Saya menaruh harapan yang tinggi bahawa semua umat Islam pada hari ini pernah menerima didikan Islam tidak kira sama ada sedikit, ala kadar mahupun lebih. Sudah pasti kita telah didedahkan dengan identiti Islam dalaman ataupun luaran. Cuma sejauhmana kita menghayati dan memahami ajaran Islam itu bergantung kepada suasana sekeliling dan ruang lingkup pergaulan kita. Dua perkara ini menjadi faktor penentu pengetahuan Islam itu dapat direalisasikan atau sebaliknya.
Akal yang sihat akan menerima keperluan beragama itu sebagai memenuhi tuntutan rohani. Kalau boleh saya ungkapkan; barangsiapa yang tidak mahu beragama ataupun ada agama (pada nama) namun tidak mahu meladeninya, sudah pasti hati dan kelongsong jiwanya kekosongan serta tidak jelas matlamat kehidupannya persis perjalanan jauh tanpa ketahuan ke mana destinasinya.
Muslim yang beriman menginsafi bahawa Islam adalah landasan kehidupan. Islam jualah yang mengajarnya agar memahami erti kehidupan, iaitu hidup ini bukan sekadar ‘hidup mesti terus’ sebaliknya hidup untuk mencari keredhaan Allah dalam apa jua aktiviti seharian. Dalam hal ini, perkara utama yang perlu ada dalam hati seorang muslim adalah menghayati agamanya dengan penuh kesungguhan supaya menjadikan kehidupannya lebih bermakna.
Syeikh Mahmud Syaltut (1966) mencirikan orang yang menghayati agama berdasarkan tiga prinsip. Pertama, beriman dengan hidayah dan syariat Allah sebagai lanjutan dari beriman kepada Allah SWT. Ia menatijahkan seseorang yang meyakini keadilan Islam (melalui peraturan syarak) dan rela dengannya. Kedua, melaksanakan peraturan syarak dengan mengkhususkan ubudiyyat hanya kepada Allah SWT. Ketiga, sedar dan yakin tentang pengawasan Allah SWT terhadap dirinya.
Dengan ilmu sekerat, saya melihat jika kita camping salah satu daripada tiga prinsip ini bermakna kita seolah-olah bersedia menelanjangkan akidah, diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam, tenggelam di lautan hawa nafsu, tidak peka dan sensitif terhadap isu-isu umat Islam dan pelbagai lagi kesan yang negatif.
Zainab al-Ghazali al-Jubaili (tokoh gerakan Islam Mesir) berkata; Islam mesti dihayati sebagai din (agama) dan daulah (kerajaan), tabiat dan usul akidah. Ini bererti seseorang yang terbatas kepada amalan agama secara individu sahaja tanpa usaha menegakkan Islam dalam seluruh aspek kehidupan, belum mencapai tahap penghayatan (agama) yang paling tinggi dan belum sempurna pengakuan (syahadah) sebagai seorang Islam.
Cubalah kita menebar pandang terhadap masalah kebejatan moral dalam masyarakat yang saban hari semakin galak, ngeri dan memualkan. Di manakah kesilapannya? Apakah puncanya? Pada saya, jawapannya hanya satu; kerana penghayatan agama di kalangan kita semakin menyusut dan usaha untuk mencanaikannya tidak meluas dan bebas. Justeru itu, sepatutnya masyarakat mendokong sepenuhnya usaha untuk menanamkan kefahaman Islam yang jitu kepada mereka, dengan memberikan pelbagai sokongan, sumbangan dan bantuan, bukannya dengan menyekat dan mengenakan pelbagai tekanan kepada golongan yang berazam mahu menyelamatkan masyarakat ini.
Menurut Mustafa Masyhur, berdosa pandangan bahawa amalan Islam setakat ilmu, ibadah, zikir dan berbuat baik sahaja, tanpa berusaha menunaikan tanggungjawab ini. Namun, dalam konteks dakwah individu (dakwah fardiyyah) pula; Masyhur mengambil pendekatan berbeza. Tahap penghayatan paling tinggi bagi muslim biasa (‘awam) harus dimulai dengan memahami Islam dengan fahaman yang tepat dan menyeluruh sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW, kemudian bergerak dan beramal, serta mempertingkatkan kerohanian sehingga mencapai tahap para amilin dan solihin yang tidak menjadikan kehendak, pilihan dan tindakan menurut hawa nafsu dan syahwat mereka.
**** bertanyalah kepada bijak pandai dalam bidang agama – ulama’
No comments:
Post a Comment