Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

29 November, 2008

Nasyid si syahid

siapa berani cakap; Imam Samudera, Amrozi dan Mukhlas itu adalah pengganas?!!
perhatikan...

http://www.youtube.com/watch?v=Hf7hnT-UmNQ&eurl=

28 November, 2008

Ziarah blog lain

assalamualaikum
Terima kasih kepada semua yang pernah melayari blog ini. Saya berasa malu apabila anda hanya terbaca entri yang sudah lama tidak di up date, lantaran kekontangan idea.

Untuk tidak mengecewakan anda, saya mempelawa para pengunjung agar klik http://jarumemas.blogspot.com/ insya Allah di sana terdapat banyak info yang menyentuh kalbu.

Siiru 'ala barakatillah

15 November, 2008

Liku-liku sambung mengaji

Sengaja saya membiarkan blog peribadi ini tiada sebarang pengisian kerana selagi tiada perkembangan terkini tentang liku-liku hidup ini, maka tiadalah coretan di sini.

Semenjak mendapat berita kegagalan saya dalam pengajian pra-master di Universiti Al-Azhar, otak menjadi ‘blur’ kebingungan. Hendak ke mana selepas ini? Apa yang hendak dilakukan lagi? Saya maklumkan kepada ayahanda dan bonda di tanahair. Seperti yang dijangkakan, kekecewaan pastinya terasa di benak hati mereka. Terasa bersalah yang amat sangat menyelubungi diri ini apabila telah menghampakan mereka buat kesekian kalinya. Tapi apakan daya, setakat itu sahaja kemampuan saya.

Semangat untuk menuntut ilmu dan menyambung pengajian saya teruskan dengan berusaha mendapatkan maklumat tentang pusat-pusat pengajian di Republik Arab Syria. Berdasarkan informasi yang saya perolehi tentang Syria, saya membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian di Institut Fatah Islami yang lebih dikenali sebagai Ma'had Fatah. Setelah mendapat persetujuan daripada bapa, tanpa membuang masa saya telah menelefon salah seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Syria. Namun dukacita apabila dimaklumkan oleh Ustaz Hazuanuddin iaitu pelajar Malaysia di sana, bahawa Kerajaan Syria pada ketika ini tidak membenarkan pelajar-pelajar asing yang baru hendak mendaftar ke mana-mana pusat pengajian di negaranya, berikutan masalah yang melibatkan aman siasi (keselamatan politik).

Saya juga telah mendengar sebuah khabar rieh (angin) yang mengatakan Darul Ifta’ Al- Misriyyah (Pusat Fatwa Mesir) telah membuka semula pengambilan kedua pelatih-pelatih barunya yang dikatakan masih ada lagi 38 kekosongan. Pantas saya bertindak untuk insihab auraq iaitu menuntut kembali sijil-sijil dan dokumen yang saya berikan kepada pihak Universiti Al Azhar ketika mendaftar dahulu, kerana auraq tersebut akan saya persembahkan kepada pihak Darul Ifta’ untuk tujuan yang sama.

Darul Ifta' Al-Misriyyah

Malang kali kedua, apabila pihak pendaftaran Darul Ifta’ terkejut menerima kehadiran saya ke pejabatnya. “wAllahi ana musy ’arif, enta gibta el khabar dih miniin. Miin allak kidah?” (Demi Allah, saya tidak tahu dari mana awak mendapat cerita begini. Siapa yang cakap ni?”

Ya Allah, aku masih tercari-cari apakah hikmahnya di sebalik semua ini? Takpa, cari maklumat lagi. Saya berpeluang bertemu dengan Ustaz Zainuddin Abd Rahman, iaitu salah seorang pegawai di Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah yang juga merupakan graduan salah sebuah universiti di Marocco @ Maghribi. Maklumat dan nombor telefon diberikan. Langsung saya menelefon ke Maghribi, bertanyakan kalau-kalau ada nasib di sana.

Masjid Al-Qarawiyyin

Menurut Ustaz Fathi, salah seorang pelajar Malaysia di Maghribi, memang ada pusat pengajian tinggi yang menawarkan pengajian peringkat M.A dalam bidang Bahasa Arab. Antaranya ialah Universiti Al-Qarawiyyin dan Universiti Tetuan. Tetapi, pendaftaran telah ditutup semenjak bulan Ogos yang lalu. Sekarang bulan berapa? “Kalau ustaz nak juga, boleh. Tapi tunggu tahun depanlah” Begitulah kata-kata terakhir daripada Ustaz Fathi.

Hadui ! Apa pulak lepas nih?

Yang terkini, saya telah mengintai Dirasat ‘Ulya di Universiti Cairo, ingin tahu berapakah yuran pengajian yang dikenakan? Tahukah anda berapa?

Universiti Cairo

Lebih 2000 pound sterling yang diminta. Mak aih ! Terkejut beruk saya dibuatnya. Beruk pun tak terkejut macam tuh !

Saya congak dengan nilai Ringgit Malaysia hampir mencecah RM13 ribu. Ya Allah, ni nak bagi ilmu ke atau nak berniaga?

Saya telefon ayahanda di Sabah, minta pendapat. “Teruskan mencari lagi walaupun sampai ke Libya, Sudan dan Pakistan. Ataupun tanya kedutaan tentang bagaimana permohonan takhfidh (pengurangan kadar yuran)”.

Otak saya berserabut, mujur rambut di kepala tidak macam sabut.

Tanya lagi pihak kedutaan, nasihat yang diberikan hampir sama dengan pendapat ayahanda iaitu cuba juga di Universiti Cairo di samping akan berusaha mencari sumber kewangan melalui agensi-agensi tertentu.

Setelah mendapat surat sokongan daripada Kedutaan Malaysia di Mesir, saya pun pergi semula ke Universiti Cairo untuk mendaftar. Sekali lagi kalimat ‘TETAPI’ muncul semula, apabila pihak pendaftaran melihat markah matapelajaran bidang / takhassus yang ingin saya ceburi masih tidak memadai. Matapelajaran pengkhususan yang diperlukan adalah “Jayyid jiddan”.

Inilah perbezaan di antara Universiti Al-Azhar dan Universiti Cairo, yang mana Al-Azhar mengenakan syarat taqdir am / keputusan keseluruhan paling kurang “Jayyid”, dan menjalankan imtihan qabul / ujian kelayakan. Saya pernah gagal ujian tersebut ketika percubaan kali pertama pada tahun 2005 yang lalu.

Manakala Universiti Cairo pula, walaupun tiada imtihan qabul, namun syarat markah pula adalah ketat. Walaubagaimanapun pihak pendaftaran tetap menerima dokumen-dokumen yang saya berikan, dan meminta agar saya datang semula pada minggu hadapan untuk menunggu natijah daripada pihak atasan.

Itulah sebahagian kecil liku-liku hidup yang terpaksa saya harungi untuk melanjutkan pengajian ini. Apa pula yang akan terjadi selepas ini? Hanya Allah sahaja yang Maha Merancang lagi Maha Mengetahui.

02 November, 2008

MA Al-Azhar tidak susah

Sudah lama saya tidak memainkan jari saya untuk menaip post terbaru dalam blog peribadi ini. Ada beberapa sebab antaranya, laptop saya tidak terlepas daripada jangkitan virus dan saya juga tiada kesempatan untuk set up semula. Tapi sebenarnya itu hanyalah alasan kerana sebab utama tidak up date blog ini adalah disebabkan tiada mood dan idea baru. (hah habis cerita!)

Kenapa tiada mood? Kerana fikiran saya menjadi tidak menentu dek mengenangkan apakah natijah peperiksaan saya. Ternyata hasil yang diperolehi sedikit memeranjatkan dan mengecewakan. Setelah dua tahun pengajian saya di tahun satu tamhidi dirasat ‘ulya (pra-master), Universiti Al-Azhar, dan berkali-kali memasuki peperiksaan ulangan, akhirnya saya gagal hanya satu matapelajaran yang menyebabkan perjalanan saya terpaksa berhenti di sini. Ini adalah kerana sistem MA Universiti Al-Azhar yang tidak membenarkan pelajar-pelajarnya lemah dalam mana-mana matapelajaran walaupun satu maddah. Akibatnya saya dianggap mafsul (dibuang).

Ganjilkan, kenapa saya menguar-uarkan kegagalan saya kepada dunia melalui alam maya ini? Bukan kegagalan yang hendak diceritakan di sini, sebaliknya untuk memberitahu kepada anda bahawa sebenarnya pengajian MA di Al-Azhar tidaklah susah mana sepertimana yang telah digembar-gemburkan oleh banyak pihak. Jadi, kenapa saya gagal juga?

Jawapannya ... biarlah rahsia.

Peperiksaan terakhir yang saya duduki pada bulan September yang lalu adalah peluang terakhir saya. Tatkala itu juga adalah bulan Ramadhan yang mulia. Peperiksaan tersebut berlangsung selama enam hari berturut-turut. Memang meletihkan. Otak saya serasa nak pecah, fikiran seakan bercerakah kerana kurang rehat. Padan muka, kerana saya memang sudah puas berehat sebelum itu.

Usaha tetap diteruskan. Doa sentiasa dipanjatkan. Harapan digantungkan hanya kepada Allah SWT. Saya tidak membiarkan kertas jawapan saya putih suci seperti peperiksaan-peperiksaan yang terdahulu. Otak saya ligat memikirkan apakah jawapan yang terbaik yang pensyarah mahukan daripada soalannya. Bukan hafalan daripada kitab yang saya jawab, sebaliknya apa yang saya faham daripada kitab dan KULIAH. Sungguhpun saya tidak dapat menafikan jawapan yang saya berikan barangkali tidak seberapa, namun saya tetap berpuas hati dengan apa yang terdaya.

Akhirnya daripada tujuh matapelajaran (termasuk bahas @ assignment), hanya satu sahaja yang saya gagal. Saya menaruh sangka baik terhadap kedua-dua orang pensyarah saya yang mengajar ilmu Al-Ma’ani , sedangkan ia adalah matapelajaran yang paling saya minati dan selalu berikan tumpuan. Barangkali mereka mengatakan, “Dia ni masih banyak lagi yang perlu diperbaiki” ataupun, “Al-Azhar mahukan graduan yang bakal menjadi pensyarah nanti adalah yang terbaik sahaja”, ataupun “Jangan malukan Al-Azhar”. Ia hanyalah andaian saya semata-mata.

Setelah mengkoreksi diri, maka pengajaran yang dapat saya perolehi daripada nasib gagal kali ini adalah ada tiga perkara terpenting yang perlu dijaga oleh setiap penuntut ilmu yang beragama Islam tanpa mengira bidang yang diceburi.

Pertama, taqarrub ilAllah (mendekatkan diri kepada Allah SWT) samada sebelum ataupun selepas peperiksaan. Ianya mestilah berterusan. Allah Maha Mengetahui isi hati hamba-hambaNya. Mendekatkan diri kepadaNya tidak semestinya dengan membanyakkan amalan, malahan dengan meninggalkan dan menjauhi segala dosa-dosa yang menyebabkan hati dan fikiran kita terhijab (tidak nampak) daripada segala ilmu-ilmu yang telah dipelajari sebelum ini. Kesudahannya, kertas jawapan kosong. Saidina Umar Al-Khattab berwasiat kepada Sa’ad Bin Abi Waqas sebelum pergi berperang, “Aku lebih takut dosa-dosa dan maksiat yang kamu (dan tentera-tentera) lakukan daripada kekuatan tentera musuh. Jika kamu tetap berterusan dengan dosa-dosa, maka tiadalah lagi perbezaan di antara kamu dengan mereka, sedangkan mereka mempunyai kelebihan kekuatan tentera dari segi bilangan dan senjata-senjatanya”

Kedua, usahakan agar tidak ponteng kuliah. Pengalaman saya daripada peperiksaan yang lalu, 80% jawapan saya dalam peperiksaan adalah apa yang saya teringat ketika pensyarah mengajar kami (maksud saya; konsep-konsepnya). Paling penting – hadiri kuliah ada keberkatannya. Bakinya daripada pembacaan kitab-kitab kuliah. Cuma yang menjadi masalahnya ialah..., “Hish, macam manalah aku nak mengarang nih?”

Ketiga, baca keseluruhan silibus dan fahamkan konsepnya betul-betul. Sekadar menghafal, tidak memadai kerana sifat manusia adalah pelupa. Saya juga antara spesis manusia yang cepat lupa. Jangan main target atau teka-teka. Nak target juga? Boleh, tapi pastikan tajuk itu adalah yang selalu diisyaratkan oleh pensyarah sendiri.

Kenapa saya gagal? Kerana saya malas dan terlalu melayan perasaan. Sedangkan semua itu adalah ujian. Menyesal? Sudah tidak berguna. Saya masih menaruh sangka baik kepada Yang Maha Merancang. Mudah-mudahan ada hikmah di sebalik nasib kurang baik yang saya hadapi kali ini.

Sekali lagi saya tegaskan bahawa pengajian peringkat MA di Universiti Al-Azhar tidak susah mana, asalkan kita berusaha lebih dan gandakan amal ibadat kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Buktinya apa? Pensyarah hanya mahu lihat, anak-anak muridnya ini faham atau tidak pelajarannya. Saya sendiri terkejut apabila melihat matapelajaran Naqad Adabi (Kritikan Sastera) lulus, sedangkan ia adalah matapelajaran yang paling susah bagi saya. Ini menunjukkan masih ada tasamuh (tolak-ansur) daripada pensyarah saya. Cuma al-Ma’ani yang agak syadid sedikit. Takpalah.

Kepada mereka yang ada cita-cita untuk melanjutkan pengajian peringkat MA di Al-Azhar, teruskan cita-cita anda. Jangan takut. Man lam yadzuq lam yadri (Siapa yang belum cuba, belum tahu). Saya ingin meminjam kata-kata senior saya iaitu Ustaz Muhd Lukman Said yang kini sedang menulis tesis MA di Jabatan Usul Lughah, Fakulti Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar; “Sesiapa sahaja yang telah diterima masuk untuk melanjutkan pengajian peringkat MA di Universiti Al-Azhar bermakna dia memang berpotensi. Cuma potensi itu perlu terus dikekalkan oleh empunya diri itu sendiri”

Jika anda merasakan ada pengajaran daripada pameran artikel saya kali ini, ambillah ia sebagai iktibar. Akan tetapi, sekiranya anda berkata, “Buat apa dengar cakap daripada orang yang telah gagal ini?” maka saya juga akan berasa malu alah...

Apa perancangan saya selepas ini? Nantikan melalui posting yang akan menyusul.