Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

02 November, 2008

MA Al-Azhar tidak susah

Sudah lama saya tidak memainkan jari saya untuk menaip post terbaru dalam blog peribadi ini. Ada beberapa sebab antaranya, laptop saya tidak terlepas daripada jangkitan virus dan saya juga tiada kesempatan untuk set up semula. Tapi sebenarnya itu hanyalah alasan kerana sebab utama tidak up date blog ini adalah disebabkan tiada mood dan idea baru. (hah habis cerita!)

Kenapa tiada mood? Kerana fikiran saya menjadi tidak menentu dek mengenangkan apakah natijah peperiksaan saya. Ternyata hasil yang diperolehi sedikit memeranjatkan dan mengecewakan. Setelah dua tahun pengajian saya di tahun satu tamhidi dirasat ‘ulya (pra-master), Universiti Al-Azhar, dan berkali-kali memasuki peperiksaan ulangan, akhirnya saya gagal hanya satu matapelajaran yang menyebabkan perjalanan saya terpaksa berhenti di sini. Ini adalah kerana sistem MA Universiti Al-Azhar yang tidak membenarkan pelajar-pelajarnya lemah dalam mana-mana matapelajaran walaupun satu maddah. Akibatnya saya dianggap mafsul (dibuang).

Ganjilkan, kenapa saya menguar-uarkan kegagalan saya kepada dunia melalui alam maya ini? Bukan kegagalan yang hendak diceritakan di sini, sebaliknya untuk memberitahu kepada anda bahawa sebenarnya pengajian MA di Al-Azhar tidaklah susah mana sepertimana yang telah digembar-gemburkan oleh banyak pihak. Jadi, kenapa saya gagal juga?

Jawapannya ... biarlah rahsia.

Peperiksaan terakhir yang saya duduki pada bulan September yang lalu adalah peluang terakhir saya. Tatkala itu juga adalah bulan Ramadhan yang mulia. Peperiksaan tersebut berlangsung selama enam hari berturut-turut. Memang meletihkan. Otak saya serasa nak pecah, fikiran seakan bercerakah kerana kurang rehat. Padan muka, kerana saya memang sudah puas berehat sebelum itu.

Usaha tetap diteruskan. Doa sentiasa dipanjatkan. Harapan digantungkan hanya kepada Allah SWT. Saya tidak membiarkan kertas jawapan saya putih suci seperti peperiksaan-peperiksaan yang terdahulu. Otak saya ligat memikirkan apakah jawapan yang terbaik yang pensyarah mahukan daripada soalannya. Bukan hafalan daripada kitab yang saya jawab, sebaliknya apa yang saya faham daripada kitab dan KULIAH. Sungguhpun saya tidak dapat menafikan jawapan yang saya berikan barangkali tidak seberapa, namun saya tetap berpuas hati dengan apa yang terdaya.

Akhirnya daripada tujuh matapelajaran (termasuk bahas @ assignment), hanya satu sahaja yang saya gagal. Saya menaruh sangka baik terhadap kedua-dua orang pensyarah saya yang mengajar ilmu Al-Ma’ani , sedangkan ia adalah matapelajaran yang paling saya minati dan selalu berikan tumpuan. Barangkali mereka mengatakan, “Dia ni masih banyak lagi yang perlu diperbaiki” ataupun, “Al-Azhar mahukan graduan yang bakal menjadi pensyarah nanti adalah yang terbaik sahaja”, ataupun “Jangan malukan Al-Azhar”. Ia hanyalah andaian saya semata-mata.

Setelah mengkoreksi diri, maka pengajaran yang dapat saya perolehi daripada nasib gagal kali ini adalah ada tiga perkara terpenting yang perlu dijaga oleh setiap penuntut ilmu yang beragama Islam tanpa mengira bidang yang diceburi.

Pertama, taqarrub ilAllah (mendekatkan diri kepada Allah SWT) samada sebelum ataupun selepas peperiksaan. Ianya mestilah berterusan. Allah Maha Mengetahui isi hati hamba-hambaNya. Mendekatkan diri kepadaNya tidak semestinya dengan membanyakkan amalan, malahan dengan meninggalkan dan menjauhi segala dosa-dosa yang menyebabkan hati dan fikiran kita terhijab (tidak nampak) daripada segala ilmu-ilmu yang telah dipelajari sebelum ini. Kesudahannya, kertas jawapan kosong. Saidina Umar Al-Khattab berwasiat kepada Sa’ad Bin Abi Waqas sebelum pergi berperang, “Aku lebih takut dosa-dosa dan maksiat yang kamu (dan tentera-tentera) lakukan daripada kekuatan tentera musuh. Jika kamu tetap berterusan dengan dosa-dosa, maka tiadalah lagi perbezaan di antara kamu dengan mereka, sedangkan mereka mempunyai kelebihan kekuatan tentera dari segi bilangan dan senjata-senjatanya”

Kedua, usahakan agar tidak ponteng kuliah. Pengalaman saya daripada peperiksaan yang lalu, 80% jawapan saya dalam peperiksaan adalah apa yang saya teringat ketika pensyarah mengajar kami (maksud saya; konsep-konsepnya). Paling penting – hadiri kuliah ada keberkatannya. Bakinya daripada pembacaan kitab-kitab kuliah. Cuma yang menjadi masalahnya ialah..., “Hish, macam manalah aku nak mengarang nih?”

Ketiga, baca keseluruhan silibus dan fahamkan konsepnya betul-betul. Sekadar menghafal, tidak memadai kerana sifat manusia adalah pelupa. Saya juga antara spesis manusia yang cepat lupa. Jangan main target atau teka-teka. Nak target juga? Boleh, tapi pastikan tajuk itu adalah yang selalu diisyaratkan oleh pensyarah sendiri.

Kenapa saya gagal? Kerana saya malas dan terlalu melayan perasaan. Sedangkan semua itu adalah ujian. Menyesal? Sudah tidak berguna. Saya masih menaruh sangka baik kepada Yang Maha Merancang. Mudah-mudahan ada hikmah di sebalik nasib kurang baik yang saya hadapi kali ini.

Sekali lagi saya tegaskan bahawa pengajian peringkat MA di Universiti Al-Azhar tidak susah mana, asalkan kita berusaha lebih dan gandakan amal ibadat kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Buktinya apa? Pensyarah hanya mahu lihat, anak-anak muridnya ini faham atau tidak pelajarannya. Saya sendiri terkejut apabila melihat matapelajaran Naqad Adabi (Kritikan Sastera) lulus, sedangkan ia adalah matapelajaran yang paling susah bagi saya. Ini menunjukkan masih ada tasamuh (tolak-ansur) daripada pensyarah saya. Cuma al-Ma’ani yang agak syadid sedikit. Takpalah.

Kepada mereka yang ada cita-cita untuk melanjutkan pengajian peringkat MA di Al-Azhar, teruskan cita-cita anda. Jangan takut. Man lam yadzuq lam yadri (Siapa yang belum cuba, belum tahu). Saya ingin meminjam kata-kata senior saya iaitu Ustaz Muhd Lukman Said yang kini sedang menulis tesis MA di Jabatan Usul Lughah, Fakulti Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar; “Sesiapa sahaja yang telah diterima masuk untuk melanjutkan pengajian peringkat MA di Universiti Al-Azhar bermakna dia memang berpotensi. Cuma potensi itu perlu terus dikekalkan oleh empunya diri itu sendiri”

Jika anda merasakan ada pengajaran daripada pameran artikel saya kali ini, ambillah ia sebagai iktibar. Akan tetapi, sekiranya anda berkata, “Buat apa dengar cakap daripada orang yang telah gagal ini?” maka saya juga akan berasa malu alah...

Apa perancangan saya selepas ini? Nantikan melalui posting yang akan menyusul.

6 comments:

ghost_MaR said...

salam ...
terharu bc entry nih ...

khairaummah said...

Salam alaik...

mudah2an ada hikmah.
Keep on moving!

al-Balingi said...

Salam Ustaz,

Biarlah rahsia noo. Mcm lagu Siti la pulak. Btol la ustaz,taqarrub ilahi tu yg paling penting. Apa sj yg kita kehendaki mestilah ada unsur taqarrub Ilahi, termasuk lah nak exam. Teringt peribahasa arab(kalu tak silap) man jadda wa jada.

Ameen said...

Tersentuh sungguh...

~nEmo~ said...

Ada hikmah yang tersirat, itu yang pasti.

Saya belajar daripada pengalaman untuk tidak menyesali dengan apa yang telah di lalui. Walaupun ianya pahit, ia perlu ditelan kerana ia membawa kebaikan. Kebaikan yang memberi pengalaman dan pengajaran pada diri yang menjadikan siapa diri kita hari ini. Allah itu Maha Penyayang.

abid_dhaif said...

hikmah nya bakal ustaz lihat..insAllah sesiapa yg mencintai ilmu Allah akan bg jalan keluar n kesenangan.mg terus smgt menuntut ilmu.ahlan ila ardh syam!