Asas ketiga: التدريج في التشريع Pensyariatan secara berperingkat-peringkat.
Hal ini berlaku sewaktu awal kemunculan Islam dengan tujuan agar individu-individu yang baru memeluk Islam ketika itu bersedia untuk menerima hukum-hakam agama dan tidak berasa terkejut apabila menghadapinya ataupun mengaplikasikannya. Sebagai contoh:
Pertama: Pengharaman arak: Pada asalnya Allah SWT tidak mensyariatkan pengharaman arak, sebaliknya pengharaman itu bermula di Madinah secara berperingkat-peringkat. Pertama sekali turunnya firman Allah:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi, katakanlah, “Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”
Ayat suci ini tidak menyuruh agar berhenti daripada mendapatkan arak itu. Seterusnya firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri solat (mengerjakan), sedangkan kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui apa yang kamu katakan”
Ayat suci ini diturunkan kerana ada sebahagian mereka yang baru memeluk Islam ketika itu tersasul dan tersilap ketika membaca Al-Quran dengan bacaan:
قل يا أيها الكافرون أعبد ما تعبدون
yang bermaksud: “Katakanlah, wahai orang-orang kafir, aku menyembah apa yang kamu sembah”
Oleh itu, ayat ini memberi makna ‘pengharaman separuh’ kerana melarang orang Islam yang mabuk daripada mengerjakan solat. Maka apabila turunnya ayat yang berbunyi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Firman Allah ini yang antara lain difahami, “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi , pemujaan berhala dan menilik nasib dengan batang anak-anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya agar kamu berjaya.”
Kemudian Allah SWT kukuhkan lagi penerangan tentang kerosakan duniawi dan ukhrawi yang akan berlaku kesan daripada arak tadi melalui firmanNya:
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ
“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yan keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
Kedua: Sistem pewarisan. Pada asalnya orang Arab jahiliyah hanya memberikan harta warisan kepada lelaki-lelaki dewasa, yang sentiasa membawa pedang, mempertahankan keluarga dan berperang dengan musuh. Selain daripada itu, antara sebab-sebab pewarisan juga adalah dengan bersumpah dan status anak angkat.
Pada awal kebangkitan Islam, sistem ini masih diterima pakai buat sementara. Kemudian setelah beberapa lama, ianya diubah secara beransur-ansur iaitu dengan memansuhkan status anak angkat.
وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ذَلِكُمْ قَوْلُكُمْ بِأَفْوَاهِكُمْ وَاللَّهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ (4) ادْعُوهُمْ لِآَبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ فَإِنْ لَمْ تَعْلَمُوا آَبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ
“Dan Dia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. (Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang terbabit itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia-lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber’bin’kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang paling adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai maula-maulamu (seorang hamba sahaya yang sudah dimerdekakan)”
Begitu juga pewarisan disebabkan peristiwa hijrah dan persaudaraan (yang dijadikan seperti adik-beradik) akhirnya dimansuhkan.
وَأُولُو الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَى بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
“Orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Ketiga: Pengharaman riba. Allah tidak mengharamkan riba sekaligus sebaliknya secara berperingkat-peringkat. Peringkat pertama; Allah berfirman:
وَمَا آَتَيْتُمْ مِنْ رِبًا لِيَرْبُوَ فِي أَمْوَالِ النَّاسِ فَلَا يَرْبُو عِنْدَ اللَّهِ
“Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar dia bertambah pada harta manusia, maka riba itu tidak menambah pada sisi Allah.”
Peringkat kedua; Allah berfirman:
لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُضَاعَفَةً
“Janganlah kamu memakan riba dengan berlipat kali ganda”
Semenjak itu, walaupun riba masih berjalan namun, masyarakat tidak lagi mengenakan kadar riba yang tinggi. Berikutnya peringkat ketiga; Allah berfirman:
يَمْحَقُ اللَّهُ الرِّبَا
“Allah susutkan (kebaikan harta yang diperolehi dengan mengambil) riba”
Seterusnya Allah berfirman mengharamkan riba secara jelas:
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا (البقرة : 275)
“Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”
وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (278) فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ (البقرة: 278-279)
“Tinggalkanlah sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah, bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu.”
Keempat: Hukuman ke atas penzina. Pada mulanya hukuman ke atas penzina adalah dikurung di dalam rumahnya sendiri, sepertimana firman Allah:
وَاللَّاتِي يَأْتِينَ الْفَاحِشَةَ مِنْ نِسَائِكُمْ فَاسْتَشْهِدُوا عَلَيْهِنَّ أَرْبَعَةً مِنْكُمْ فَإِنْ شَهِدُوا فَأَمْسِكُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ (النساء: 15)
“Dan (terhadap) para wanita yang mengerjakan perbuatan keji (zina), hendaklah ada empat orang saksi di antara kamu (yang menyaksikannya). Kemudian apabila mereka telah memberi persaksian, maka kurunglah mereka (wanita-wanita itu) dalam rumah.”
Kemudian hukum berubah kepada sebatan ke atas penzina yang belum berkahwin dan direjam ke atas penzina yang sudah berkahwin. Firman Allah:
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ (النور: 2)
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat.”
Manakala hukuman rejam pula telah sabit dan tetap dengan Hadith Rasulullah SAW.
Kelima: Bilangan solat fardhu. Pada mula kemunculan Islam, solat hanya disyariatkan dua rakaat pada waktu pagi dan dua rakaat pada waktu malam. Apabila umat Islam telah mula selesa, tenang dan merasai pelbagai faedah melalui ibadah solat, Allah menambah bilangan solat itu menjadi lima kali sehari semalam.
Keenam: Mengadap qiblat. Setelah Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, baginda mengadap Baitul Maqdis iaitu qiblat Bani Israel ketika menunaikan solat untuk menarik minat mereka agar sukakan agama Islam. Allah berfirman:
وَلِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ (البقرة: 115)
“Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah), maka di situlah arah yang diredhai Allah”
Selepas beberapa tahun, Rasulullah SAW rindu dan berharap agar dapat mengadap ke arah qiblat ‘bapanya’ Nabi Ibrahim A.S iaitu Ka’bah. Akhirnya Allah pun menurunkan ayatNya:
وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنْتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلَى عَقِبَيْهِ وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ (143) قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ (البقرة: 143-144)
“(Sebenarnya qiblat kamu ialah Ka’bah) dan tiadalah Kami menjadikan qiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan oleh Allah petunjuk hidayat dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan rahmatNya kepada orang-orang yang beriman. Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang kali menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap qiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat terletaknya Ka’bah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya”
Ketujuh: Peperangan. Umat Islam ketika di ambang kemunculannya merupakan golongan minoriti dan amat sedikit bilangannya. Jika berlaku peperangan di antara mereka dengan golongan musyrikin pasti umat Islam akan menerima kekalahan. Oleh sebab itu, Allah memerintahkan agar mereka berpaling daripada puak-puak musyrikin dan bersabar di atas segala perbuatan jahat mereka. Perintah Allah:
وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ (الأنعام: 106)
“Dan berpalinglah dari orang-orang musyrik”
خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ (الأعراف: 199)
“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan hiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya)”
Apabila umat Islam telah bertambah ramai dan semakin kuat, mereka diperintahkan agar mempertahankan agama dengan memerangi musuh-musuh mereka melalui firman Allah:
أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ (الحج: 39)
“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh) kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).”
Terdapat banyak lagi ayat-ayat lain yang mengizinkan peperangan menentang musuh-musuh agama dan dijanjikan dengan pelbagai faedah duniawi dan ukhrawi.
Selain daripada itu, bukan ini sahaja contoh-contoh pensyariatan secara berperingkat. Memadailah setakat ini dahulu. Mudah-mudahan kita beroleh manfaatnya bersama.
Rujukan :
فقه العبادات
أ.د عبد الفتاح حسيني الشيخ
المعهد العالي للدراسات الإسلامية - الزمالك
No comments:
Post a Comment