Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

30 March, 2009

ISLAM: DEEN wa DAULAH (2)

Jika anda telah membaca artikel saya yang terdahulu yang membentangkan hujjah-hujjah pendakwa bahawa Islam ini adalah agama sahaja dan tidak lebih daripada itu. Bukannya membicarakan tentang kepemimpinan dan pembinaan kerajaan yang menjadi prioriti utama ajaran agama ini. Persoalannya, adakah benar dakwaan tersebut? Maka di sini, saya akan cuba menghamparkan pula jawapannya sekaligus mengikis pemikiran tersebut.

Pertama berkenaan dalil-dalil Al-Quran yang digunakan oleh mereka memberikan petunjuk secara zahir bahawa agama Islam seolah-olah hanya membawa ajaran agama semata-mata tanpa menyentuh urusan dunia. Padahal, semua ayat-ayat Al-Quran yang diberikan oleh mereka sebenarnya telah diturunkan di Makkah Al-Mukarramah iaitu sebelum berlakunya peristiwa hijrah ke Madinah Al-Munawwarah dan sebelum terbinanya Daulah Islamiyah.

Selain daripada itu, kita sepatutnya mentafsir ayat-ayat itu dari sudut Asbab Nuzulnya (sebab-sebab penurunan ayat) kerana ayat-ayat tersebut turun di Makkah tatkala nabi menderita dengan tentangan golongan musyrikin yang menyakiti baginda dan para sahabatnya. Oleh yang demikian, matlamat ayat-ayat suci ini adalah untuk memujuk atau menyejukkan hati nabi dan mengingatkan baginda tentang tanggungjawabnya sebagai rasul dalam peringkat yang pertama iaitu menyampaikan dan memberi peringatan, serta penafian penguasaannya terhadap mereka yang enggan menerima dakwahnya.

Kedua, peristiwa nabi mengatakan bahawa baginda bukannya seorang raja ataupun penguasa tidaklah bermakna ianya tidak berkaitan dengan permasalahan politik dan keduniaan. Sebaliknya, Rasulullah SAW mahu menjelaskan kepada sesiapa yang datang menemui baginda bahawa baginda bukannya seorang raja ataupun penguasa seperti raja-raja lain yang mana rakyat takut dengan kekuasaan dan keagungannya. Sedangkan Rasulullah SAW itu mudah didekati.

Manakala, seruan Islam agar bersikap tawadhu’ (merendahkan diri) dan menghambakan diri kepada Allah tidaklah bermakna Islam ini agama sahaja. Ini adalah kerana manusia itu samada individu biasa atau pemerintah hatta nabi sekalipun wajib menghiaskan diri dengan sikap tawadhu’ yang akhirnya akan meninggikan martabat individu tersebut. Tambahan pula menghambakan diri kepada Allah SWT adalah salah satu daripada rukun Islam.

Ketika nabi bersabda, “Kamu lebih tahu tentang urusan dunia kamu”, ia adalah berkenaan peristiwa sahabat melakukan pendebungaan buah kurma tetapi ia tidak menjadi, lalu diadukan kepada Rasulullah SAW. Maka jawapan baginda adalah, “Kamu lebih tahu tentang urusan dunia kamu”.

Rasulullah SAW tidak menetapkan awal-awal siapakah yang bakal menggantikan baginda selepas ketiadaannya adalah kerana percaya bahawa mereka sendiri mampu melakukan pemilihan tersebut. Sekiranya baginda yang menentukan, bermakna ia adalah suatu syariat yang mana mereka tidak boleh lari daripadanya. Selain daripada itu, penentuan Rasulullah SAW terhadap penggantinya akan memberikan “ciri-ciri suci dan tinggi” yang dikhuatiri akan menyebabkan individu terpilih terlupa dengan tanggungjawabnya iaitu hanyalah sebagai pemerintah umat Islam dan perlu menjalankan amanah yang terpundak sebaiknya.

Hujjah akal mereka yang mengatakan tidak mungkin dapat disatukan dunia ini di bawah satu pemerintahan Islam sahaja juga adalah tidak tepat. Terdapat beberapa kaedah usul dalam Islam yang menerangkan bahawa Islam selain daripada bab ibadat dan akidah memberikan kelonggaran dan toleransi terhadap perbezaan sistem, selari dengan perbezaan zaman dan tempat. Islam tidak menjelaskan permasalahan dunia ini kecuali beberapa asas yang umum tanpa memberikan perincian apakah yang wajib dipatuhinya. Maka akan berlaku perbezaan berdasarkan negara masing-masing. Antara kaedah usul tersebut ialah:

· المشقة تجلب التيسير

(kesukaran mendatangkan kesenangan)

· رعاية المصالح المرسلة

(menjaga maslahah-maslahah tertentu yang tiada ketentuan nas mahupun ijma’ yang menerima atau menolaknya)

· التوسعة في الأحكام الدنيوية

(keluasan dalam hukum-hukum urusan dunia)

Oleh sebab itu, pendapat mereka adalah tertolak.

#########

Islam mementingkan pengurusan daulah di samping mengambil kira urusan agama dan menegakkan hukum-hukum syara’. Bagaimana mungkin Islam dapat memartabatkan syariatnya tanpa adanya kerajaan yang akan melaksanakan syariat tersebut?

أفحكم الجاهلية يبغون ومن أحسن من الله حكما لقوم يوقنون

“Patutkah lagi mereka berkehendak kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tiada sesiapa yang boleh membuat hukum lebih baik daripada Allah.” (Al-Maidah:50)

Rasulullah SAW sendiri telah melaksanakan pelbagai tugas sebagai seorang pemimpin dengan meletakkan asas-asas Daulah Islamiyah secara sistematik dari semua sudut. Baginda telah mengepalai pelbagai urusan dengan menyusun sistem pertahanan, menjaga keamanan, keadilan dalam masyarakat, menyebarkan ilmu, perbendaraan negara dan memeterai perjanjian-perjanjian terutamanya selepas peristiwa hijrah.

Antara ayat-ayat Al-Quran yang menjadi dalil kita tentang peri pentingnya penubuhan sebuah kerajaan Islam adalah seperti berikut;

يا أيها الذين ءامنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولي الأمر منكم

Mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah (SAW) dan juga kepada “Ulil Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (An-Nisa’: 59)

ولو ردوه إلى الرسول وإلى أولي الأمر منهم لعلمه الذين يستنبطونه منهم

Mafhumnya: “Kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah SAW dan kepada ulil amri (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka” (An-Nisa’: 83)

Daripada hadith nabi pula ialah;

"إن أحب الناس إلى الله يوم القيامة وأدناهم مني مجلسا إمام عادل، وإن أبغض الناس إليّ وأبعدهم مني مجلسا إمام ظالم"

“Sesungguhnya manusia yang paling dicintai Allah pada hari kiamat dan paling dekat tempat duduknya dengan aku ialah pemimpin yang adil. Dan manusia yang paling aku benci dan paling jauh tempat duduknya daripada aku ialah pemimpin yang zalim”

"إذا خرج ثلاثة في سفر فليؤمروا أحدهم"

“Apabila keluar tiga orang untuk bermusafir, maka hendaklah salah seorang daripada mereka dilantik menjadi ketua”

Kenyataan-kenyataan sahabat baginda pula adalah seperti kata-kata Saidina Abu Bakar As-Siddiq,

"إن محمدا أمضى بسبيله، ولا بد لهذا الدين ممن يقوم به

bermaksud, “Sesungguhnya (Nabi) Muhammad SAW telah pergi dengan perjuangannya. Maka semestinya bagi agama ini ada orang yang akan memikul tanggungjawabnya (tugas nabi)”

Saidina Umar r.a ada berkata:

"لا إسلام إلا بجماعة ولا جماعة إلا بإمارة ولا إمارة إلا بطاعة"

yang bermaksud: “Tiada Islam tanpa jama’ah, tiada jama’ah tanpa kepemimpinan, dan tiada kepemimpinan tanpa ketaatan”

Para ulama’ juga telah menggugurkan permata-permata pemikiran mereka seperti Al-Imam Ibnu Taimiyah yang berpendapat, “Wajib diketahui bahawa pengurusan pemerintahan manusia adalah sebesar-besar kewajipan agama, malahan tiada nilai bagi agama tanpanya. Ini adalah kerana, tidak akan sempurna maslahat manusia melainkan dengan perkumpulan secara kolektif lantaran masing-masing saling memerlukan. Apabila ada perkumpulan, maka mesti ada ketua.”

Ibnu Khaldun pula menjelaskan bahawa menegakkan pemerintahan adalah suatu kewajipan berdasarkan ijma’ para sahabat dan tabi’in kerana para sahabat apabila menerima perkhabaran kewafatan Rasulullah SAW, bersegera berbai’ah kepada Abu Bakar As-Siddiq r.a dan menyerahkan urusan pemerintahan kepada beliau. Begitulah juga setiap zaman yang berlalu selepas itu.

Al-Imam Al-Ghazali mengatakan, “Dunia dan keamanan terhadap jiwa dan harta tidak akan tercapai kecuali dengan kewujudan penguasa yang ditaati. Sekiranya dibiarkan berterusan tanpa pimpinan, akan berlakulah kekacauan, pertumpahan darah dan huru-hara”

Al-Imam Al-Akbar Syeikh Muhammad Abduh mencanangkan kepada dunia bahawa, “Islam adalah agama dan syara’ (undang-undang). Islam telah meletakkan batasan-batasan dan hak-hak yang mesti dijaga. Tidak akan sempurna pensyariatan undang-undang, melainkan setelah adanya kekuatan untuk mendirikan hudud (batasan-batasan itu tadi) dan melaksanakan hukuman dari qadhi dan seterusnya memelihara masyarakat.”

Tidak cukup dengan itu, fakta-fakta ini turut diakui oleh para orientalis seperti Fetz Gerald yang menekankan, “Islam bukan agama sahaja, akan tetapi ia juga adalah suatu disiplin politik.” Orientalis Itali yang bernama Noleno berkata, “Muhammad telah mengasaskan dalam satu masa; agama dan kerajaan. Perundangannya benar-benar dimuafakati sepanjang hayatnya.”

Estrotman pula berkata, “Sesungguhnya Islam adalah gagasan agama dan politik, kerana pengasasnya adalah seorang nabi yang bertindak sebagai pemimpin contoh dan berpengalaman dengan pelbagai bentuk pemerintahan.”

Kesimpulannya, jelaslah bahawa Islam tidak terhad kepada persoalan akidah sahaja. Lebih daripada itu, Islam merangkumi pembinaan masyarakat yang merdeka, mempunyai cara-cara yang tersendiri dalam pemerintahan dengan wasilah yang bervariasi serta memiliki undang-undang dan peraturannya yang khusus.

Sumber rujukan:

1- مبادئ نظم الحكم في الإسلام ومدى تأثر الدستور المصري بها، للدكتور محمد أنس قاسم جعفـر

2- أضواء على الفكر القانوني الإسلامي، للدكتور محمود السقا

المعهد العالي للدراسات الإسلامية، بالزمالك.

27 March, 2009

ISLAM: DEEN wa DAULAH (1)


Islam sebagai agama yang syamil (lengkap) tidak pernah memisahkan di antara agama dan daulah ataupun kerajaan, kerana ajaran Islam meliputi semua perkara dari sekecil-kecil hal seperti adab masuk tandas hingga sebesar-besar perkara seperti urusan pentadbiran negara. Islam adalah landasan kehidupan manusia. Oleh yang demikian, seorang pemimpin tertinggi dalam negara Islam bertanggungjawab terhadap semua urusan agama dan dunia sebagai wakil pengganti Rasulullah SAW yang telah menjadi Presiden Daulah Islamiyah pertama di dunia yang berpusat di Al-Madinah Al-Munawwarah. Oleh sebab itu, pemerintah Islam dinamakan Al-Imam atau Al-Khalifah.

Apa yang menjadi pertikaian sekarang ini adalah terdapatnya fahaman yang cuba mengasingkan hal-hal agama dan pengurusan negara yang turut dikaitkan dengan politik. Bagi pendokong pendapat ini; agama suku – politik suku. Mereka hanya membicarakan Islam ini berputar dalam beberapa tema sahaja seperti ibadat, munakahat, dan sedikit daripada bab mu’amalat. Lebih menarik lagi, apabila mereka juga mempunyai hujjah bersumberkan Al-Quran dan Al-Hadith yang menyatakan bahawa Islam itu hanyalah agama sahaja. Ini adalah kerana penyusunan sistem politik dalam masyarakat diambil daripada pemikiran manusia dan pengalaman mereka sahaja serta bukannya daripada syariat Islam yang dikatakan tidak pernah memberikan sebarang kenyataan berkenaan hal ini.

Mereka yang mempelopori pendapat ini mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW bukannya diutuskan untuk menjadi pemerintah dan membina kerajaan, sebaliknya terhad sebagai seorang nabi dan rasul kepada seluruh umat manusia. Idea begini telah lama mengakar ke otak pemikiran sebahagian besar masyarakat muslim di seluruh dunia dan tidak terkecuali di Malaysia.

Antara bukti atau dalil yang mereka petik daripada Al-Quran Al-Karim ialah:

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن (النحل: 125)

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”

وما أرسلناك إلا مبشرا ونذيرا (الفرقان: 56)

“Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar)”

فذكر إنما أنت مذكر لست عليهم بمسيطر (الغاشية: 21-22)

“Oleh itu, berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada umat manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang rasul pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu)”

Ayat-ayat lain yang menjadi sandaran mereka ialah: Surah Yunus: 99, Aali ‘Imran: 20, Al-Kahfi: 110, Hud: 12, Al-Ahzab: 40, As-Syura: 48, Qof: 45, An-Nahl: 35 dan Toha: 1-3.

Epistemologi daripada sunnah Nabi SAW pula:

1- Diriwayatkan ada seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW untuk bertanya tentang beberapa perkara. Tatkala berhadapan dengan Rasulullah SAW, badannya menggelatar ketakutan. Lalu Rasulullah SAW pun bersabda, “Bertenanglah kerana aku bukannya seorang raja apatah lagi penguasa yang bengis. Aku hanyalah anak seorang perempuan daripada bangsa Quraisy yang juga makan daging kering yang nipis di Makkah”

2- Nabi juga pernah bersabda, أنتم أعلم بأمور دنياكم “Kamu semua lebih tahu tentang urusan-urusan dunia kamu”

3- Ketika Malaikat Israfil memberikan pilihan kepada Nabi SAW samada ingin menjadi nabi yang memerintah ataupun nabi yang abdi. Maka nabi yang berperwatakan hamba menjadi pilihan baginda.

4- Sekiranya matlamat nabi untuk membina daulah, nescaya baginda akan melantik seseorang agar mengambil tempat sebagai pemerintah selepas ketiadaannya. Baginda tidak akan membiarkan urusan negara ini terkapai-kapai di tangan umat Islam.

Dalil ‘aqli @ logik akal:

Barangkali tidak mustahil untuk mengusahakan supaya seluruh penduduk dunia ini berpegang kepada agama yang satu. Akan tetapi, walaupun istilah dunia global dan tanpa sempadan seringkali didengari, namun untuk menjadikan mereka tunduk kepada sebuah kerajaan sahaja, ia adalah sesuatu yang di luar akal dan kemampuan manusia. Dalam bahasa lain, cita-cita untuk menegakkan Khilafah Islamiyah hanyalah suatu fatamorgana dan retorik sahaja. Padahal, Allah sengaja membiarkan manusia berselisihan. FirmanNya:

"ولو شاء ربك لجعل الناس أمة واحدة ولا يزالون مختلفين إلا من رحم ربك وكذلك خلقهم"

Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia.” (Hud: 118-119)

oalan saya kepada khalayak pembaca, adakah anda menerima hujjah mereka?

Bersambung insya Allah....

22 March, 2009

Skru untuk anda

Hadith yang keempat daripada 42 buah hadith dalam koleksi Al-Arba’in An-Nawawiyyah, ada menyebut tentang ada segolongan umat Nabi Muhammad SAW yang rajin menunaikan ibadah dan kelihatan seolah-olah jarak di antara dirinya dengan syurga hanyalah tinggal sehasta, namun di akhir hayatnya lain pula yang terjadi apabila dia melakukan onar lantas maut pula menjemputnya secara tiba-tiba. Maka nerakalah tempat kembalinya.

Begitu juga dengan sebaliknya, apabila sebahagian lagi tampak sering melakukan amalan ahli neraka, akan tetapi di kesudahannya, ketentuan Allah memintasnya dengan memberikan kesedaran kepadanya lalu dia kembali kepada Allah dalam keadaan bahagia di dalam syurga.

Saya bingung apabila memikirkan tentang isi kandungan hadith ini. Apakah Allah itu tidak adil? Astaghfirullah al-‘Azhim. Bukan itu yang saya maksudkan.

Saya risau tatkala mengenangkan diri yang tidak istiqamah dalam melaksanakan amal ibadat buat bekalan untuk Hari Akhirat sana (sekadar risau saja, tapi masih tak buat apa-apa pun). Bayangkanlah ketika ‘tiba’ masa kita terleka, kerana kita tidak konsisten dengan kebaikan, ketika itu rupanya Malaikat Izrael datang mencabut nyawa kita. Sedangkan masa kita ‘nak jadi baik sikit’ itu, tidak bertahan lama. Sekejap sahaja. Entah ikhlas atau tidak, Allah sahaja yang tahu. Apa lagi yang ada?

Amalan tiada. Taubat kurang @ malas. Kesalahan dan dosa berjela-jela. Baca Al-Quran malas, apatah lagi hendak menghafalnya. Jauh sekali hendak mengamalkannya. Berzikir – penat mulut. Tapi mengumpat, hobi. Solat lima waktu, tidak tepat pada waktunya. Hendak pergi berjemaah di masjid ataupun surau, terasa macam jauh pulak. Mengulangkaji pelajaran, bosan. Dekat nak peperiksaan, ‘baru mau berabis’. Nak puasa sunat Isnin dan Khamis? Aisey, sekarang musim sejuk semakin beransur, siang pun makin panjang. Oh alangkah robeknya kehidupan begini. Apa lagi yang ada? Begini hendak masuk syurga?
Pendek cerita, saya melihat hadith ini, barangkali maksud yang tersiratnya adalah; jangan mudah menghukum dan menilai orang lain melalui perilaku luaran, penampilan, tindak-tanduk dan kata-katanya sahaja. Tidak dilupakan juga, TULISANNYA. Ini kerana, di dalam hatinya, atau di belakang, kita tidak tahu bagaimana orangnya. Hanya Allah sahaja yang tahu siapa dia dan siapa kita. Kita sendiri bukannya baik sangat.

Kita sangka dia baik dan tersohor dengan budi pekerti yang tinggi, tetapi di sebalik ‘topeng baiknya’ itu ada rahsia yang tersembunyi. Namun, kita tidak disuruh untuk mencari rahsianya, sebaliknya kita pula yang harus mengkoreksi dan memperbaiki rahsia kita juga. Setiap orang ada kesilapan tersendiri dan itulah rahsia kita. Sungguhpun dia berkemungkinan memakai ‘topeng’, sekurang-kurangnya dia malu untuk melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan maruahnya. Sebab itulah, Nabi kata, “Malu itu sebahagian daripada iman”.

Hal yang sama, bagi mereka yang kita pandang jelek dan jahat ataupun bahasa sopannya ‘kurang baik’. Tak kan kita tidak pernah dengar cerita seorang hamba Allah yang telah membunuh 100 orang lalu dia BERAZAM untuk bertaubat (belum bertaubat lagi !). Ketika di tengah-tengah perjalanan ke tempat baru dalam usahanya untuk bertaubat, nyawanya berakhir. Apabila malaikat mengukur jarak tempat ‘samsengnya’ dengan tempat ‘baiknya’, ternyata destinasinya sudah sampai hanya dengan jarak sejengkal sahaja. Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani dengan menobatkannya sebagai ahli syurga. Saya ... Kita, apa cerita?

Jangan salah faham! Tidak wajar kita menjadikan hadith ini sebagai ‘lesen hitam’ untuk membolehkan kita terus melakukan kemungkaran, kononnya manalah tahu hujung-hujung nanti ketentuan yang baik menyebelahi kita. ‘Maklumlah, hero kan selalu menang last minute?’ Bukan itu caranya. Sebaliknya kemungkaran dan kebatilan itulah yang sepatutnya kita perangi dengan bersungguh-sungguh.

Peringatan untuk diri sendiri; tiada siapa yang menikmati kebahagiaan hakiki semasa aktif dengan kebatilan dan kebobrokan kerana hatinya sendiri tidak bahagia. Tidak bahagia maksudnya jiwa terhimpit. Sifirnya mudah sahaja, luas mana pun dunia ini, ia akan menyempit apabila jiwa kita terhimpit.

Kali ini, saya cuma bagi skru-skru dan perkakasnya. Anda pasanglah sendiri.

14 March, 2009

Syeikh Muhammad Abduh

Syeikh Muhammad Abduh adalah seorang ulama’ yang disegani dan tokoh yang perlu dicontohi. Beliau telah mengorbankan seluruh kehidupannya untuk Islam yang tercinta. Nama Syeikh MUHAMMAD ABDUH, diambil sempena kasih sayang dan ingatan kepada Rasulullah SAW apabila nama tersebut dilengkapkan dengan nama bapanya, bertujuan untuk mendapat keberkatan daripada Nabi Muhammad SAW.

Dilahirkan pada tahun 1265H bersamaan 1849M di kampung Mahalat Nasr, Yuhareen, Mesir. Bapanya bernama Abduh bin Hussain Khairullah, berketurunan Turki. Ibunya pula dikatakan keturunan Saidina Umar al-Khattab. Syeikh Abduh berasal daripada keluarga yang sederhana dan tinggal serumah dengan bilangan ahli keluarga yang ramai.

Semasa kecil, Syeikh Abduh juga seperti kanak-kanak lain menerima didikan daripada bapanya sendiri dan seringkali didatangi oleh guru dari luar daerah dengan tujuan memberi didikan agama. Kepintaran yang Allah kurniakan kepadanya, membolehkan beliau menguasai hafazan Al-Quran sebelum usianya mencecah 12 tahun. Selain daripada itu, Syeikh Abduh pernah bertalaqqi Al-Quran di “Masjid Ahmadi” yang terletak tidak jauh dari kampungnya.

Setelah tamat pengajian di sini, Syeikh Abduh melanjutkan pembelajarannya di sebuah ma’had perguruan agama. Sebaik sahaja selesai pengajian di ma’had itu , beliau telah memasuki Universiti Al-Azhar. Oleh kerana tidak biasa dengan sistem pendidikan yang ada , beliau telah kembali ke kampung dan menjadi seorang petani. Tindakannya ini tidak direstui bapanya kerana mengharapkan agar Syeikh Abduh berjaya dalam pelajaran. Akhirnya, Syeikh Abduh telah kembali belajar semula selama empat tahun dan menamatkan kuliahnya pada tahun 1877. Selepas memperolehi ijazah, beliau menjadi pensyarah di Fakulti Darul Ulum, Universiti Kaherah dan turut mengajar di Universiti Al-Azhar atas inisiatif Perdana Menteri, Radzha Basha.

Syeikh Abduh merupakan seorang pengkritik yang sentiasa menimbulkan kontroversi kepada pemerintah. Semasa berkhidmat di universiti tempatan, beliau pernah menyatakan kepada para pelajar bahawa roh kebangsaan yang ada dalam jiwa mereka telah dicemari oleh fahaman asing. Akibatnya, minda mereka telah menjadi beku dan lemah. Pihak Universiti Al-Azhar berasa tidak senang dengan pengaruh Syeikh Abduh terhadap pelajar-pelajar universiti ini, lalu memecatnya daripada jawatan pensyarah.

Lanjutan daripada itu, Syeikh Abduh telah dibuang negara ke Lubnan dan seterusnya ke Perancis. Semasa berada dalam buangan, beliau tidak menghabiskan masanya begitu sahaja. Ketika di Lubnan, beliau telah mengajar ilmu tafsir, tauhid, mantiq, balaghah, Sirah Islam, fiqh Mazhab Hanafi dan lain-lain.

Beliau dibuang negara ke Perancis kerana dituduh terlibat dalam Pemberontakan Urubiyyah. Di sana, beliau sempat bertemu dengan Syeikh Jamaluddin Al-Afghani yang turut berada di situ. Syeikh Jamaluddin Al-Afghani telah memberi amanat kepada Syeikh Abduh agar menyemarakkan semangat jihad ke dalam jiwa masyarakat bagi membanteras fahaman kolot yang bersarang di dalam jiwa mereka dan berfikir untuk maju ke hadapan. Kedua-dua tokoh ini telah bergabung tenaga untuk menerbitkan majalah yang diberi nama ‘Al-Urwatil Wuthqa’.

Menyedari ilmu yang disampaikan oleh Syeikh Abduh adalah suatu kebenaran, pihak pemerintah Mesir telah memanggilnya pulang ke Mesir untuk berkhidmat dengan kerajaan. Beliau telah diberi tawaran memegang jawatan qadhi iaitu jawatan yang tinggi pada masa itu. Syeikh Abduh diharapkan sekadar menjawab permasalahan yang dihadapi oleh pemerintah semata-mata, akan tetapi Syeikh Abduh bersikap lebih luas iaitu berkhidmat untuk rakyat jelata. Jawatan ini telah disandang oleh beliau sehingga akhir hayatnya.

Semasa beliau melawat kota London untuk memberi ceramah yang dihadiri oleh masyarakat Inggeris, Syeikh Abduh telah menyatakan bahawa orang Inggeris sepatutnya meninggalkan Mesir kerana masyarakat Mesir amat benci kepada golongan tersebut. Menurut beliau lagi, orang Islam tidak dibenarkan memberi wala’ (taat setia) kepada non-muslim.

Selain daripada keberanian Syeikh Abduh menyampaikan ceramah dengan mengkritik sesebuah masyarakat walaupun mereka berada di hadapannya, beliau sering mengutarakan idea ‘panas’ bagi membela masyarakat Islam daripada segala penghinaan dan serangan.

Semasa hayatnya, Syeikh Abduh merupakan seorang mujaddid yang kerap memberikan sumbangan bernilai kepada masyarakat Islam sama ada semasa berada di tanahair atau sewaktu beliau dibuang ke luar negeri. Semasa berada di Syria umpamanya, beliau berkhidmat sebagai pengajar di Ma’had Perguruan Tinggi Sultaniah lebih kurang setahun. Sumbangannya yang lain ialah beliau pernah menerbitkan majalah Al-Ahram dan diberi amanah untuk mengendalikan majalah Al-Waqi’ Al-Misri.

Syeikh Abduh juga telah mengarang beberapa buah buku yang terkenal. Bukunya yang bertajuk Risalah at-Tauhid telah dijadikan sebagai buku teks di institusi pengajian tinggi Mesir serta bahan rujukan kepada pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa untuk disebarluaskan ke persada antarabangsa.

Syeikh Abduh sangat sabar tatkala menghadapi sakit sewaktu perjalanannya ke Sudan, dengan merahsiakan daripada pengetahuan sahabatnya. Tetapi penderitaan yang dialami Syeikh Abduh akhirnya diketahui oleh sahabatnya. Doktor mengesahkan bahawa beliau mengalami penyakit barah yang telah kronik. Syeikh Abduh bercadang untuk merawat penyakitnya di Eropah . Niat tersebut tidak dipersetujui oleh teman-teman Syeikh Abduh atas sebab-sebab tertentu, lalu doktor menasihatkan agar membatalkan niatnya.

Pada 11 Julai 1905 Masehi, Syeikh Abduh telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah sahabatnya, Muhammad Bek Raban di Ramel, Iskandariah, Mesir. Kehilangan Syeikh Abduh bukan sahaja dirasai oleh masyarakat Mesir tempatan, bahkan komuniti antarabangsa dengan menerima pelbagai pujian daripada penulis-penulis yang terkenal sezaman dengannya.

Syeikh Abduh telah meninggalkan satu amanat yang penting di dalam buku karangannya ‘Risalah at-Tauhid’. Ianya cukup menarik untuk dijadikan renungan bersama iaitu, “Manusia yang hidup menurut aqidahnya, akan luruslah perjalanan hidupnya”. Lantaran itu, kita perlu mengambil iktibar daripada perjalanan hidup Syeikh Abduh yang telah menghadapi pelbagai cabaran untuk mengembalikan sinar kegemilangan Islam yang kian pudar. Sifat-sifat yang dimiliki oleh beliau wajar kita sematkan dalam hati agar kita dapat terus mempertahankan Islam kini dan untuk selama-lamanya ........Insya-Allah.