Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

22 May, 2012

Yang tersirat dalam ayat pertama surah al-Israa'


Ulasan mengenai apa yang tersirat di sebalik ayat Allah taala di dalam surah al-Isra’ yang berbunyi :
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آَيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haraam (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Perkataan pertama yang disebutkan oleh Allah taala di dalam ayat tersebut adalah Subhana (yang bermaksud: Maha Suci). Seolah-olah Allah taala ingin menyucikan pemikiran sebahagian golongan yang tersalah di dalam memikirkan tentang kebesaran Allah taala dengan mengatakan bahawa Allah berada di langit ketika itu. Sedih bilamana mendengar sebahagian orang menyebutkan bahawa Allah taala di langit berdalilkan peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Aqidah “Allah taala tidak bertempat” perlu diterapkan di dalam pemikiran masyarakat.

Ya , Syaikhuna al-‘Allamah Dr Muhammad Sa’iid Ramadhan al-Buti hafizahuLlah (salah seorang ulama’ Syria) pernah mengeluarkan fatwa jika kanak-kanak bertanya kepada ibu bapanya “ Di mana Allah?” maka dibenarkan untuk menunjukkan ke atas. Ini kerana akal kanak-kanak tidak mampu untuk berfikir jika kita katakan bahawa aqidah sebenar adalah Allah taala tidak memerlukan tempat kerana tempat itu adalah makhluk.

Maksudnya , Syaikhuna Dr Muhammad Sa’iid Ramadhan al-Buti ingin menjelaskan secara tidak langsung bahawa golongan yang mengatakan bahawa Allah taala di langit ini, maka iman dan akalnya tidak jauh berbeza seperti seorang kanak-kanak sahaja walau mereka telah mempunyai pangkat yang tinggi di dalam pendidikan dunia samada Phdnya atau Sarjananya. Allahu Allah.

Asas aqidah sebegini sangat penting bagi memastikan perjuangan Islam selari dengan neraca yang sebenar. Jika aqidah Allah taala berada di atas Arasy dan berada di langit masih dipegang oleh kelompok ini, maka bagaimana ingin mendapatkan kembali Tanah Palestin yang tercinta? Jika kita kaji dan lihat semula sejarah kejayaan umat Islam di dalam pembukaan Tanah Suci Baitul Maqdis maka sudah tentu ianya didasari dengan asas aqidah yang benar.

Sultan Salahuddin al-Ayyubi rahimahullah, pembuka kota Baitul Maqdis adalah seorang ulama yang berpegang dengan aqidah Islam beraliran al-Asya’ri. Manakala Sultan Muhammad al-Fatih rahimahullah, pembuka kota Kostantinopel pula adalah seorang ulama yang berpegang dengan aqidah Islam beraliran al-Maturidi. Maksudnya, jika ingin menjadi seperti mereka, maka aqidah kita juga mestilah seperti mereka.

Inilah aqidah Salafussoleh terdahulu. Aqidah yang berpegang dengan mengatakan bahawa Allah taala tidak bertempat kerana tempat itu adalah makhluk, dan Allah taala juga tidak berada di mana sahaja dengan zatNya. Ini kerana jika kita mengatakan Allah taala di mana-mana sahaja juga tidaklah tepat kerana perkataan “mana-mana” itu sendiri merujuk kepada arah dan tempat. Maka ini juga mustahil bagi Allah taala. Jadi kita beriman bahawa Allah taala wujud tanpa memerlukan kepada tempat. KeagunganNya menyebabkan Dia tidak memerlukan kepada sesiapa dan apa-apa. Asas aqidah sebegini sangat-sangat penting.

Sama-sama kita ingatkan diri kita, kita belajar bukan untuk diri kita sahaja, namun kita belajar untuk membantu perjuangan Islam kelak. Jangan tanya apa yang perjuangan Islam boleh berikan kepada kita jika kita terlibat kelak, namun tanya kepada diri kita sendiri apa yang mampu kita sumbangkan kepada perjuangan itu sendiri.

                        http://www.facebook.com/ustaznazrulnasir

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu di al-Azhar al-Syarif dan Masjid al-Asyraff,
Seksyen 8 , Bangi ,
Selangor Darul Ehsan

No comments: