1- Ada beberapa golongan masyarakat yang melakukan kesilapan dengan melakukan ibadah korban pada malam hari raya. Amalan ini tidak menepati sunnah. Sekiranya dilakukan juga, sembelihan tersebut tidak dikira sebagai 'ibadah korban', kerana para ulama menganggap perbuatan tersebut sebagai makruh.
2- Masih ada amalan membahagikan daging korban kepada tujuh bahagian tertentu (biasanya kepala, bahagian rusuk, batang pinang) diperuntukkan atau dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah. Tindakan ini sama sekali tidak dibenarkan. Ini kerana setiap bahagian daging korban adalah sedekah. Manakala sedekah sama sekali tidak boleh dijadikan sebagai upah. Sekiranya kita masih ingin memberikan upah kepada tukang sembelih, pihak yang berkongsi korban, boleh membayar lebih sedikit daripada harga sebenar binatang korban dan menyerahkan lebihan wang tersebut kepada tukang sembelih.
3- Melaksanakan korban untuk menunjukkan kepada orang ramai akan kemampuannya melaksanakan ibadah tersebut supaya dia dipandang mulia, dihormati serta dianggap hebat dari sudut kemampuan kewangan. Sepatutnya dia insaf bahawa hanya korban yang dibuat secara ikhlas serta disertai taqwa sahaja akan diterima Allah. Firman Allah SWT: "Daging-daging korban dan darahnya itu, sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, akan tetapi (keikhlasan) yang lahir dari ketaqwaan dari mu lah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah memudahkan bagimu (binatang korban itu) untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah lantaran petunjukNya kepadamu dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang melakukan kebaikan" (al-Haj:37)
4- Berlaku pembaziran pada daging korban. Terdapat daging korban yang lambat diagih-agihkan menyebabkan ia menjadi busuk. Ini berpunca daripada sikap segelintir pihak yang terlalu tamak menghimpunkan daging korban sehingga ia rosak apabila ruang peti ais rumah tidak mampu memuatkan semua daging korban yang dibawa pulang.
5- Pembahagian daging korban yang hanya ditentukan kepada kumpulan atau puak tertentu sahaja dengan mengenepikan hak orang lain terutama yang tinggal sejiran, sekampung atau setaman dengan kita.
sumber: majalah i luv islam bil: 35
No comments:
Post a Comment