Ya! Itulah jawapannya.
Saya rasa mungkin anda biasa mendengar ungkapan yang berbunyi "kehidupan manusia umpama roda". Saya juga meyakini semua orang pernah mengalami pengalaman hidup sebegini. Adakala kita berada di atas seperti mencapai kejayaan yang gilang-gemilang samada dalam alam pekerjaan, perniagaan mahupun di peringkat pengajian dengan memegang kemegahan dan kemasyhuran. Kita disanjung, dipuji dan dijadikan idola. Namun begitu, jarang benar kita mendengar cerita seseorang individu itu sentiasa konsisten dalam keadaan yang terbaik, kerana dia juga akan atau pernah mengalami peristiwa hitam dalam diari kehidupannya.
Seorang pelajar yang mencapai kejayaan yang cemerlang dalam akademiknya mungkin pernah melalui zaman kemerosotan ataupun bermula daripada kegagalan. Seorang usahawan yang berjaya mungkin pernah mengalami zaman kerugian ataupun bermula daripada kemiskinan. Begitu jugalah individu-individu yang lain. Cuma yang menjadi masalah sekarang ini ialah terdapat sebahagian individu yang tidak dapat menerima kenyataan apabila menerima dugaan lantas menyebabkan dia benar-benar jatuh tersungkur dan tidak berdaya untuk bangkit kembali.
Dia menyedari apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya, tetapi masih tidak mampu untuk memperbaiki keadaan. Dia membiarkan dirinya terkontang-kanting umpama lalang yang membiarkan dirinya sentiasa ditiup angin, dan tidak mampu untuk berdiri dengan kukuh. Ke arah kanan angin bertiup, ke kanan jugalah ia bergoyang. Ke kiri angin berlalu, ke kiri jugalah ia melayang. Apakah penawarnya?
Ada juga yang merasakan dirinya sentiasa berada di tampuk yang sama, untung tidak, rugi pun tidak, tanpa mengalami sebarang perubahan. Saya tidak tahu apakah perasaan sebenar individu sebegini. Malahan tidak dinafikan, masih terdapat segelintir masyarakat yang berterusan berada dalam kesempitan dan dirundung kesedihan.
Rencam hidup yang saya bentangkan di atas adalah dari segi nasib kehidupan masing-masing. Bagaimana pula dengan status hubungan kita sebagai makhluk dengan Pencipta Makhluk itu pula? Inilah yang hendak direnungkan bersama.
Para alim ulamak telah menjelaskan kepada ummah bahawasanya keadaan hidup manusia ini hanyalah berlegar sekitar empat keadaan sahaja dan tiada yang kelima. Samada seseorang itu dalam keadaan sedang beribadah ataupun melakukan maksiat. Samada dia sedang bergembira dengan nikmat ataupun menderita menerima azab. Justeru itu, para cendekiawan Islam telah memberikan garis panduan kepada kita apakah yang sewajarnya dilakukan tatkala berada dalam salah satu daripada keadaan-keadaan hidup ini.
Sekiranya kita sedang melakukan ibadah kepada Allah swt, sudah pasti hendaklah ibadah tersebut dilakukan dengan ikhlas dan penuh khusyuk. Skop ibadah pula, tidak wajar jika dilihat dari perspektif yang sempit. Tidak semestinya ibadah itu hanya terhad kepada amalan-amalan seperti solat, puasa, zakat dan membaca Al Quran sahaja. Sebaliknya ibadah itu mencakupi apa jua aktiviti dan perbuatan yang baik dan bermanfaat. Aspek yang paling penting sebenarnya adalah niat dan keazaman si pelaku, kerana niat itulah yang membezakan di antara ibadat dan adat.
Dalam erti kata yang lain, sebarang perbuatan yang tidak ada kebaikan padanya termasuk dalam kategori maksiat. Cumanya antara keterlaluan ataupun tidak. Sedangkan Imam Hasan Al Basri pernah berkata, mengharapkan pahala tanpa melakukan sebarang amalan juga dianggap berdosa.
Hukama’ ada mengajar kita bahawa sesungguhnya ibu segala ibadat adalah dengan meninggalkan segala bentuk maksiat. Bunyinya semacam mudah dan enteng. Namun pelaksanaannya benar-benar mencabar, kerana iblis dan syaitan tidak pernah bercuti dan berehat daripada mengganggu makhluk Allah yang bernama manusia.
Bagaimana pula ketika sedang bersenang-senang dengan nikmat kurniaan Allah? Jawapan yang terbaik adalah dengan memperbanyakkan rasa bersyukur kepada Pemberi kurniaan tersebut. Bukankah Allah telah berfirman di dalam KitabNya, "Sekiranya kamu bersyukur kepadaKu, nescaya Aku akan tambahkan lagi kenikmatan kepadamu". Cuba selidik kembali diri masing-masing, adakah kita termasuk hamba-hamba Allah yang benar-benar bersyukur? Bersyukurkah kita dalam ertikata yang sebenar? Saya tidak berniat untuk memberikan perincian tentang cara-cara bersyukur di sini.
Seterusnya dikala menerima azab ataupun musibah daripada Allah swt, apakah reaksi kita pada saat itu? Bersabarkah kita? Redhakah kita dengan ketentuanNya? Sedarkah kita tentang hakikat sebenar musibah Allah ke atas hambaNya adalah suatu momentum untuk mengangkat darjatnya. Musibah itu juga adalah sebagai kifarat serta penghapus segala dosa dan kesalahan yang telah kita kerjakan.
Ataupun respon yang sering terjadi tanpa disedari adalah melenting tanda tidak puas hati?
Sebenarnya saya lebih suka mengemukakan soalan berbanding memberikan jawapan yang tidak dipinta. Bukankah ini adalah salah satu cara untuk bermuhasabah? (bagi mereka yang mahu bermuhasabah)
Hadith Nabi saw ada menyebut tentang keimanan seseorang hamba Allah itu kadang-kadang bertambah dan kadang-kadang berkurangan ataupun menurun. Oleh yang demikian, memang munasabahlah jika hadith ini dikaitkan dengan empat macam kehidupan manusia di atas. Lantaran daripada itu, kesungguhan kita untuk memelihara iman ini agar ianya sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik sangatlah diperlukan.
Saya bukanlah seorang motivator yang bertauliah dan berpengalaman. Bahkan masih belum layak untuk memberikan nasihat dan taujihat kepada anda. Cuma berbekalkan secebis kesedaran yang berputik di dalam hati, saya memberanikan diri untuk menulis artikel seumpama ini, sebagai suatu wasilah untuk mengukur jati diri sendiri dan buat peringatan bersama.
1 comment:
salam syauqi..trima kasih.mungkin itulah yg di katakan lumrah bagi insan yang bernyawa di dunia ini..apa pun yg terjadi sama ada baik atau jahat semuanya dtg dari kita sendiri,kita yg memilih jalan hidup kita sama ada ingin menjadi seorang insan yg beretika atau hanya sekadar melepaskan batuk di tangga..kita harus pandai main peranan kita sebagai manusia..Hanya Allah yg menentukan segala2nya..Sama ada kita berada di atas ataupun di bawah,kita tetap serupa dan sama saja..biarlah kita berdiri sama tinggi,duduk sama rendah..kita tetap kembali pada Tuhan yg sama...
Post a Comment