Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

18 December, 2008

Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani

Hati siapa yang tidak bergegar sebaik sahaja kakinya melangkah ke Tanah Haram. Jiwa mana yang tidak tersentuh apabila tiba di bumi yang penuh dengan keberkahan dan sejarah agungnya. Rasanya semua orang yang beragama Islam akan menitiskan air matanya tatkala melihat Masjidil Haram dan Ka’bah terpampang di depan mata kepala sendiri.

Bermimpikah aku? Apakah ini hanyalah suatu ilusi? Tidak! Jawapannya adalah tidak. Ini memang realiti. Kegembiraan tidak terkata ketika itu.

Allahu akbar! SubhanAllah! Ya Allah ya Tuhanku, Engkau Maha Berkuasa. Kami datang dari jauh, dari segenap pelusuk dunia. Ternyata Engkaulah Yang Berkuasa menghimpunkan kami semua di pusat bumi ini. Di mana jua penjuru kami berada, ketika hendak menghadapMu, pasti kami beralih ke arah satu qiblat yang sama.

Pelbagai jenis ragam, warna kulit, aneka bahasa, kategori pakaian dan gelagat manusia yang kelihatan ketika itu. Jelas kebesaran Allah SWT yang menjadikan manusia ini mempunyai keistimewaan tersendiri.

يا أيها الناس إنا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله أتقاكم

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku – puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).” – Al-Hujurat:13

Pendek cerita; rasanya semua orang pun sama iaitu sepanjang berada di bumi Makkah, pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk kerap mendirikan solat di Masjidil Haram yang mana pahalanya digandakan sehingga 100 ribu kali ganda.

Seperkara yang hendak saya kongsikan di sini adalah tentang pengalaman mencium Hajar al-Aswad. Tiada niat untuk bermegah-megah, sebaliknya mahu menegaskan bahawa betapa Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani.

Kali pertama saya melakukan ibadah tawaf, peluang untuk hampir ke Hajar al-Aswad langsung tidak menjelma, malahan semakin terjauh dan sukar. Saat itu, “kalau bukan kau pijak kaki aku, aku yang terpijak kaki kau”.

Batu itu hanya ada satu dalam dunia ini. Tunggal. Saiznya kecil dan boleh dijengah oleh ‘sebiji’ kepala sahaja. Manakala manusia yang hendak menciumnya berjuta-juta. Bayangkan…

Apa saya lakukan ialah mengerjakan tawaf sunat di tingkat atas sekali selepas waktu isya’. Manusia semakin berkurangan. Sungguhpun keletihan kerana lingkarannya yang sangat luas, namun saya telah berazam sebaik sahaja selesai tawaf dan solat sunat, saya akan panjatkan doa kepada Allah SWT agar diberikan peluang untuk mengucup batu yang suci itu. Sungguh-sungguh saya mohon daripada Allah SWT.

Keesokan harinya, selepas menunaikan solat fardhu subuh, saya bertolak ke Tan’iem iaitu tanah halal untuk berihram dan memulakan ibadah umrah sebelum tiba hari-hari Haji. Alhamdulillah, urusan pada hari itu semuanya mudah. Masjid Aisyah di Tan'iem

Buat kali yang seterusnya, kaki melangkah tenang memasuki Masjidil Haram untuk melakukan tawaf. Setelah selesai tawaf dan solat sunat dua rakaat, hati saya benar-benar teringin untuk mencium Hajar al-Aswad. Sekali lagi saya memasuki gerombolan manusia yang sedang tawaf mengelilingi Ka’bah. Saya merasakan putaran kali ini sangat mudah dan semakin menghampiri Rukun Yamani. Alhamdulillah, tangan saya dapat mengusapnya. Tiba-tiba datang tiga orang Indonesia menyapa saya, “Haji ! (panggilan biasa di sana), Haji sudah cium Hajarul Aswad?” Saya menjawab, “Belum”. Soalan diajukan lagi. “Mahu cium?”. “Ya, mahu”. “Mari, kami bantu”

Allahu Akbar! Hati saya riang tak terkata. Inilah dia pertolongan Allah. Depan Ka’bah.

Rakan-rakan yang mengenali saya, tahu bagaimana bentuk tubuh dan daya kekuatan saya. Apalah yang insan kerdil ini mampu buat? Sedangkan ketika itu, jemaah dari negara-negara yang lain besar dan gagah badannya turut berhimpit-himpit dengan tujuan yang sama. Akan tetapi dengan kehendak Allah, dapat juga si kurus ini memasukkan kepala lantas mencium batu hitam yang suci itu. Alhamdulillah. Cukuplah saya gambarkan betapa gawat dan ramainya manusia yang mengerumuni batu itu, hinggakan sebelah-menyebelah bahu saya terhimpit menyebabkan badan saya tergantung-gantung dan kaki pula tidak menyentuh lantai.

Begitu juga ketika hendak memasuki Hijir Ismail yang mana ia juga adalah sebahagian daripada Ka’bah. Ikut logik akal, orang macam saya tidak akan dapat meloloskan diri ke dalam lengkungan itu. Namun dengan izin Allah SWT, sekali lagi urusan dipermudahkan. Saya sendiri hairan, apabila ada ruang kosong yang seolah-olah sengaja dibukakan untuk saya. Orang Arab yang selalu saya labelkan sebagai kasar, tiba-tiba pada saat itu bersikap toleran terhadap saya. “Saamihni adkhul (benarkan saya masuk)”. Dengan mudah si Arab yang sedang tawaf itu berhenti dan membiarkan saya masuk ke dalam Hijir Ismail. Lantas ‘hujan’ lagi mata ini.

Hanya keampunan yang dipinta. Sebak terus menguasai diri apabila mengenang diri ini yang penuh dengan noda dan dosa. Terasa macam tidak layak untuk berada di tempat yang suci ini. Tapi itulah dia rahmat Ilahi, yang senantiasa mengasihani hamba-hambaNya. Rasa bersalah terus menguasai diri, kerana walaupun aku berdosa, tetapi Dia masih lagi mengurniakan nikmat kepada diriku.

*****

Saya tidak mampu lagi untuk meneruskan tulisan ini. Memadailah point penting kali ini iaitu yakinlah bahawa Allah Maha Mendengar doa-doa hambaNya, dan Allah jualah yang akan memperkenankannya.

Akhir sekali, saya juga kepingin untuk mempamerkan sebuah puisi yang saya petik daripada blog http://madsha88.blogspot.com/ agar dapat disebarluaskan lagi manfaatnya.

Ketika kamu melucutkan pakaian dan mengenakan Ihram,

Apakah perasaan (niat) kamu ketika saat-saat mendebarkan itu?

Apakah anda telah meninggalkan segala yang patut ditinggalkan

Dan segala yang lebih rendah dari Allah Yang Maha Berkuasa?

Jawapnya TIDAK!

Saya bertanya

Jika beliau telah berkata “labbaika”

Dengan penuh pengetahuan dan penghormatan yang tinggi?

Apakah beliau mendengar akan perintah Allah?

Atau, mematuhi sebagaimana patuhnya Ibrahim?

Jawapnya TIDAK!

Saya bertanyakan beliau:

Ketika beliau di Arafah

Ketika beliau berdiri begitu hampir dengan Tuah Yang Oerkasa

Apakah beliau berkesempatan mengenali Nya?

Tidakkah beliau ghairah meneroka sedikit sebanyak ilmunya?

Jawapnya TIDAK!

Saya bertanyakan beliau:

Ketika menghampiri Kaabah

Sebagaimana keluarga “Kahfi dan Rakim”

Apakah beliau telah menghapuskan kepentingan dirinya?

Apakah beliau tidak takutkan balasan hari kemudian?

Jawapnya TIDAK!

Saya bertanyakan beliau:

Ketika beliau berkorban

Dengan memberi makan si lapar atau anak yatim

Apakah beliau tidak mengingati Allah terlebih dahulu?

Dan, tidakkah beliau korbankan sekali sikap kepentingan dirinya?

Jawapnya TIDAK!

Saya bertanyakan beliau:

Ketika beliau berdiri dtempat Ibrahim

Adakah beliau menggantungkan diri pada Tuhan?

Dengan keikhlasan dan penuh keimanan?

Kata beliau TIDAK!

Saya bertanyakan beliau:

Ketika berpusing

Melakukan tawaf mengelilingi Kaabah

Adakah beliau teringatkan akan para malaikat

Yang tidak henti-henti bertawaf mengelilingi dunia ini?

Kata beliau TIDAK!

Saya bertanyakan beliau

Ketika bersaie

Ketika beliau berlari-lari dari Safa dan Marwa

Apakah beliau telah suci dan dibersihkan?

Katanya TIDAK!

Saya bertanyakan beliau

Sekarang setelah pulang dari Mekkah

Tidakkah beliau merindukan Kaabah

Apakah beliau telah mengabadikan dirinya di sana?

Tidakkah beliau rindu untuk pulang ke sana?

Kata beliau TIDAK!

“Apa sahaja yang kau bertanyakan aku,

Aku tidak memahaminya langsung!!!”

Kata ku:

Wahai sahabat, kamu telah tidak menunaikan Haji!

Dan kamu tidak mematuhi Tuhan.

Kamu pergi ke Mekah sekadar melawat Kaabah!

Kamu belanjakan wang hanya untuk membeli kesusahan di padang pasir!

No comments: