Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

21 February, 2012

MENGUMPAT YANG DIHARUSKAN


Memang benar, mengumpat adalah haram dalam Islam. Mereka yang melakukannya telah melakukan perkara yang berdosa besar.

Umpatan bermaksud mengatakan sesuatu tentang seseorang di belakangnya yang andaikata diketahuinya pasti tidak akan disenangi olehnya. Perkara yang dikatakan
itu mungkin berkaitan dengan keaiban dan kekurangan yang ada pada fizikal, keturunan, kelakuan, perbuatan, perkataan, dunia atau agama seseorang. Malah jika ianya berkaitan dengan pakaian, rumah serta kenderaannya sekalipun, ia tetap dihukum sebagai mengumpat. (Ihya Ulumuddin bab Bahaya Lidah)

Di zaman Rasulullah telah berlaku insiden di mana Maiz bin Malik Al-Aslami telah berzina, maka dia pun dihukum oleh Rasulullah. Seorang lelaki, ketika melihat Maiz sedang dihukum, telah berkata kepada rakannya: "Orang ini mati di tempatnya seperti matinya anjing di tempatnya." Ketika mereka beredar, mereka telah bertemu dengan seketul daging bangkai di tepi jalan. Ketika itu Nabi terus bersabda kepada mereka: "Apa yang kamu perolehi dari (umpatan ke atas saudaramu) adalah lebih busuk dari bangkai ini." (Riwayat Abu Daud & An-Nasai – Isnad Hasan / Baik)

Namun pada ketika tertentu mengumpat adalah diharuskan. Imam Nawawi telah menetapkan enam keadaan di mana mengumpat adalah diharuskan.

1-Ketika Dizalimi. Orang yang dizalimi boleh bersuara untuk mengadu tentang perbuatan orang-orang yang telah menzaliminya. Dalam al-Azkar Imam an-Nawawi telah berkata: "Adalah harus bagi yang dizalimi mengadu kepada sultan, qadhi atau mereka yang lain yang mempunyai kekuasaan atau kemampuan untuk menghilangkan kezaliman daripada dirinya. Nabi telah bersabda: "Sesungguhnya orang yang mempunyai hak itu mempunyai perkataan (berhak untuk bersuara)." Bukhari – Muslim

Jika yang melakukan kezaliman itu ialah orang-orang atasan, kita hendaklah menceritakan tentang perkara ini kepada mereka yang lebih berkuasa daripada mereka, agar tindakan dapat dilakukan secara berkesan. Imam al-Ghazali telah berkata: "Jika yang melakukan kezaliman itu ialah seorang Hakim, seseorang itu berhak mengadu tentang kezaliman itu kepada pihak pemerintah." (Ihya Ulumuddin bab Mengumpat)

2- Ketika Meminta Pertolongan Untuk Mencegah Kemungkaran. Menceritakan kemungkaran yang dilakukan seseorang bertujuan untuk mendapatkan bantuan untuk mencegahnya, adalah diizinkan. Dalam Ihya Ulumuddin telah dilaporkan, "Ketika sampai berita kepada Umar bahawa Abu Jundul telah membuat
arak di Syria, beliau terus menulis surat untuk menegurnya. Abu Jundul terus bertaubat dan Umar tidak berpendapat bahawa berita yang sampai kepadanya itu adalah suatu umpatan."(Ihya bab Mengumpat)

3- Ketika Meminta Fatwa. Di haruskan menceritakan tentang keaiban orang lain kepada yang berilmu untuk mendapatkan fatwa darinya. Tanpa maklumat itu, berkemungkinan hukum dan fatwa tidak akan dapat diberikan secara tepat. Dalam konteks ini, seorang isteri yang tidak mendapat hak dari suaminya harus menceritakan tentang ketidakadilan suaminya untuk mendapatkan fatwa dan nasihat dari orang-orang yang layak. Kes yang seperti ini telah berlaku di zaman Rasulullah. Pada suatu ketika Hindun binti Utbah telah bertanya kepada Rasulullah tentang suaminya (Abu Sufyan) yang bakhil. Beliau berkata: "Dia tidak memberikan harta yang mencukupi bagiku. Bolehkah aku mengambil hartanya tanpa pengetahuannya?" Jawab Rasulullah: "Ambillah secara yang mencukupi untuk diri dan anakmu secara yang makruf."(Bukhari –Muslim)

4- Ketika Mengingatkan Orang Islam Dan Menakutkan Mereka Tentang Sesuatu Kejahatan Dan Bidah. Masyarakat perlu disedarkan tentang kumpulan-kumpulan dan tokoh-tokoh sesat di dalam masyarakat (contohnya Ayah Pin) agar mereka dapat berwaspada dari golongan-golongan ini. Mendedahkan tentang mereka tidak dianggap sebagai suatu umpatan malah kadangkala ianya merupakan suatu tuntutan. Rasulullah pernah bersabda: "Aku tidak yakin bahawa si pulan dan si pulan mengetahui tentang agama sedikitpun."(Bukhari) Di dalam hadis ini Nabi telah menceritakan tentang keaiban dua orang munafik agar sahabat-sahabat berwaspada dengan tindak tanduk mereka. Imam Al Ghazali telah berkata: "Apabila kamu melihat seorang alim sering mendatangi seorang pembuat bidaah atau kefasikan, dan kamu takut bidaah itu menular kepadanya, maka kamu berhak menceritakan tentang keaiban orang itu kepada si alim tadi. Yang menggerakkan kamu melakukannya ialah ketakutan menjalarnya bidaah dan kefasikan dan bukan disebabkan oleh faktor-faktor lain.”(Ihya Ulumuddin bab Mengumpat)

Tambahan dari itu, Imam Nawawi dalam al-Azkar, telah berkata: "(Antara perkara yang harus diumpatkan) ialah tentang mereka yang mempunyai kekuasaan tetapi tidak menggunakannya di atas jalan yang hak ataupun mereka ini merupakan orang-orang yang fasik, lalai dan yang seumpamanya. Ketika itu wajib diberitahu kepada pemimpin tertinggi agar dilucutkan jawatannya dan digantikannya dengan seorang yang lebih layak."

5- Umpatan ke Atas Mereka Yang Menzahirkan Maksiat. Mereka yang sanggup mengiklan dan mendedahkan kemaksiatan tanpa berasa malu dan segan, tidak layak untuk dihormati. Umar Al Khattab pernah berkata: "Tidak ada kehormatan ke atas orang-orang yang fajir." Imam Al-Ghazali telah mentafsirkan kalimat ‘fajir’ ini sebagai "yang melakukan kefasikan secara terang-terangan tanpa selindung."(Ihya Ulumuddin bab Mengumpat) Justeru, apabila seseorang menceritakan tentang golongan yang sanggup menzahirkan maksiat tanpa perasaan segan-silu, ia tidak dianggap sebagai mengumpat. Imam Al-Ghazali telah menegaskan: "Orang-orang lelaki yang menampakkan dirinya sebagai wanita, mereka yang mempunyai tempat minuman keras di mana arak diminum secara terang-terangan dan mereka yang meminta harta menusia secara paksaan, kesemua mereka adalah termasuk di dalam golongan yang menzahirkan perbuatan keji dan dengan itu tidak memelihara diri mereka dari disebut-sebut. Apabila kamu menceritakan tentang mereka dan maksiat yang mereka zahirkan, maka kamu tidak berdosa.”(Ihya Ulumuddin bab Mengumpat)

Pemimpin yang memperkecilkan syariat Allah secara terang-terangan adalah termasuk di dalam golongan yang tidak layak untuk dihormati. Imam Hasan Al-Basri telah berkata:"Tiga golongan manusia boleh diumpat, iaitu, yang mengikut hawa nafsunya, yang melakukan kefasikan secara terang-terangan dan imam (pemimpin) yang zalim.”(Ihya Ulumuddin bab Mengumpat)

6- Ketika Memberi Gelaran Kepada Seseorang Untuk Pengenalan Pada Ketika Yang Diperlukan. Jika dalam sesebuah kampung ramai daripada penduduknya bernama Muhammad, harus diberikan gelaran khusus bagi setiap seorang daripada mereka untuk memudahkan pengenalan. Sebagai contoh, seorang digelar dengan Muhammad Surau, seorang dengan Muhammad Tomyam, Muhammad Bisu dan seumpamanya.

Rujukan:

1- Al Azkar, Imam Nawawi, Dar al-Kitab al-Gharbiy, 1979.
2- Ihya Ulumuddin, Al-Ghazali, Pus. Nasional, 1981
3- Bahan Berdakwah Bagi Remaja Moden karangan Dr Danial

No comments: