Ketika tulisan ini dihasilkan, boleh dikatakan hampir kesemua pusat pengajian di Mesir, termasuklah Universiti Al Azhar sedang berada dalam musim peperiksaan. Pada waktu inilah para penuntut ilmu akan mula berubah sikap daripada malas kepada rajin, kuat tidur kepada kerap berjaga, dan tidak kurang juga yang mula rajin ke surau ataupun masjid yang berhampiran. Sebabnya? Faham-faham ajelah !
Pada saya ini adalah suasana yang sangat indah dan menggembirakan. Saya juga pemalas, tapi apabila terlihat rakan-rakan ada yang ‘bertapa’ dan menjadi ulat buku, terasa malu pula dibuatnya. Lantas, terpaksalah ‘tunjuk rajin’ juga.
Oh, alangkah bahagianya sekiranya keadaan begini sentiasa berterusan tanpa bermusim. Tekun mengulangkaji pelajaran, selalu berbincang dalam bab akademik bersama rakan taulan, ibadah yang bertambah serta konsisten dan lain-lain aktiviti positif. Masa yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin demi mencapai keredhaan Allah di dunia dan akhirat.
Namun, malang sekali kerana gaya kehidupan sebegini sukar untuk diadaptasikan sentiasa. Ianya tidak bertahan lama. Selesai peperiksaan, habis lupa apa yang telah diulangkaji dan dihafal. Mengapa? Masing-masing ada jawapannya.
Pada kacamata saya secara peribadi, jawapannya adalah disebabkan kita bersungguh-sungguh hanya untuk lulus dalam peperiksaan. Bukannya untuk benar-benar menguasai ilmu dan aplikasinya.
Justeru itu, bagaimana penyelesaiannya? Adakah tindakan mereka ini (dan saya juga) adalah salah?!
Tidak! Saya menganggap ia adalah sangat baik, berbanding jika langsung tiada sebarang perubahan ataupun anjakan paradigma. Cuma, yang hendak difokuskan di sini ialah sikap kita terhadap penguasaan ilmu, dan juga pelaksanaannya. Ikhlaskah kita atau bagaimana?
Aneh, apabila seorang graduan bidang Bahasa Arab masih lemah dan lintang-pukang dalam tatabahasanya.
Pelik, apabila seorang graduan fakulti Usuludin tidak dapat menjawab dengan baik tentang persoalan aqidah.
Ajaib bin tak logik, apabila lepasan pengajian Syariah, boleh mencari alasan untuk mengatakan hukum-hakam Allah yang termaktub di dalam Al Quran masih belum sesuai untuk dilaksanakan pada masa kini!!
Jadi, untuk apa kita belajar ilmu-ilmu Islam dalam pengkhususan kita sekiranya tidak difahami dan tiada usaha untuk melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh?! Walhal, sepatutnya kita kena berusaha untuk memahami Islam itu dengan cara yang sepatutnya kita faham, bukan dengan cara sebagaimana yang kita faham. Faham?!
Amanahkah kita terhadap ilmu yang telah dipelajari dan dikaji? Jawab sendiri.
No comments:
Post a Comment