Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

04 September, 2009

Sejarah Al-Quran


Bagaimana Al-Quran sampai kepada kita?

Rasulullah SAW telah dibangkitkan dalam sebuah umat yang ummi, iaitu golongan yang tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Sebelum Muhammad diangkat menjadi Utusan Allah, bilangan dari golongan Arab yang tahu menulis sangat sedikit, antaranya ialah: Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin Al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidullah, Abu Sufyan bin Harb, serta anaknya Mu’awiyah, Abaan bin Sa’id, Al-‘Alaa’ bin Al-Hadhrami, dan Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘As daripada penduduk kota Makkah. Manakala dari kalangan penduduk Madinah pula ialah ‘Amru bin Sa’id, Ubay bin Ka’ab, Zaid bin Thabit dan Al-Munzir bin Umar.

Selepas peristiwa Hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah menggalak dan merangsang para sahabat agar mempelajari cara-cara menulis sehinggakan Baginda SAW telah menjadikan ianya sebagai penebus tawanan. Caranya ialah setiap seorang daripada tawanan Quraisy dalam perang Badar akan mengajar sepuluh orang kanak-kanak di Madinah. Oleh yang demikian telah ‘laku dan larislah pasar penulisan’ di dalam masyarakat Islam.


Penulisan Al-Quran dalam tempoh kenabian

Rasulullah SAW telah mengarahkan agar Al-Quran itu ditulis. Maka kesemua isi kandungan Al-Quran itu telah ditulis pada suhuf-suhuf (helaian kertas, kepingan kayu, pelepah kurma, kepingan kulit, tulang-tulang dan sebagainya). Allah SWT telah menjamin pemeliharaan Al-Quran dengan dua cara iaitu, hafazan manusia di dalam dada mereka dan penjagaannya di dalam tulisan. Allah SWT telah berfirman:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Mafhumnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Az-Zikr (Al-Quran), dan Kamilah juga yang akan menjaganya” (Al-Hijr: 9)

Pesuruh Allah ini juga telah menyeru para sahabatnya supaya menulis apa sahaja yang diturunkan daripada Al-Quran dengan segera. Mereka ini dinamakan sebagai كُتاب الوحي ‘penulis-penulis wahyu’. Para penulis ini terdiri daripada Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin Al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Mu’awiyah bin Abi Sufyan, Khalid bin Al-Walid, Ubay bin Ka’ab dan Zaid bin Thabit serta ramai lagi. Mereka semua menulis Al-Quran ini di hadapan Rasulullah SAW sehingga selesai penurunan Al-Quran. Akan tetapi pada waktu itu, tulisannya masih lagi terpisah-pisah dan belum digabung atau dihimpunkan.


Al-Quran dihimpunkan pada zaman Abu Bakar As-Siddiq

Dalam peperangan menghapuskan golongan yang murtad, ramai dari kalangan penghafaz Al-Quran yang gugur syahid. Hal ini menyebabkan Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah mengambil tindakan untuk menghimpunkan semua tulisan Al-Quran kesan daripada cadangan Saidina Umar Al-Khattab. Abu Bakar telah memberi mandat kepada Zaid bin Thabit untuk bertanggungjawab menghimpunkannya dalam satu tempat sahaja. Perlantikan tersebut dibuat kerana kekerapan beliau menulis wahyu dan penyaksiannya tatkala turunnya ayat-ayat terakhir Al-Quran ketika hayat Nabi SAW. Beliau juga adalah seorang yang sangat pintar, wara’, adil, beramanah dan tidak pernah dicurigai pada pegangan agama serta perilaku dan akhlaknya. Zaid pernah berkata, “Demi Allah, sekiranya kamu menugaskan saya untuk memindahkan sebuah bukit, ianya tidaklah memberatkan saya berbanding apa yang diperintahkan ke atas saya sekarang ini iaitu menghimpunkan Al-Quran”.

Zaid telah memperhatikan dengan teliti penulisan suhuf-suhuf ini yang merangkumi kepastian bahawa ia adalah Al-Quran secara mutawaatir (mustahil berlaku penyelewengan), tetap kedudukannya ketika penurunan terakhir, dan tidak dinasakhkan (mansuh) bacaannya. Selain daripada itu, tulisan tersebut bukannya dari riwayat Aahad, ataupun berbentuk penerangan, takwilan mahupun hadith qudsi. Bahkan tulisan hendaklah tersusun dari segi surah dan ayat-ayatnya.

Suhuf-suhuf ini terus disimpan dan dijaga sepanjang tempoh Saidina Abu Bakar menjadi khalifah. Kemudian diteruskan oleh Saidina Umar Al-Khattab dan diikuti oleh Ummul Mukminin Hafsah binti Umar, sehinggalah akhirnya diminta untuk dijaga oleh Saidina Uthman bin Affan.


Al-Quran disalin dalam bentuk mushaf pada zaman Saidina Uthman

Pada tahun 25 Hijrah, seorang sahabat nabi yang bernama Huzaifah bin Al-Yaman telah menyertai peperangan bersama tentera Islam di Armenia dan Azrebaijan. Pada ketika itu, beliau telah melihat berlakunya banyak perselisihan dari kalangan umat Islam tentang cara bacaan Al-Quran. Lantas beliau meminta perhatian daripada Saidina Uthman dengan katanya, “Telah sampai masanya bagi umat ini (bertindak) sebelum mereka berselisihan sepertimana perselisihan orang Yahudi dan Nasrani”.

Lalu Saidina Uthman pun menghimpunkan sejumlah sahabat nabi yang terkemuka dan mempunyai pandangan yang bernas. Mereka bermesyuarat dan bersepakat untuk menyalin semula mushaf-mushaf itu, kemudian dihantar ke setiap bandar. Tujuannya adalah untuk dijadikan rujukan bagi mereka. Tugasan ini telah diserahkan kepada empat orang sahabat nabi yang tinggi kedudukannya dan beberapa orang yang boleh dipercayai. Mereka ialah Zaid bin Thabit dari Madinah. Seterusnya ialah Abdullah bin Az-Zubair, Sa’id bin Al-‘As dan Abd Rahman bin Al-Harith bin Hisyam dari orang-orang Quraisy.

Saidina Uthman telah menghantar utusan kepada Hafsah Ummul Mukminin untuk meminta beliau menyerahkan suhuf-suhuf Al-Quran yang ada padanya. Lalu suhuf-suhuf tersebut diserahkan kepada mereka. Setelah diambil, para utusan itu langsung tidak menulis apa-apa pun melainkan setelah dipersembahkan kepada para sahabat yang berada di Madinah. Mereka memastikan ia adalah Al-Quran yang sebenar, tidak dinasakhkan bacaannya dan tetap kedudukannya ketika penurunan terakhir. Lantas mereka pun menulis di dalam beberapa buah mushaf yang baru dan dihantar satu naskhah ke setiap bandar. Manakala tulisan-tulisan yang lain telah diarahkan agar dibakar demi memelihara keaslian Al-Quran.

Al-Mushaf Al-Imam (yang asal) adalah mushaf yang dijadikan panduan dan ikutan untuk penulisan mushaf-mushaf lain dengan arahan daripada Saidina Uthman. Salinan-salinan yang lain telah dihantar ke setiap bandar, sedangkan mushaf yang asal ada dalam simpanannya. Beliaulah yang telah menamakannya ‘Al-Mushaf Al-Imam’.

Kini sebutan yang paling masyhur di kalangan kita pula adalah Mushaf Resam Uthmani.

Nota kaki: Artikel ini pernah disiarkan di dalam Majalah Anugerah ke-4, sesi 2005-2006 yang diterbitkan oleh Biro Penerangan dan Penerbitan, Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir.

No comments: