun ayat yang sebanding dengan ayat-ayat Al-Quran?

Maka, jawapan yang boleh diberikan di sini adalah kerana orang-orang Arab pada zaman jahiliyah sudah jauh terpesong daripada ajaran nabi-nabi yang sebelumnya. Mereka dianggap jahil kerana menyembah dan mendewa-dewakan batu-batan yang tidak ada sebarang kudrat terhadap dirinya sendiri apatah lagi kepada makhluk lain. Mereka dilabelkan sebagai jahil kerana mempunyai fahaman yang kolot terhadap kelahiran anak perempuan yang akhirnya ditanam secara hidup-hidup. Mereka digelar sebagai golongan jahiliyah disebabkan galakan amalan riba dalam perniagaan. ‘Anugerah jahil’ diberikan kepada mereka lantaran bermaharajalelanya perbuatan zina dan maksiat. ‘Pingat jahil’ dikalungkan kepada para pembesar mereka dek kerana menindas golongan miskin dan lemah. Mereka dinobatkan sebagai masyarakat yang jahil kerana tidak mahu menerima ajaran Al-Quran yang terang-terang mengajak kepada kesejateraan dunia dan akhirat, dengan merasakan sistem kehidupan yang ada pada mereka adalah yang terbaik.

Saya ulang kembali; mereka dipandang jahil bukan kerana bodoh dan jengkel ilmu, tetapi kerana kebejatan moral dan dan robeknya sistem kehidupan mereka. Lantaran daripada itu, saya berpendapat istilah JAHILIYAH ini tidak wajar diberikan kepada orang-orang Arab sebelum kedatangan Islam sahaja, bahkan masih terus boleh digunakan dan ditujukan kepada sesiapa sahaja umat di dunia pada hari ini yang turut memiliki ciri-ciri jahiliyah di atas. Ini adalah kerana, sungguhpun penduduk bumi sekarang ini menyaksikan banyak kemajuan materialistik dan ia tampak sempurna di mata kita, namun hakikatnya evolusi pemikiran kini seolah-olah mempamerkan keinginan untuk menghidupkan kembali budaya jahiliyah terutamanya dalam masyarakat Islami. Siapakah mereka? Cari sendiri....