Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

17 October, 2008

Puasa sunat hari Jumaat pada bulan syawal


Assalamualaikum,
Mcmana sambut syawal di sana?
Saya ada satu kemusykilan nak tanya. Tentang puasa sunat Syawal 6. Bolehkah kita berpuasa pada hari Jumaat shj tanpa diikuti hari sabtu atau hari sblumnya iaitu hari khamis. Sbb ada yang kata berpuasa hari jumaat shj tidak boleh dan perlu ada kesinambungan hari sblum atau selepasnya. So, nk tanya ustaz la ni.

Al-Balingi

JAWAPAN:

Umat Islam digalakkan untuk menambahkan amal ibadat sebagai bekalan buat hari kemudian. Di antara ibadat yang digalakkan adalah dengan berpuasa sunat. Puasa sunat ini pula ada pelbagai jenis atau bersempena. Salah satu daripadanya ialah puasa enam hari dalam bulan Syawal.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر (رواه مسلم)

"Barangsiapa yang telah berpuasa (pada bulan) Ramadhan, kemudian disusuli dengan enam hari dalam bulan Syawal, puasanya itu sama dengan puasa selama setahun" – (diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Imam Al-Tabrani turut meriwayatkan hadith Nabi SAW yang berbunyi:

من صام رمضان وأتبعه ستا من شوال خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه

"Barangsiapa yang telah berpuasa (pada bulan) Ramadhan, dan diikuti pula dengan enam hari dalam bulan Syawal, berkeluaranlah dosa-dosanya seolah-olah dia baru dilahirkan oleh ibunya"

Para ulama' menghuraikan bahawa setiap amalan kebaikan hamba-hamba Allah akan digandakan sepuluh kali ganda. Maka sebulan Ramadhan digandakan menjadi sepuluh bulan. Manakala enam hari dalam bulan Syawal digandakan menjadi 60 hari yang bersamaan dengan dua bulan. Oleh yang demikian, ia adalah pelengkap setahun ataupun 12 bulan.

Kelebihan dan keistimewaan ini akan diperolehi oleh mereka yang berpuasa pada bulan Syawal, samada pada awal, tengah mahupun di penghujung bulan. Begitu juga sama ada berturut-turut ataupun sebaliknya. Paling afdhal pula adalah di awal bulan dan berturut-turut.

Persoalan timbul apabila mengenangkan hadith nabi yang berbunyi:

لا تختصوا ليلة الجمعة بقيام من بين الليالي، ولا تختصوا يوم الجمعة بصيام من بين الأيام إلا أن يكون في صوم يصومه أحدكم (رواه مسلم، ورواه الجماعة عن أبي هريرة بلفظ

(( لا تصوموا يوم الجمعة إلا وقبله يوم أو بعده يوم))

"Janganlah kamu khususkan malam Jumaat itu (sahaja) untuk berqiamullail berbanding malam-malam yang lain, dan janganlah kamu khususkan hari Jumaat itu untuk berpuasa berbanding hari-hari yang lain ….. manakala riwayat daripada Abu Hurairah pula dengan lafaz: "Janganlah kamu berpuasa pada hari Jumaat kecuali jika turut berpuasa pada hari sebelumnya ataupun selepasnya"

Dalam konteks ini semua mazhab fiqh mengatakan bahawa makruh tanzih jika berpuasa pada hari Jumaat sahaja tanpa diiringi oleh hari khamis ataupun sabtu, kecuali Mazhab Maliki yang mengatakan tidak makruh jika berpuasa pada hari Jumaat sahaja.

Berbalik kepada persoalan di atas, maka hadith nabi tentang kelebihan puasa 6 Syawal adalah bersifat umum iaitu pada bila-bila hari dalam bulan Syawal termasuklah hari Jumaat. Dalam erti kata yang lain, tidak mengapa jika berpuasa hanya pada hari Jumaat dalam bulan Syawal dan tidak beriringan dengan hari khamis mahupun sabtu.

Hanya Allah Yang Tahu kebenarannya.

4 comments:

al-Balingi said...

Assalamualaikum,

Terima kasih atas huraian yang diberikan dan saya cukup berpuas hati. Mudah untuk diterangkan kpd sahabat2 sy nnti jika perkara ini ditimbulkan lagi. Syukran..

rose mewangi said...

terima kasih tuan untuk maklumat ini. saya mohon kebenaran nak share ya..Hanya Allah dapat membalas jasa tuan....

Johairil said...

Terima kasih di atas maklumat yang di kongsi... Hilang perasaan was-was...

Anonymous said...

nak tanya:

1) betul ke pendapat yg saya dengar ni: bahawa kita tidak boleh satukan puasa sunat syawal dengan puasa ganti (kerana haid, nifas atau lain2)?

2) jika saya ingin berpuasa di bulan syawal, adakah saya perlu mendahulukan puasa ganti atau boleh terus puasa sunat, yg kmudian baru buat puasa ganti?

terima kasih