Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

03 May, 2008

MENGAPA TERDAPAT BANYAK KUMPULAN TORIQAT KESUFIAN?

Baru-baru ini, saya telah ditanya tentang persoalan di atas. Berbekalkan ilmu yang tidak seberapa di dalam dada, saya cuba menjawab sekadar yang mampu. Tidak puas hati dengan jawapan yang dilontarkan, saya segera merujuk beberapa buah kitab untuk mendapatkan pandangan ulama’ dan dalil serta hujjah yang digunakan oleh mereka. Maka, inilah dia sebahagian maklumat yang saya perolehi dan ingin kongsi bersama.

Makna at Toriq ataupun Toriqat adalah himpunan di antara syariat dan hakikat iaitu di antara Islam dan Iman. Itulah ia yang dipanggil maqam al ihsan. Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Umar al Khattab, Rasulullah saw bersabda tentang ihsan iaitu: “Bahawa engkau menyembah Allah dalam keadaan seolah-olah engkau melihatNya. Maka sekiranya engkau tidak (dapat merasai) melihatNya, maka (sedarlah) sesungguhnya Allah melihat kamu”.

Syariat ialah amalan berdasarkan al Quran dan as Sunnah. Manakala hakikat pula adalah pelaksanaan amalan syar’ie dari segi dalaman.

Allah swt telah mengisyaratkan kepada kita melalui firmanNya: إياك نعبد iaitu dengan taklifan (tanggungjawab) zahiriah. Manakala firmanNya: وإياك نستعين bermaksud agar kita sampai kepada rahsia yang tersembunyi di sebalik taklifan ini.

Allah swt juga telah memerintahkan Nabi Musa as : وأقم الصلاة لذكري yang bermaksud, “Dan dirikanlah solat agar kamu mengingati Aku”. Dalam ayat ini Allah swt mengingatkan kita bahawasanya solat itu adalah amalan zahir yang merupakan pintu untuk berzikir (mengingati Allah) iaitulah perkara dalaman. Beginilah penjelasan kebanyakan ulama’ tafsir.

Maka syariat itu umpama sebatang pohon. Hakikat pula umpama buahnya. Mustahil akan terhasilnya buah tanpa adanya pohon. Oleh itu, barangsiapa yang mendakwa dia telah mencapai hakikat tanpa memahami syariat, sebenarnya dia adalah seorang jahil lagi penipu. Ini adalah kerana syariat tanpa hakikat, akan binasa. Hakikat tanpa syariat pula, adalah batil.

Dr. Ali Jumu’ah, Mufti Republik Arab Mesir menjelaskan bahawa toriqat kesufian adalah ‘madrasah’ yang mementingkan penyucian jiwa dan memperelokkan cara ibadat. Manakala syeikh pula adalah pengawas ataupun guru yang akan memastikan tujuan tersebut dicapai oleh anak-anak muridnya. Syeikh ini dipanggil sebagai Mursyid yang bermaksud penunjuk ataupun pembimbing.

Kita semua mengakui bahawa jiwa manusia ini mengandungi pelbagai penyakit hati seperti takabbur, riya’, ujub, menipu daya, mementingkan diri sendiri, bakhil, marah, kecenderungan terhadap maksiat, dendam, benci, hasad dengki, tamak dan sebagainya. Allah swt telah merakam kata-kata Zulaikha;
وما أبرّئ نفسي، إن النفس لأمّارة بالسوء إلا ما رحم ربي، إن ربي غفور رحيم (يوسف:53
"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku. Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Amat Pengampun lagi Amat Mengasihani."

Oleh yang demikian, para salafuna as soleh dan golongan ulama’ terdahulu awal-awal lagi telah menyedari kepentingan tarbiyah jiwa ini dan menyelamatkannya daripada penyakit-penyakit yang telah disebutkan tadi.

Ciri-ciri toriqat kesufian yang paling utama adalah berpegang dengan al Quran dan al Sunnah. Dalam erti kata yang lain, sekiranya terdapat percanggahan daripada kedua-dua sumber ini, maka ia bukanlah toriqat bahkan tertolak dan ditegah. Seterusnya pengajaran di dalam toriqat ini tidak boleh terpisah daripada syariat Islamiah. Imam Malik telah berkata, “Barangsiapa yang hanya bertafaqquh tetapi tidak bertasawwuf, dia telah berlaku fasiq. Barangsiapa yang hanya bertasawwuf tetapi tidak bertafaqquh, dia telah berlaku zindiq. Barangsiapa yang menghimpunkan kedua-duanya, maka dia telah mencapai hakikat”. Zindiq ialah pura-pura Islam sedangkan pada hakikatnya kafir. Zindiq juga dikaitkan dengan golongan yang mendakwa kekalnya dunia ini.

Berkenaan dengan bentuk tarbiah yang berbeza-beza, Rasulullah saw sendiri telah menjadi qudwah kita. Tatkala didatangi oleh salah seorang sahabat yang meminta nasihat agar dijauhkan daripada kemurkaan Allah, maka baginda pun bersabda, “Janganlah kamu marah”. Buat sahabat yang lain pula, baginda bersabda, “Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapamu”. Apabila datang lagi seseorang, Rasulullah saw menasihatkan, “Basahkanlah lidahmu dengan zikrullah”. Maka begitulah seterusnya sentiasa ada perbezaan nasihat dan cara mengikut latar belakang mereka.

Malahan para sahabat baginda sendiri, dari segi ibadat ada di antara mereka yang memperbanyakkan qiamullail, dan ada yang memperbanyakkan membaca al Quran. Kedapatan juga yang sentiasa berjihad. Sebahagian daripada mereka lagi memperbanyakkan berzikir ataupun kerap bersedekah.

Namun demikian, tidaklah bermakna kita akan meninggalkan ataupun mengabaikan urusan keduniaan. Sebaliknya di sana terdapat ibadat tertentu yang diperbanyakkan demi mengejar keredhaan Allah swt. Bukankah kita semua pun mengetahui bahawa pintu masuk ke syurga itu juga berbilang-bilang? Maka begitulah juga dengan toriqat-toriqat kesufian, walaupun banyak bilangan dan methodnya, namun yang dikejar hanyalah Allah Yang Maha Esa.

Syeikh Muhammad Khalil al Khatib yang merupakan salah seorang tuan guru kepada Syeikh Muhammad Mutawalli al Sya’rawi telah menerangkan bahawa perbezaan toriqat-toriqat kesufian adalah sama halnya dengan perbezaan imam-imam mahzab fiqh yang empat. Apabila seseorang mursyid itu merasakan sesuatu amalan itu mudah baginya tatkala diusahakan lantas boleh menyampaikan dirinya kepada Allah swt, maka disarankanlah kepada para pengikutnya agar melakukan amalan tersebut di samping tetap memelihara usul-usul Islam seperti solat, puasa, haji dan zakat.

Toriqat-toriqat ini mempunyai nama-nama yang berbeza disebabkan perbezaan nama pengasasnya. Matlamat toriqat-toriqat tersebut adalah sama, yang berbeza hanyalah pada rusum amali, seperti pakaian, awrad (jama’ wirid) dan ahzab (jama’ hizb) yang dibaca berulang-ulang oleh para pengikut. Maka ia lebih merupakan madrasah-madrasah (sekolah-sekolah) yang bertujuan sama dalam pengajaran kerohanian, tapi cara-caranya berbeza disebabkan masing-masing guru atau mu’allim menetapkan kaedah dan rusum yang tersendiri, yang dipandangnya lebih berkesan.

Menurut Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba’ith al Kittani, terdapat tujuh toriqat sufiah yang terbesar dan menonjol iaitu:
1- Toriqat al Qadiriyah
2- Toriqat al Rifa’iyah
3- Toriqat al Syadzuliyah
4- Toriqat al Ahmadiyah
5- Toriqat al Burhamiyah (juga dikenali al Dasuqiyah)
6- Toriqat al Naqsyabandiyah
7- Toriqat al Khulwutiyah

Menurut Dr. Musa Fathullah Harun pula, selain daripada senarai di atas, masih terdapat toriqat yang lain seperti al Suhrawardiyah, al Kubrawiyah, al Yasawiyah, dan al Syasytiyah

Namun begitu, tidak dapat dinafikan wujudnya sesetengah kumpulan yang mendakwa mereka adalah golongan sufi dan bertoriqat tetapi sebenarnya telah terpesong. Tanpa disedari mereka telah melakukan amalan yang tidak bertepatan dengan hukum syara’ seperti tari-menari dalam majlis-majlis maulid, berlakunya percampuran lelaki dan perempuan secara rawak, tidak memandang berat soal halal dan haram, mencampuri amalan khurafat, tidak menjaga kepentingan akhlak dan sebagainya. Faktor utama adalah kurangnya ilmu pengetahuan agama yang mendalam dan tidak mahu menjadikan ulama’ yang muktabar sebagai rujukan.

Sebagai konklusi, saya ingin mengajak para pembaca untuk merenungkan kalimat سُبلنا iaitu jama’ ataupun plural daripada kalimat سبيل dalam firman Allah yang berbunyi:
والذين جاهدوا فينا لنهدينّهم سبلنا وإن الله لمع المحسنين. (العنكبوت: 69

Mafhumnya: Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

Semoga pendedahan sebegini dapat meleraikan kekusutan dan kekeliruan yang melingkungi pemikiran sebahagian anggota masyarakat berkenaan topik toriqat-toriqat kesufian. Hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui kebenaran segala-galanya.


Bahan bacaan:
1) المرجع معالم المشروع والممنوع من ممارسات التصوف المعاصر، الشيخ السيد إبراهيم الخليل بن علي الشاذلي
2) البيان لما يشغل الأذهان، دكتور علي جمعة، مفتي الديار المصرية
3) اتحاف الأخيار بأصح العقائد والأذكار، الشيخ محمد خليل الخطيب
4) Pengantar Tasawwuf Islam, Dr Musa Bin Fathullah Harun
5) Tafsir Pimpinan al Rahman

No comments: