Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

28 August, 2011

Sunnah Nabi S.A.W pada Hari Raya


Kegembiraan umat Islam menjelangnya Hari Raya Aidilfitri tidaklah bererti kita menyambutnya sebagaimana kaum-kaum yang lain bersuka ria pada hari-hari kebesaran mereka.

1. Sebelum pergi menunaikan solat sunnah Hari Raya Aidilfitri, Baginda SAW akan mengenakan pakaiannya yang terbaik, kemudian menjamah tamar dengan bilangan butiran ganjil iaitu tiga, lima atau tujuh biji. Hal ini berlainan dengan Hari Raya Aidiladha di mana Baginda SAW imsak (tidak makan) sebelum menunaikan solat sunnah Hari Raya Aidiladha.

2. Baginda SAW akan berpesan agar kaum muslimin menyegerakan pembahagian zakat fitrah kepada mereka yang berhak, manakala solat sunnah Aidiladha disegerakan supaya umat Islam dapat mempercepatkan urusan sembelihan korban. Mengenai hal tersebut, Allah Ta 'ala berfirman: "Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah! " (Al Kautsar: 2).

3. Ibnu Umar RA kerana mahu bersungguh menghayati sunnah Nabi SAW, beliau hanya akan keluar untuk pergi menunaikan solat sunnah selepas terbitnya matahari dan di sepanjang perjalanan beliau akan terus bertakbir dan bertahmid memuji Allah SWT.

4. Nabi SAW akan mengerjakan solat sunnah itu sebelum berkhutbah. Di dalam solat berkenaan, Baginda SAW akan bertakbir sebanyak 7 kali dan berhenti seketika. Hanya Riwayat Ibnu Mas'ud sahaja yang menjelaskan bahawa Nabi SAW membaca Hamdalah dan berselawat di antara takbir-takbir itu. Pada rakaat yang kedua, takbir adalah sebanyak lima kali. Diriwayatkan juga bahawa Ibnu Umar RA mengangkat kedua-dua tangannya semasa bertakbir.

5. Pada rakaat pertama Nabi SAW akan membaca Al-Fatihah dan Surah Al-Qaf dan di rakaat yang kedua pula Al-Fatihah bersama Surah Al-Qamar. Kadang-kadang Baginda SAW akan membaca Surah Al-A'la dan Surah Al-Ghasyiah.

6. Nabi SAW tidak mengerjakan sebarang solat sebelum atau selepas solat sunnah hari raya itu. Dari Ibnu Abbas RA, beliau berkata : "Sesungguhnya Nabi SAW menunaikan solat Aid dua rakaat tanpa disertai solat yang lain baik sebelumnya mahu pun sesudahnya. " (HR. Al Bukhari dan Muslim dan yang lain).

HUBBUN NABI

23 August, 2011

Doa Tuan Guru Nik Aziz



"Wahai Tuhan Kami, berilah kami perasaan takut kepadaMu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan dan berilah kami ketaatan kepadaMu yang menyampaikan kami ke syurgaMu, dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia."

"Wahai Tuhan kami berilah kami kenikmatan pendengaran, penglihatan dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami dan jadikanlah dia mewarisi kami dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami. Dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami. Dan janganlah engkau jadikan bencana bagi kami dalam agama kami dan janganlah jadikan keduniaan sebesar-besar cita-citanya kami dan tidak sampai batasan ilmu kami. Dan janganlah Engkau biarkan orang yang tidak menaruh kasihan balas terhadap kami, dapat menguasai ke atas kami."

"Wahai Tuhan kami, kami pohon perlindungan dengan nur kesucian Engkau dan berkat kebersihan dan keagungan sifat Jalal Engkau, dari setiap yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik."

"Wahai Tuhan kami, Engkaulah penolong kami, maka kepada Engkau kami mohon pertolongan. Wahai Tuhan kami, Engkaulah tempat kami menyelamatkan diri, maka kepada Engkaulah kami pohon selamat. Wahai Tuhan bagilah kelemahan dan kehinaan yang mana segala tengkuk pembesar dunia."
"Dan tunduk kepadanya segala urusan dan kebesaran raja-raja Firaun, selamatkan kami dari penghinaan dan hukuman siksaMu, ketika malam atau siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat. Tiada
tuhan bagi kami melainkan Engkau. Demi kebesaran wajah Engkau dan kemuliaan kesucianMu, hindarkanlah kami dari segala kejahatan hamba-hambaMu, berilah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dariMu wahai Tuhan yang Maha Pemurah."

"Wahai Tuhan sama ada Engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami sebagaimana Kau lembutkan besi untuk Nabi Daud, dan Kau menundukkan mereka seperti seperti Engkau tundukkan bukit bukau, gunung-ganang untuk Nabi Sulaiman atau pun Kau lipat balik rancangan jahat mereka supaya berpatah balik ke atas mereka sendiri , dan Kau hancur leburkan pakatan mereka dan kacau bilaukan kumpulan mereka dan goncangkan pendirian mereka dan Ya Allah turunkan bendera mereka rapat ke bumi, Wahai Tuhan yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhlukNya, Wahai Tuhan yang mempunyai keagungan dan kemuliaan, sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu."

"Ya Allah Tuhan kami, limpahkanlah rahmat ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W yang dengannya dapat mengubati hati dan menjadikan penawar, menyihatkan badan yang menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi pandangan mata dan menyinarkannya dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarga dan para sahabat baginda sekalian." -

Aaamiin ya Rabbal ‘aalamiin

17 August, 2011

Tidak Puasa Tetapi Imsak

Posted by ummusaif under Ramadhan

IRELAND

“Yan, hari ni kita nak makan kat mana ye? Muna tak bawak bekal hari ni.”

“Alah, kita makan je kat kafe CSI tu. Takpe kita tak posa, so boleh lah makan”, jawab Yanti, rakan baik saya pada tengahari itu.

Selepas kuliah pathology, kami pun terus berjalan menuju ke kafe Clinical Science Institute (CSI), University College Hospital Galway. Tanpa berfikir panjang, kami terus beratur di dalam barisan mengambil makanan bersama Irish yang lain. Kami berdua memesan baked potato dan tuna yang merupakan antara speciality kafe berkenaan.

Burrpp! Alhamdulillah, kenyang. Selesai makan, kami terus pergi ke kuliah yang seterusnya yang bermula pada pukul 2 petang.

Keesokan harinya, saya dan Yanti pergi ke kuliah di CSI seperti biasa. Hari ini kami masih lagi ‘bercuti’, tidak puasa. Semasa dalam perjalanan ke CSI, kami berselisih dengan seorang kakak senior yang terkenal di kalangan adik-adik akan kealimannya. Kami senyum kepada beliau, namun beliau tidak membalas senyuman. Hairan!?

“Mungkin Kak Nor tak perasan kot”, teka hati saya.

Petang itu saya dengar berita angin di kalangan rakan-rakan, cerita pelajar Malaysia makan di khalayak ramai di CSI di siang Ramadhan! Terkejut dan takut! Ya Allah, apa kami dah buat sehingga menjadi buah mulut orang?

Petang itu saya dan Yanti pergi ke rumah Kak Nor untuk mendapatkan kepastian. Rupa-rupanya beliau sendiri sudah tahu akan khabar angin itu dan melihat sendiri dengan 2 biji mata beliau! Astaghfirullah al-’azim, patutlah Kak Nor tidak membalas senyum kami semalam.

Beliau menerangkan kepada kami bahawa betapa orang bukan Islam mudah keliru dengan tindakan kami itu. Kami juga sepatutnya lebih menghormati bulan Ramadhan dan muslim lain yang sedang berpuasa.

Dalam erti kata yang lain, selain daripada berpuasa, ada juga sesuatu yang dinamakan IMSAK. Bukan imsak 10 minit sebelum subuh tu, tapi imsak bermaksud menahan diri dari makan dan minum secara terbuka di khalayak ramai, di depan ahli keluarga, atau mungkin juga di depan anak-anak… kerana hormatkan bulan puasa.

Yang ini, boleh jadi ramai terlepas pandang. Atau memang tak tahu langsung.

Sejak hari itu, kami insaf. Kami tidak lagi makan di khalayak ramai di siang Ramadhan walaupun tatkala uzur.

DI MALAYSIA

Di Malaysia, senario ini sepatutnya susah berlaku walaupun saya pernah melihat ramai orang Islam termasuk lelaki Muslim makan secara terang-terangan di dalam gerabak cafe keretapi mel biasa di siang Ramadhan suatu ketika dahulu. Atau mungkin sahaja lelaki Malaysia sengaja menggadaikan kelelakiannya hingga berperangai seperti perempuan ‘jahil’ yang makan sesuka hati di siang Ramadhan.

Di kafe tempat kerja saya, ada juga kejadian yang disebut-sebut mengatakan beberapa kakitangan selamba sahaja makan di siang Ramadhan. Kalau kerana tidak berilmu, susah juga memikirkan macam mana nak sampaikan ilmu kepada mereka ini. Kalau selamba, kesianlah diri mereka menanggung akibatnya.

Saya rasa, konsep IMSAK yang perlu dihayati oleh orang perempuan ini penting. Sebab, walaupun kita tak puasa, makan dan minum, tapi sebab kena elakkan diri dari melakukannya secara terbuka, maka proses mengawal diri itu masih berlaku. Tercapailah maksud taqwa, kan?

Kita kena faham, Allah bagi rukhsah kepada orang perempuan yang uzur bahawa mereka boleh makan dan minum, hanyalah sebab nak tampung keperluan badan yang sedang lemah, dan bukannya memberhentikan proses membina ketaqwaan diri.

UMMUSAIF.COM http://drmuna.wordpress.com/
56000 Kuala Lumpur

11 August, 2011

Al-Quran Peguam Bela


Ramadhan Bulan Al-Quran


Abu Umamah r.a. berkata : "Rasulullah S.A.W telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Qur'an, setelah itu Rasulullah S.A.W memberitahu tentang kelebihan Al-Qur'an."

Telah bersabda Rasulullah S.A.W : Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."

Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?"
Maka berkata Al-Qur'an : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."
Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu : "Adakah kamu Al-Qur'an?"

Lalu Al-Qur'an mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.

Pada kedua ayah dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?"

Lalu dijawab : "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

07 August, 2011

Ramadhan & Sabar


Bulan Ramadhan adalah bulan yang menguji kesabaran. Hayatilah......

(saya pun kena bersabar)

Barangsiapa yang ingin selamat dari seksa Allah dan memperoleh pahala dan rahmat-Nya serta masuk ke dalam syurga-Nya, hendaklah ia mencegah nafsunya dari kesenangan-kesenangan dunia dan hendaklah ia bersabar atas penderitaan dan bencananya. Allah Swt. berfirman, “Allah menyukai orang-orang yang sabar.”

( Aali- Imran : 146)

Sabar itu ada beberapa macam.

a. Sabar untuk taat kepada Allah.

b. Sabar dari larangan-larangan Allah

c. Sabar atas musibah pada kejutan pertama.

Barangsiapa yang bersabar untuk taat kepada Allah Swt., maka Allah memberinya tiga ratus tingkat di syurga kelak pada hari kiamat. Setiap tingkat seluas jarak di antara langit dan bumi. Barangsiapa yang bersabar dalam menghindari larangan-larangan Allah, maka Allah memberinya enam ratus tingkat. Setiap tingkat seluas jarak antara langit ketujuh dan bumi yang ketujuh. Dan barangsiapa yang bersabar menghadapi musibah, Allah akan memberinya tujuh ratus tingkat di syurga. Setiap tingkat seluas jarak antara ‘Arasy dan bumi.

Al –Junaid Al –Baghdady berkata, “Bala adalah penerang bagi orang-orang arif, kebangkitan bagi orang-orang yang menghendaki redha Allah, kebaikan bagi orang-orang mukmin dan kebinasaan bagi orang-orang yang lengah. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman, sehingga dia telah ditimpa bencana lalu redha dan bersabar.”

Nabi Muhammad Saw. bersabda, “ Barangsiapa sakit semalaman lalu sabar dan redha kepada Allah Swt., maka dia keluar dari dosa-dosanya seperti pada hari di saat ibunya melahirkan dia. Maka kalau kamu sedang sakit janganlah terlalu mengharap sembuh.”

Sabar pada kejutan pertama begitu susah dilakukan, namun di sana terdapat suatu kebaikan, semoga kita senantiasa berada dalam mata air kesabaran, senantiasa berselendang keikhlasan dalam menjalani berbagai cubaan dan hanya berharap pada keredhaan Yang Maha Merancang kehidupan fana dunia.