Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

26 April, 2009

Al-Azhari dan Al-Quran


Alif Laam Ra. Sebuah kitab yang tersusun ayat-ayatnya dan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu, (susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya. (Hud:1)

Hampir lima tahun saya berada di bumi Mesir ini dan telah menyaksikan pelbagai ragam Azhari Malaysia. Salah satu daripadanya adalah tentang mutu pembacaan Al-Quran Al-Karim. Saya tidak berniat untuk merendah-rendahkan segelintir mahasiswa Al-Azhar yang masih lemah bacaannya samada dari segi hukum tajwid Al-Quran dan makhraj hurufnya. Tambahan pula, saya juga adalah sebahagian daripada mereka.

Apa yang ingin disentuh di sini adalah berkenaan bagaimana persiapan graduan Al-Azhar apabila pulang ke tanahair satu masa nanti yang mana, rata-rata lepasan universiti ini akan melibatkan diri dalam bidang dakwah ataupun pendidikan. Sudah pasti mereka akan dipinta untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat dengan memenuhi jemputan berceramah, mengajar dan seumpamanya. Walhal, antara intipati utama dalam sesebuah ceramah agama ialah dalil-dalil Al-Quran Al-Karim dan Hadith Nabi SAW. Ianya adalah umpama lauk dalam hidangan. Nasi yang dimakan tidak akan enak jika tiada lauk-paukdalam jamuan tersebut.

Keadaan akan lebih mengecewakan jika ayat-ayat Al-Quran mahupun hadith itu tidak dapat disampaikan dengan bacaan yang betul dan tepat. Bukankah hal tersebut memalukan?

Saya yakin, umum masyarakat meyakini bahawa Al-Quran adalah sumber cahaya bagi orang-orang yang beriman. Allah berfirman yang mafhumnya: "Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran sebagai ruh (yang menghidupkan hati) dengan perintah Kami". (Al-Syura:52)

Namun begitu, fakta begini dikhuatiri sedikit ternafi disebabkan pembacaan yang tidak lancar.

Sekali lagi, saya tidak bermaksud memandang sebelah mata kepada mereka yang ingin menyampaikan ilmu agama tetapi tidak elok bacaan Al-Qurannya! Bagi saya, usaha dan keinginan mereka untuk berkongsi ilmu amatlah dihargai dan dipuji. Cuma jika saya boleh mengumpamakan senario ini seperti seseorang yang ingin menghadiahkan permata-permata yang indah tetapi dalam keadaan berterabur dan berselerak. Bagaimana perasaan penerima hadiah tersebut?

Motif utama tulisan ini adalah ingin menyeru diri al-faqir dan para pembaca sekalian terutama sekali mereka yang terlibat dalam pengajian agama agar berusaha untuk memperbaiki mutu bacaan Al-Quran. Bukan bertujuan untuk dilabelkan sebagai 'penceramah yang hebat', tetapi demi mengharapkan keredhaan Allah.

Hadith Nabi SAW yang mafhumnya lebih kurang, "Seseorang yang ahli dalam Al-Quran akan bersama para malaikat pencatat yang mulia. Dan seseorang yang tersekat-sekat bacaannya (di samping berusaha untuk memperelokkannya) akan mendapat dua ganjaran"
au kama qaalan Nabi SAW

Bagi mahasiswa-mahasiswa yang menuntut di bumi Mesir ini, peluang untuk bertalaqqi Al-Quran dengan para Qurra' Al-Misriyyin sangat cerah dan tidak patut dipersia-siakan. Saya yakin peluang yang sama turut diperolehi oleh sahabat-sahabat yang belajar di negara-negara Arab yang lain. Saya juga tidak dapat menafikan bahawa di Negara Malaysia, tidak kurang golongan ustaz dan ustazah yang boleh membantu dalam pengajaran Al-Quran yang mulia ini.

Sabda Nabi SAW, "Sebaik-baik kamu adalah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya"

1 comment:

helmi said...

salam...terlalu ramai masyarakat malaysia hari ni yang nak pada Islam tapi ramai juga yang buta Al-Quran. yang tak penah solat pun ramai.