Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

29 December, 2008

Salam Ma'al Hijrah 1430


Semoga tahun baru hijri ini menjadi tahun kejayaan kita dalam bidang masing-masing. siiru 'ala barakatillah

23 December, 2008

Betulkah ada neraka?

YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM, lindunglilah dan peliharakanlah kami, kedua ibubapa kami, isteri kami, anak-anak kami, kaum keluarga kami & semua orang Islam dari azab seksa api nerakaMu YA ALLAH.


Sesungguhnya kami tidak layak untuk menduduki syurgaMu YA ALLAH, namun tidak pula kami sanggup untuk ke nerakaMu YA ALLAH.

Ampunilah dosa-dosa kami, terimalah taubat kami dan terimalah segala ibadah dan amalan kami dengan RAHMATMU YA ALLAH......AMIN. ....

.: Luasnya Neraka :.


Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh nabi s.a.w.:

"Mengapa aku melihat kau berubah muka?" Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman daripadanya."

Lalu nabi s.a.w. bersabda: "Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam."

Jawabnya: "Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.


Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan sehelai baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya. Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yang disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yang ketujuh.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat terseksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api.


Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang lelaki dan perempuan."


Nabi s.a.w. bertanya: "Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?" Jawabnya: "Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda." (nota kefahaman: iaitu yang lebih bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah s.a.w.: "Siapakah penduduk masing-masing pintu?"
Jawab Jibrail: "Pintu yang terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yang kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat Nabi Isa a.s. serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah.
Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim, Pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar.


Pintu keempat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha,

Pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah.
Pintu keenam tempat orang nasara bernama Sa'eir."

Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s.a.w. sehingga ditanya: "Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ketujuh?"

Jawabnya: "Di dalamnya orang-orang yang berdosa besar dari ummatmu yang sampai mati belum sempat bertaubat."


Maka nabi s.a.w. JATUH PENGSAN ketika mendengar keterangan itu, menyebabkan Jibrail meletakkan kepala nabi s.a.w. di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sadar nabi saw bersabda: "Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummatku yang akan masuk ke dalam neraka?" Jawabnya: "Ya, iaitu orang yang berdosa
besar dari ummatmu."


Kemudian nabi s.a.w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang, kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan berdoa kepada Allah.

(dipetik dari kitab "Peringatan Bagi Yang Lalai")


Dari Hadith Qudsi: Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahariKu.


Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu:
1. Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat


2. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah


3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung


4. Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah


5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik


6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak


7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zaqqum


8. Di bawah setiap pokok zaqqum mempunyai 70,000 ekor ular


9. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat.


10. Juga di bawah setiap pokok zaqqum mempunyai 70,000 rantai


11. Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat


Mudah-mudahan dapat menimbulkan keinsafan kepada kita semua.Wallahua' lam.

Al-Quran Surah Al- Baqarah Ayat 159


Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami terangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.


Dari Abdullah bin 'Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: "Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..

__._,_.___

18 December, 2008

Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani

Hati siapa yang tidak bergegar sebaik sahaja kakinya melangkah ke Tanah Haram. Jiwa mana yang tidak tersentuh apabila tiba di bumi yang penuh dengan keberkahan dan sejarah agungnya. Rasanya semua orang yang beragama Islam akan menitiskan air matanya tatkala melihat Masjidil Haram dan Ka’bah terpampang di depan mata kepala sendiri.

Bermimpikah aku? Apakah ini hanyalah suatu ilusi? Tidak! Jawapannya adalah tidak. Ini memang realiti. Kegembiraan tidak terkata ketika itu.

Allahu akbar! SubhanAllah! Ya Allah ya Tuhanku, Engkau Maha Berkuasa. Kami datang dari jauh, dari segenap pelusuk dunia. Ternyata Engkaulah Yang Berkuasa menghimpunkan kami semua di pusat bumi ini. Di mana jua penjuru kami berada, ketika hendak menghadapMu, pasti kami beralih ke arah satu qiblat yang sama.

Pelbagai jenis ragam, warna kulit, aneka bahasa, kategori pakaian dan gelagat manusia yang kelihatan ketika itu. Jelas kebesaran Allah SWT yang menjadikan manusia ini mempunyai keistimewaan tersendiri.

يا أيها الناس إنا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله أتقاكم

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku – puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).” – Al-Hujurat:13

Pendek cerita; rasanya semua orang pun sama iaitu sepanjang berada di bumi Makkah, pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk kerap mendirikan solat di Masjidil Haram yang mana pahalanya digandakan sehingga 100 ribu kali ganda.

Seperkara yang hendak saya kongsikan di sini adalah tentang pengalaman mencium Hajar al-Aswad. Tiada niat untuk bermegah-megah, sebaliknya mahu menegaskan bahawa betapa Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani.

Kali pertama saya melakukan ibadah tawaf, peluang untuk hampir ke Hajar al-Aswad langsung tidak menjelma, malahan semakin terjauh dan sukar. Saat itu, “kalau bukan kau pijak kaki aku, aku yang terpijak kaki kau”.

Batu itu hanya ada satu dalam dunia ini. Tunggal. Saiznya kecil dan boleh dijengah oleh ‘sebiji’ kepala sahaja. Manakala manusia yang hendak menciumnya berjuta-juta. Bayangkan…

Apa saya lakukan ialah mengerjakan tawaf sunat di tingkat atas sekali selepas waktu isya’. Manusia semakin berkurangan. Sungguhpun keletihan kerana lingkarannya yang sangat luas, namun saya telah berazam sebaik sahaja selesai tawaf dan solat sunat, saya akan panjatkan doa kepada Allah SWT agar diberikan peluang untuk mengucup batu yang suci itu. Sungguh-sungguh saya mohon daripada Allah SWT.

Keesokan harinya, selepas menunaikan solat fardhu subuh, saya bertolak ke Tan’iem iaitu tanah halal untuk berihram dan memulakan ibadah umrah sebelum tiba hari-hari Haji. Alhamdulillah, urusan pada hari itu semuanya mudah. Masjid Aisyah di Tan'iem

Buat kali yang seterusnya, kaki melangkah tenang memasuki Masjidil Haram untuk melakukan tawaf. Setelah selesai tawaf dan solat sunat dua rakaat, hati saya benar-benar teringin untuk mencium Hajar al-Aswad. Sekali lagi saya memasuki gerombolan manusia yang sedang tawaf mengelilingi Ka’bah. Saya merasakan putaran kali ini sangat mudah dan semakin menghampiri Rukun Yamani. Alhamdulillah, tangan saya dapat mengusapnya. Tiba-tiba datang tiga orang Indonesia menyapa saya, “Haji ! (panggilan biasa di sana), Haji sudah cium Hajarul Aswad?” Saya menjawab, “Belum”. Soalan diajukan lagi. “Mahu cium?”. “Ya, mahu”. “Mari, kami bantu”

Allahu Akbar! Hati saya riang tak terkata. Inilah dia pertolongan Allah. Depan Ka’bah.

Rakan-rakan yang mengenali saya, tahu bagaimana bentuk tubuh dan daya kekuatan saya. Apalah yang insan kerdil ini mampu buat? Sedangkan ketika itu, jemaah dari negara-negara yang lain besar dan gagah badannya turut berhimpit-himpit dengan tujuan yang sama. Akan tetapi dengan kehendak Allah, dapat juga si kurus ini memasukkan kepala lantas mencium batu hitam yang suci itu. Alhamdulillah. Cukuplah saya gambarkan betapa gawat dan ramainya manusia yang mengerumuni batu itu, hinggakan sebelah-menyebelah bahu saya terhimpit menyebabkan badan saya tergantung-gantung dan kaki pula tidak menyentuh lantai.

Begitu juga ketika hendak memasuki Hijir Ismail yang mana ia juga adalah sebahagian daripada Ka’bah. Ikut logik akal, orang macam saya tidak akan dapat meloloskan diri ke dalam lengkungan itu. Namun dengan izin Allah SWT, sekali lagi urusan dipermudahkan. Saya sendiri hairan, apabila ada ruang kosong yang seolah-olah sengaja dibukakan untuk saya. Orang Arab yang selalu saya labelkan sebagai kasar, tiba-tiba pada saat itu bersikap toleran terhadap saya. “Saamihni adkhul (benarkan saya masuk)”. Dengan mudah si Arab yang sedang tawaf itu berhenti dan membiarkan saya masuk ke dalam Hijir Ismail. Lantas ‘hujan’ lagi mata ini.

Hanya keampunan yang dipinta. Sebak terus menguasai diri apabila mengenang diri ini yang penuh dengan noda dan dosa. Terasa macam tidak layak untuk berada di tempat yang suci ini. Tapi itulah dia rahmat Ilahi, yang senantiasa mengasihani hamba-hambaNya. Rasa bersalah terus menguasai diri, kerana walaupun aku berdosa, tetapi Dia masih lagi mengurniakan nikmat kepada diriku.

*****

Saya tidak mampu lagi untuk meneruskan tulisan ini. Memadailah point penting kali ini iaitu yakinlah bahawa Allah Maha Mendengar doa-doa hambaNya, dan Allah jualah yang akan memperkenankannya.

Akhir sekali, saya juga kepingin untuk mempamerkan sebuah puisi yang saya petik daripada blog http://madsha88.blogspot.com/ agar dapat disebarluaskan lagi manfaatnya.

Ketika kamu melucutkan pakaian dan mengenakan Ihram,

Apakah perasaan (niat) kamu ketika saat-saat mendebarkan itu?

Apakah anda telah meninggalkan segala yang patut ditinggalkan

Dan segala yang lebih rendah dari Allah Yang Maha Berkuasa?

Jawapnya TIDAK!

Saya bertanya

Jika beliau telah berkata “labbaika”

Dengan penuh pengetahuan dan penghormatan yang tinggi?

Apakah beliau mendengar akan perintah Allah?

Atau, mematuhi sebagaimana patuhnya Ibrahim?

Jawapnya TIDAK!

Saya bertanyakan beliau:

Ketika beliau di Arafah

Ketika beliau berdiri begitu hampir dengan Tuah Yang Oerkasa

Apakah beliau berkesempatan mengenali Nya?

Tidakkah beliau ghairah meneroka sedikit sebanyak ilmunya?

Jawapnya TIDAK!

Saya bertanyakan beliau:

Ketika menghampiri Kaabah

Sebagaimana keluarga “Kahfi dan Rakim”

Apakah beliau telah menghapuskan kepentingan dirinya?

Apakah beliau tidak takutkan balasan hari kemudian?

Jawapnya TIDAK!

Saya bertanyakan beliau:

Ketika beliau berkorban

Dengan memberi makan si lapar atau anak yatim

Apakah beliau tidak mengingati Allah terlebih dahulu?

Dan, tidakkah beliau korbankan sekali sikap kepentingan dirinya?

Jawapnya TIDAK!

Saya bertanyakan beliau:

Ketika beliau berdiri dtempat Ibrahim

Adakah beliau menggantungkan diri pada Tuhan?

Dengan keikhlasan dan penuh keimanan?

Kata beliau TIDAK!

Saya bertanyakan beliau:

Ketika berpusing

Melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Adakah beliau teringatkan akan para malaikat

Yang tidak henti-henti bertawaf mengelilingi dunia ini?

Kata beliau TIDAK!

Saya bertanyakan beliau

Ketika bersaie

Ketika beliau berlari-lari dari Safa dan Marwa

Apakah beliau telah suci dan dibersihkan?

Katanya TIDAK!

Saya bertanyakan beliau

Sekarang setelah pulang dari Mekkah

Tidakkah beliau merindukan Kaabah

Apakah beliau telah mengabadikan dirinya di sana?

Tidakkah beliau rindu untuk pulang ke sana?

Kata beliau TIDAK!

“Apa sahaja yang kau bertanyakan aku,

Aku tidak memahaminya langsung!!!”

Kata ku:

Wahai sahabat, kamu telah tidak menunaikan Haji!

Dan kamu tidak mematuhi Tuhan.

Kamu pergi ke Mekah sekadar melawat Kaabah!

Kamu belanjakan wang hanya untuk membeli kesusahan di padang pasir!

06 December, 2008

Unforgotten Memory

Hari ini ke mana jua kita pergi, kebanyakan umat Islam akan berbicara tentang ibadah haji dan korban. Golongan yang telah menerima lambaian haji pada tahun ini datang dari pelbagai penjuru dunia dengan aneka jenis kenderaan samada melalui udara, daratan atau menyeberangi lautan.

يأتوك رجالا وعلى كل ضامر يأتين من كل فج عميق . ليشهدوا منافع لهم

Mafhumnya: “Mereka datang ke(Rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus * , yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka.” (Al-Hajj: 27-28)

*kurusnya unta itu disebabkan perjalanan yang jauh yang telah ditempuh.

Secara peribadi, saya tidak dapat melupakan kenangan indah dan manis yang telah dikecapi pada tahun 1428H yang lalu apabila berkesempatan untuk menginjakkan kaki ke Baitullah al-Haram. Istimewanya permusafiran saya dan sahabat-sahabat Malaysia yang lain adalah dengan menaiki kapal laut. Walhal, tidak pernah terlintas dalam benak fikiran saya bahawa pada suatu hari nanti saya akan pergi ke tanah suci yang diidam-idamkan oleh setiap muslim dengan menaiki kapal laut ini. Alhamdulillah.

وأما بنعمة ربك فحدث

“Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur)” – {Ad-Dhuha: 11}

Dari Pelabuhan Suez, Mesir, kami berlayar menuju ke Pelabuhan Jeddah, Arab Saudi yang memakan masa selama 48 jam. Akan tetapi sebenarnya kami telah berada dalam perut kapal lebih daripada 55 jam kerana terpaksa masuk lebih awal.

Sepertimana kapal terbang yang mempunyai bahagian kelas pertama @ first class, maka begitulah juga dengan kapal laut. Kelas pertama di tingkat atas menyediakan kemudahan bilik yang dihuni oleh enam orang, dilengkapi dengan katil, soket elektrik dan bilik air.

Manakala kelas kedua di tingkat bawah hanya menyediakan kerusi yang empuk (mujur ruang kaki lebar sedikit), terbuka dan ‘luas’. Seterusnya, “tandasmu tandasku jua”.

Saya bersama dengan seorang sahabat dari Terengganu iaitu Ustaz Zulkifli berada di kelas kedua, duduk bersama-sama dengan pelbagai ragam manusia, yang sudah pasti majoritinya rakyat Mesir. Anda boleh bayangkan bagaimana keadaan kami ketika itu?

Perjalanan yang panjang ini memberikan kesempatan kepada saya dan rakan-rakan yang kebanyakannya dari Syubro untuk saling berbincang dan memperingati di antara satu sama lain tentang pelaksanaan ibadah haji dan umrah yang pertama dalam hidup kami agar ianya dapat dijalankan dengan sebaiknya. Kenalan-kenalan baru dari Tajikistan dan Tunisia juga menjadi rujukan saya.

Kadangkala kami keluar ke tingkat atas menyaksikan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT melalui laut ciptaanNya yang luas terbentang. Ketika itu, terasa benar betapa kerdil dan dhoifnya diri ini. Semasa berada di pelabuhan, mata saya menganggap kapal yang kami naiki ini gagah dan besar saiznya, tetapi setelah berada di tengah-tengah laut, tiba-tiba saiz kapal ini ‘mengecil’. Jarang benar, kami dapat melihat kapal-kapal lain yang berlayar dan jikalau ada pun, nun jauh di sana sayup mata memandang.

Ada suatu ketika, kami langsung tidak nampak apa-apa melainkan warna biru sahaja. Biru air laut dan biru langit. Apa pun tiada. Ya Allah, kecut perut dibuatnya. Terasa semacam berada di alam yang lain. Line handphone juga sudah tiada. Walau bagaimanapun, kerisauan itu tidak keterlaluan kerana selalu ingat bahawa kami sedang bermusafir dengan niat yang sangat suci dan murni insya Allah. Maka, apa pun badai yang akan menguji kami dalam perjalanan ini, pastinya merupakan suatu rahmat ilahi. Bukankah Nabi SAW pernah bersabda;

جهاد الكبير والصغير والضعيف والمرأة الحج والعمرة

Maksudnya lebih kurang, “Jihad bagi orang tua / dewasa, muda / kanak-kanak, golongan yang lemah dan perempuan adalah (dengan menunaikan ibadah) haji dan umrah” – Sunan An-Nasa’ie.

Sempat juga otak ini teringat firman Allah SWT yang berbunyi:

قل لو كان البحر مدادا لكلمات ربي لنفد البحر قبل أن تنفد كلمات ربي ولو جئنا بمثله مددا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimat-kalimat Tuhanku, walaupun Kami (Allah SWT) tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan” (Al-Kahfi:109)

Luasnya lautan di muka bumi ini, amat luas lagi ilmu Allah SWT yang telah menjadikan alam dan seluruh isinya ini dengan SEKALI ciptaan sahaja termasuklah lautan. Kita biasa mendengar perumpamaan sebilah jarum yang sangat kecil saiznya dimasukkan ke dalam air laut lalu diangkat. Adakah air yang melekat di jarum itu telah mengurangkan kandungan air di laut? Jawapannya, sudah tentu sekali-kali tidak !

Perasaan gerun dan bimbang tiba-tiba menyelubungi diri sekali lagi tatkala mengenangkan diri yang banyak melakukan dosa dan kesilapan. Risau apabila teringat cerita-cerita dalam majalah Mastika, Hidayah dan yang seumpamanya. Bagaimana nasibku setelah tiba di Tanah Haram sana nanti?

“Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku”. Kalimah istighfar sentiasa membasahi bibir.

Pada hari kedua, pelayaran kami sedikit memeritkan apabila kapal bergoncang kuat dilanda badai. Gelora dan angin laut bertiup kencang. Selama ini saya hanya melihat di kaca televisyen, akhirnya dapat merasa dan menyaksikannya dengan mata kepala sendiri. Namun begitu, kami dimaklumkan goncangan ini masih bersifat sederhana dan biasa. Biasa bagi mereka yang sudah biasa! Kepala terasa berpinar tetapi alhamdulillah masih terkawal.

Setelah dimaklumkan oleh krew kapal, bahawa kami akan memasuki kawasan miqat, maka persiapan seperti mandi sunat, memakai pakaian ihram dan solat sunat mula dilakukan. Air mata laju mengalir sebaik sahaja lafaz

لبيك اللهم لبيك، لبيك لا شريك لك لبيك، إن الحمد والنعمة لك والملك، لا شريك لك

meniti di bibir menandakan ibadah kami ke tanah suci sudah bermula.

Kulupakan laut yang bergelombang, kerana debaran di dalam dada semakin kencang, mulut sudah ‘tiada selera’ untuk bersembang, jumlah talbiah sudah tidak terbilang, mushaf Al-Quran serta kitab rujukan sentiasa dipandang, lambaian Ka’bah terus terbayang-bayang, dan rindu terhadap Rasulullah SAW semarak membahang.

Apabila kilauan lampu di Pelabuhan Jeddah sudah kelihatan, .... insya Allah bersambung di edisi akan datang.

04 December, 2008

Merajuk

artikel ini, bukan dikarang oleh saya, tetapi saya berminat untuk berkongsi dengan para pengunjung sekalian. nikmatilah...

Kenapa merajuk?
Seringkali orang merajuk kerana dia kecil hati orang lain tidak mengindahkannya. Sama ada orang tidak memuliakannya dengan memberikannya satu kedudukan atau tempat yang istimewa, atau tidak menerima pandangannya, atau tidak menunaikan permintaannya.

Siapa yang kena penyakit merajuk?
Penyakit merajuk ini boleh kena pada siapa-siapa sahaja. Tidak kira lelaki atau perempuan. Tidak kira tua atau pun muda.
Orang yang besar atau pun kecil. Anak boleh merajuk dengan emak, emak boleh merajuk dengan anak.

Punca merajuk
Merajuk ini berpunca dari hati yang kurang ada rasa kehambaan. Bila tidak rasa diri hamba, dia akan merasakan yang dirinya itu tuan. Sebagai tuan, dia perlulah dimuliakan. Kata-katanya perlu didengar dan dikotakan.

Sebenarnya, hatinya marah kerana tidak diberi perhatian. Tetapi mungkin kerana malu atau tidak ada kuasa, ataupun mungkin kerana beranggapan yang marah-marah itu satu sikap yang lebih tidak baik, marahnya pun tidak dilepaskan.

Sebaliknya, dia mengalihkan marahnya kepada merajuk. Dengan merajuk, orang akan faham yang dia sebenarnya marah walaupun dia sekadar mendiamkan diri sahaja.

Apakah merajuk lebih baik dari marah?
Kedua-duanya adalah sifat terkeji yang mesti diungkai. Kedua-duanya timbul dari rasa diri mulia yang mesti dihormati. Lebih ditakuti lagi kalau orang yang merajuk itu menyangka yang sikapnya itu tidak salah atau dirinya itu lebih baik daripada orang yang marah-marah.

Dia sebenarnya sudah tertipu. Dan kalau dia tidak bertaubat atas dosanya ini, dia akan dihukum di akhirat kelak.

Bagaimana mengubati sikap merajuk?
Untuk mengubati sikap merajuk, kita perlulah tanamkan sifat berTuhan dan sifat kehambaan. Sifat berTuhan ialah merasakan yang Tuhan itu Maha Berkuasa. Dia boleh timpakan apa sahaja ke atas kita sama ada perkara yang kita suka ataupun tidak.

Kalau kita membantah sama ada dengan cara marah-marah atau merajuk, kita bukan sahaja marah atau merajuk kepada orang yang menyakiti hati kita itu, tetapi kita juga sebenarnya menentang takdir Tuhan ke atas diri kita.

Kalau Tuhan tidak izinkan perkara itu berlaku ke atas kita, tentu ia tidak akan berlaku. Berlakunya ia ke atas kita ialah kerana Tuhan memang hendakkan perkara itu berlaku.

Sifat kehambaan pula ialah merasakan yang kita ini hamba yang lemah dan tidak berkuasa. Siapalah kita yang hendak menolak takdir Tuhan. Kita harus terima apa sahaja yang Tuhan timpakan ke atas kita. Kalau orang tidak muliakan kita, memang kita pun tidak layak untuk dimuliakan.

Sebagai hamba, kita juga merasakan yang diri kita banyak berdosa. Justeru itu, layak sangatlah kalau hati kita disakiti, moga-moga dengan kita bersabar, Tuhan akan hapuskan dosa-dosa kita. Kita juga mungkin sudah lebih banyak menyakiti hati orang lain. Lantaran itu, kita patutlah bersabar bila hati kita sedikit sebanyak disakitkan pula.