Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

30 October, 2009

Prof. Dr. Muhammad Syed Tantawi

Dr. Muhammad Syed Tantawi dilahirkan pada 28 Oktober 1928 di Kampung Saleem Syarqiyyah, Daerah Tama Governorate Soohaj. Beliau mendapat pendidikan asas di kampungnya dan setelah menghafaz al Quran, beliau meneruskan pengajian ke Institut Agama di Iskandariah pada tahun 1944. Apabila tamat pengajian menengahnya beliau menyambung pelajarannya ke Fakulti Usuluddin, Universiti al Azhar di Kaherah pada tahun 1958.

Mendapat ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (al ‘Aliyah). Manakala pada tahun1959, beliau telah berjaya mendapat Ijazah Sarjana Pendidikan dan beliau meneruskan pengajian sehingga ke peringakat PHD di dalam bidang Ulum Quran wa Tafsir pada tahun 1966 dengan pangkat mumtaz. Tajuk Tesis beliau ketika itu ialah Banu Israel dalam Al Quran dan Sunnah. Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Waqaf Mesir sehingga tahu 1964 sebelum dilantik sebagai pensyarah di Fakulti Usuluddin pada tahun 1968. Beliau kemudiannya berpindah perkhidmatan ke Universiti Islam Libya pada tahun 1972 sehingga tahun 1976 di mana ketika itu beliau dilantik menjadi Dekan Fakulti Usuluddin di Universiti Al Azhar Cawangan Asyut. Pada tahun 1980 pula beliau ke Universiti Islam Madinah di Negara Saudi Arabia sebagai Ketua Jabatan Tafsir dan Ulum Quran Peringkat Pengajian Siswazah.

Selain itu juga beliau pernah menjadi pensyarah di Universiti Basrah, Iraq. Pada tahun 1985 beliau dilantik sebagai Dekan Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Universiti al Azhar Kaherah. Manakala pada 28 Oktober tahun 1986 beliau secara rasmi telah dilantik sebagai Mufti Kerajaan Republik Arab Mesir dan akhirnya pada 8 Zulkaedah 1416H bersamaan 17 Mac 1996 M, beliau telah dilantik sebagai Sheikhul Azhar yang ke-34 bagi Negara Republik Arab Mesir.

Dr. Muhammad Syed Tantawi sangat aktif dalam memberikan khidmat kepada masyarakat dan banyak membuat penyelidikan ilmiah, menulis makalah, mengambil bahagian dalam pelbagai seminar, forum, konvensyen dan majlis-majlis ilmu di Masjid Al Azhar. Beliau banyak menyumbangkan hasil penulisannya di dalam majalah-majalah di dalam dan di luar negara. Beliau merupakan ulama’ yang tegas dan berani dalam mengemukakan pandangan dan pendapat dalam apa jua isu yang dibangkitkan sama ada di peringkat tempatan mahupun di peringkat antarabangsa.

sumber: http://www.pmram.org/

26 October, 2009

Konvokesyen Universiti Al-Azhar










Majlis Konvokesyen ini dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Mesir

24 October, 2009

LOMPAT


ISU ‘LOMPAT’ dan ‘IBRAH DARI HUDAIBIYAH


Sayyidina Umar r.a. pernah mempertikaikan isi Perjanjian Hudaibiyah yang menurutnya “berat sebelah”. Beliau tidak bersetuju jika pengikut Islam yang sudah hijrah ke Madinah kemudian ingin berpatah balik dan mahu “melompat” semula ke Makkah dibenarkan berbuat demikian. Manakala, jika ada penduduk Makkah yang memeluk Islam dan mahu hijrah ke Madinah tidak dibenarkan berbuat demikian. Ini tidak adil menurut Sayyidina Umar r.a.


Sebaliknya, Rasulullah s.a.w. akur dengan perjanjian itu dan melihatnya dari dimensi yang berbeza. Selain daripada Perjanjian Hudaibiyah itu sendiri pun sudah satu “kemenangan” buat umat Islam malah syarat yang dilihat tidak adil itu pun sebenarnya memberi kebaikan secara terselindung. Bagaimana?


Pengikut Islam yang melompat semula ke Makkah hakikatnya ialah pembelot yang jika terus berada di Madinah pasti menyusahkan Rasulullah s.a.w dan para sahabat pada suatu hari nanti. Mereka yang berubah hati ini hanya menunggu masa untuk berpaling tadah apabila tiba detik yang kritikal dan mencabar. Jadi, bagi Rasulullah s.a.w., ada baiknya mereka dibenarkan “melompat” kerana itulah cara terbaik untuk “menapis” mereka yang bermasalah ini daripada terus menjadi “duri dalam daging” atau “musuh dalam selimut” dalam barisan pejuang Islam yang tulen.


Manakala pengikut Islam yang “tertahan” di Makkah tetap akan mempertahankan keislamannya kerana hati mereka yang benar-benar beriman pasti tidak akan tergugat sekalipun oleh persekitaran yang jahiliyah. Malah pejuang Islam yang sejati akan sentiasa kreatif dan inovatif untuk memperjuangkan agamanya walaupun di tengah kekangan dan halangan yang menghimpit.


Rasulullah s.a.w arif benar tentang hakikat itu. Baginda bijak membaca hikmah dan mampu melihat suatu yang positif secara tersirat, walaupun negatif secara tersurat. Terbukti pengamatan Rasulullah s.a.w. melangkaui batas pemikiran Umar al-Khattab yang masih konvensional. Tidak kalah dengan mengalah.


Selepas Perjanjian Hudaibiyah dimeterai ada pengikut Islam di Makkah yang tekad untuk terus berhijrah ke Madinah tetapi Rasulullah s.a.w. tetap berpegang pada janji. Mereka tetap tidak dibenarkan oleh Rasulullah s.a.w. Lihat betapa teguhnya Rasulullah s.a.w. berpegang pada janji, walaupun tentunya sedih dan hibanya hati baginda terpaksa “menolak” kedatangan umatnya.


Sejarah mencatatkan bagaimana pejuang Islam yang tidak diterima di Madinah ini akhirnya menjadi kelompok “pejuang pemisah” yang mendiami lokasi terpencil namun tetap mempertahankan iman sekaligus menyusahkan pedagang Quraisy yang melalui penempatan mereka.


Beberapa tahun kemudian, ternyata kesabaran dan strategi Rasulullah s.a.w. membuahkan hasil. Kafir Quraisy melanggar perjanjian dan peperangan demi peperangan pun berlaku. Mujur barisan pejuang Islam telah “dibersihkan”. Jika tidak masakan tercapai kualiti 313 orang tentera Islam yang mampu mengalahkan 1,000 orang tentera kafir di Perang Badar. Dan boleh jadi bilangan orang munafik yang “minta uzur” dari medan Uhud menjadi lebih ramai. Atau konco-konco puak munafik akan lebih licik bekerjasama dengan puak Yahudi Madinah untuk menikam pejuang dari belakang dalam Perang Khandak.


Umar belajar daripada Rasulullah s.a.w


Umar r.a. tentulah individu yang paling mendapat pengajaran daripada Rasulullah s.a.w. menerusi peristiwa Hudaibiyah. Beberapa tahun selepas wafatnya Rasulullah s.a.w. dan berlalunya era pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a. dan pemerintahan Islam berada di tangannya, terbukti Umar masih berpegang teguh kepada roh tarbiah yang diterimanya daripada Perjanjian Hudaibiyah.


Dalam tazkirahnya kepada tentera Islam yang akan berangkat ke Perang Qadisiyah, Parsi beliau menegaskan: “Aku lebih bimbangkan dosa yang dilakukan oleh tentera Islam sendiri daripada kekuatan tentera musuh. Hakikatnya, kita dimenangkan atas mereka kerana dosa yang mereka lakukan. Tetapi sekiranya kita turut berdosa seperti mereka, aku khuatir Allah tidak akan membantu kita!”


Itulah Umar r.a. yang belajar daripada Rasulullah s.a.w.

Ketika isu politik semakin panas dengan kejadian “lompat-melompat” yang sangat mengelirukan ini, apa kata kalau kita “istirahat” seketika untuk bermuhasabah tentang kebijaksanaan seorang pemimpin – Nabi Muhammad s.a.w. dan kesetiaan pengikut bernama Umar r.a. Di mana pihak pun anda “berada” ambillah ‘ibrah dari Hudaibiyah!


Dipetik daripada “Kata Dua” oleh Abu Irdak, dalam MAJALAH SOLUSI, isu No.5, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

21 October, 2009

Dr. 'Ali Jumu'ah, Mufti Mesir


Nama penuh beliau ialah ‘Ali Jumu’ah Muhammad Abdul Wahab.

Dilahirkan pada 3 Mac 1952 di Bani Suef, Mesir. Mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perniagaan di Universiti ‘Ain Syams pada tahun 1973. Seterusnya Ijazah Sarjana Muda dari Fakulti Pengajian Islam dan Arab, Universiti Al-Azhar pada tahun 1979. Kemudian berjaya meraih M.A dengan pangkat Cemerlang dalam bidang Usul Fiqh, Fakulti Syari’ah wal Qanun, Universiti Al-Azhar pada tahun 1985. Manakala pada tahun 1988, beliau telah menyelesaikan pengajian peringkat Phd dalam bidang dan dari universiti yang sama dengan keputusan Syaraf al-Uula @ Terbaik / Tertinggi.

Dr. ‘Ali Jumu’ah juga telah mendapat sanad-sanad tertinggi dalam ilmu-ilmu syar’iyyah, dan ijazah-ijazah daripada sekian ramai ulama’-ulama’ yang muktabar.

Beliau mula memegang jawatan Mufti Republik Arab Mesir pada tahun 2003 sehingga kini. Sebelum itu, sebagai pensyarah Usul Fiqh di Fakulti Pengajian Islam dan Arab (lelaki), di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Berpengalaman dalam pelbagai jawatan di pelbagai jabatan, badan dan pertubuhan di samping menerima jemputan dalam banyak persidangan samada dalam negara mahupun antarabangsa seperti di India, Amerika Utara, Sultanah ‘Omman, Washington, Malaysia, Universiti Oxford, Maghribi @ Marocco, Rusia, Spanyol, Kuwait, Jordan, Pakistan dan banyak lagi.

Ketinggian ilmu Dr. ‘Ali dapat dilihat apabila lebih daripada 20 buah kitab telah ditulis sendiri oleh beliau. Ditambah lagi dengan lebih daripada 6 buah kitab yang di tahqiq atau diperiksa semula oleh beliau. Di Masjid Al-Azhar dan beberapa buah masjid yang lain sekitar Kaherah, beliau masih aktif menyampaikan ilmunya sama ada dalam bidang tafsir mahupun fiqh.

Semoga Allah memanjangkan umur Dr. ‘Ali agar kami dapat terus menimba mutiara ilmu dari beliau dan moga Allah sentiasa memberkati serta mengampunkannya.

04 October, 2009

Apa Erti Komitmen Aktivis Dakwah?

Hati saya tersentak dan berasa terpukul tatkala membaca kata-kata pengantar buku “Apa Erti Komitmen Aktivis Dakwah”, karangan Syeikh Muhammad Abduh yang diterjemah oleh Ustaz Abdul Arham bin Mat. Saya syorkan kepada seluruh warga Malaysia yang berada di Mesir agar mendapatkan buku yang sangat cantik isi kandungannya ini. Saya tidak pasti sama ada buku ini telah diedarkan di Malaysia atau belum. Walaubagaimanapun, sila hayati petikan berikut;

****************

“Untuk seorang pendakwah, menyeru kepada kebaikan sementelahan dia tidak melakukannya adalah merupakan bencana dan malapetaka yang besar. Bukan hanya kepada para aktivis dakwah sahaja tetapi akan memberi implikasi kepada dakwahnya. Sikap itulah yang akan membingungkan hati manusia, kerana mereka mendengarkan kata-kata yang indah dan pada masa yang sama mereka menyaksikan perbuatan yang tercela, sehingga mereka menjadi bingung di antara perkataan dan perbuatan. Akhirnya semangat yang dipancarkan oleh akidah mereka menjadi redup, sinar yang dijelmakan oleh keimanan dalam hati mereka menjadi mati. Sudah tidak ada lagi kepercayaan kepada agama selepas hilangnya kepercayaan mereka kepada para pemimpin agama.

Perkataan-perkataan yang keluar menjadi hambar walaupun ianya diungkapkan dengan gaya dan intonasi yang memikat. Ini kerana kata-kata itu tidak keluar daripada hati yang meyakininya. Sesungguhnya manusia tidak pernah percaya terhadap kata-kata itu kecuali ada realiti dalam kehidupan yang boleh disaksikan dan dipertontonkan. Pada ketika itu manusia mulai akan mempercayainya, walaupun kata-kata itu diucapkan tidak dengan intonasi dan suara yang menarik. Ini kerana kekuatan kata-kata itu akan terpancar daripada praktikal dan realisasinya bukan daripada hiasannya. Indahnya kata-kata itu akan terpancar daripada kejujurannya bukan daripada kuatnya suara sehingga ia menjadi sesuatu ketika akan berubah dan menjadi hentakan kehidupan kerana kata-kata itu terpancar daripada kehidupan.

Untuk itulah dalam bab ini akan dijelaskan tanda-tanda keimanan yang jujur kepada dakwah, hakikat komitmen terhadap dakwah dan bagaimanakah prinsip-prinsip dan slogan-slogan itu menjadi realiti yang akan disaksikan oleh semua orang samada dari jauh mahupun dekat.

Oleh kerana para aktivis dakwah tidak merealisasikan prinsip-prinsip, ciri-ciri dan slogan-slogan dakwahnya maka dia akan menjadi penghancur dakwah serta menjadikan orang lain menghalang dan menghinakannya. Ini kerana mereka mendengar kata-kata semanis madu dan menyaksikan perbuatan yang pahit umpama racun. Bagaimanakah manusia mahu mengikuti individu yang hanya berkata-kata dengan bibirnya sesuatu yang tidak ada dalam hatinya dan menyeru kebaikan sementara dia tidak melakukannya.

Apakah ciri-ciri komitmen yang sebenar, dan bagaimanakah komitmen saya terhadap dakwah?”

**********************

Sekali lagi, saya ingin utarakan bahawa buku ini patut dimiliki oleh mereka yang mendakwa dirinya sebagai pendakwah ataupun bakal pendakwah.