Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

11 January, 2011

ISTIDRAJ

Apakah istidraj itu? Patutkah atau tidak kita jauhi istidraj? Inilah yang akan saya ulas dalam risalah ini. Tajuk ini adalah amat penting, terutama kepada anak-anak dan generasi muda kita agar tidak terkeliru dengan risalah ini.

Pemikiran kebanyakan umat Islam di zaman moden ini nampaknya jelas kelihatan kian jauh menyimpang dari pemikiran seseorang Islam di zaman silam. Pemikiran manusia di zaman serba maju ini telah dihanyutkan oleh arus keadaan dan diselaputi oleh kebendaan.

Itulah sebabnya kita lihat masyarakat pada hari ini berbeza dengan masyarakat dahulu. Bagaimana masyarakat pada hari ini? Mereka telah terpengaruh dengan apa yang ada; dengan suasana sekelilingnya. Mereka tidak memandang jauh sepertimana orang-orang dahulu. Padahal orang dahulu tidak belajar tinggi sehingga ke universiti. Kita sekarang cerdik, ada ijazah, ada PhD dan macam-macam, tapi bodoh.

Manusia tersebut telah tertipu dengan kekuasaan, pangkat, kebesaran dan kekayaan yang diperolehi. Lantas mereka tidak faham lagi dengan nikmat Allah. Jika dia berkuasa, dia gunakan kekuasaannya untuk menindas orang-orang bawahannya kerana dia tidak tahu menggunakan nikmat kekuasaan yang ada padanya. Dia tidak faham tentang nikmat dan rahmat Allah S.W.T.

Kuasa Dan Kekayaan Untuk Maksiat

Kalau dia ada kebesaran, dia menzalimi orang di bawahnya. Kekayaan yang ada padanya digunakan bukan untuk kebaikan dirinya dan orang lain, tetapi untuk berbuat maksiat kepada Allah S.W.T.

Manusia golongan ini telah terkeliru dengan fahaman mereka sendiri. Mereka tidak faham dan tidak dapat membezakan nikmat pemberian Allah kepada hambaNya yang setia dengan hambaNya yang derhaka.

Saya pernah ditanya oleh seorang mahasiswa, “Ustaz, betulkah atau tidak, saya dengar ustaz bersyarah, ulama’-ulama’ kalau bersyarah menyatakan bahawa barangsiapa yang mahu mendapatkan kebahagian di dunia dan di akhirat hendaklah mengikut jejak langkah Rasulullah S.A.W. dan berpegang teguh kepada agama Islam. Betulkah ustaz?”

Saya jawab, “Betul.”

“Minta maaf ustaz, saya tidak percaya. Sebab, apa yang saya lihat realitinya tidak begitu. Orang-orang yang mengikut jejak langkah Rasulullah inilah yang teruk.”

Dia kemudian menyebutkan beberapa contoh, “Mak dan ayah saya, bukan sahaja sembahyang sehari semalam lima waktu, tapi tengah malam pun bangun sembahyang tahajjud. Rumah kami roboh juga. Puasa bukan sahaja puasa Ramadhan, Isnin mereka puasa, Khamis pun mereka berpuasa. Tapi kami makan sebulan sekali daging pun susah. Ayah saya, orang belum azan sudah pergi ke masjid. Begitu azab mak dan ayah saya yang berpegang teguh kepada agama.”

“Tapi, bapa saudara saya (adik mak saya), tak pernah sembahyang seumur hidupnya. Rumahnya rumah batu. Puasapun tidak pernah. Kalau kita tanya, pakcik tak ingat mati? Bukan saya seorang sahaja yang mati, katanya. Kalau masuk neraka pun ramai juga orang lain yang masuk. Dia hidup kaya, hidup mewah, kita yang sembahyang ni, hidup susah.”

Sebenarnya, hendaklah kamu tahu tentang nikmat-nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada makhluk-makhlukNya. Pemberian nikmat Allah kepada hambaNya yang setia (yang dikasihiNya) ialah pemberian yang diredhaiNya, tetapi pemberian nikmat Allah kepada manusia yang melakukan maksiat dan kejahatan adalah pemberian yang tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan ISTIDRAJ.

Pemberian yang redha ini seperti pemberian ayah kepada anaknya. Ketika si ayah hendak sembahyang, tiba-tiba lalu si penjual aiskrim. Si anak merengek minta dibelikan. Si ayah pun membelikannya kerana tidak mahu anaknya mengacau dia sembahyang. Dengan senyum mesra diberikannya aiskrim itu dengan layanan yang baik. “Makan baik baik nak, jangan bising-bising, ayah nak sembahyang.”

Kemudian, baru saja nak sembahyang, si anak menjerit-jerit minta tambah aiskrim lagi. Si ayah naik darah. Dengan perasaan marah, dibelikan juga aiskrim tersebut kerana takut sembahyangnya tidak khusyuk. Tetapi pemberiannya pada kali ini tidak disertai dengan kemesraan. Pemberian inilah yang dikatakan sebagai pemberian yang tidak redha.

Begitu juga Allah S.W.T. dengan kita. Kadang-kadang manusia mendapat nikmat yang diredhai Allah dan kadang-kadang tidak. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud,

“Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberi nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diIstidrajkan oleh Allah S.W.T.” (Riwayat At-Tibrani, Ahmad dan Baihaqi)

Akan tetapi manusia derhaka yang terkeliru dengan pemikirannya berpendapat bahawa dengan nikmat yang datang mencurah daripada Allah S.W.T. kepadanya itu walaupun dia sentiasa melakukan maksiat, dia menyangka itu adalah bukti yang menunjukkan bahawa Allah kasih dan berserta dengan perbuatan maksiat mereka.

Manusia Istidraj – Manusia Yang Lupa Daratan

Walaupun dia membuat maksiat, tapi dia merasakan Allah menyayanginya. Manusia seperti ini kadang-kadang memandang hina kepada orang-orang yang suka beramal dan ke masjid. Apatah lagi orang yang selalu ke masjid itu hanya berselipar jepun atau berterompah kayu, sedangkan dia naik kereta jenis mewah.

“Alah, siang malam ke masjid, ke surau, tapi basikal buruk pun tak ada. Tengok aku. Aku nak ke kelab malam dengan kereta mewah. Walaupun aku tidak pernah sembahyang, tapi Allah sayangkan aku. Kalau awak sikit ibadat, tentu awak juga akan kaya macam aku.” Katanya sombong.

Inilah jenis manusia yang tidak sedar akan dirinya sendiri. Dia melakukan maksiat pagi petang. Siang malam, dia sangka Allah sayangkannya.

Maka mereka yang berpendapat sedemikian, baik mereka yang mengaku muslim, lebih-lebih lagi yang kepada orang yang sudah nyata kafirnya, berterusanlah mereka menggunakan nikmat pemberian Allah yang berupa harta kekayaan, kebesaran, pangkat dan kuasa mereka untuk melakukan penindasan dan kezaliman serta maksiat (derhaka) kepada Allah yang berpanjangan.

Sesungguhnya mereka tidak faham dan tidak sedar sama sekali bahawa pemberian nikmat itu adalah istidraj daripada Allah. Dengan pemberian nikmat yang tidak diredhaiNya itu mereka akan lalai dari mengingati Allah. Akhirnya mereka akan menemui kehancuran dan kemusnahan.

Kadang-kadang Allah S.W.T. memberikan manusia nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud,

“Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semut itu dengan dua sayapnya.” (Daripada kitab Nasa’ibul ‘Ibad)

Anai-anai misalnya, kalau tidak ada sayap selamatlah dirinya. Dia akan duduk diam di bawah daun atau merayap di celah-celah batu. Jika Allah hendak membinasakannya, Allah beri ia sayap. Anai-anai kalau sudah bersayap namanya akan berubah menjadi kelkatu. Otaknya menjadi otak kelkatu. Kelkatu, bila dapat nikmat dia cuba nak lawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, dia cuba hendak melawan Allah.

Pemimpin-pemimpin Yang Dilaknati Allah

Buktinya telah banyak kita lihat dan kita dengar. Berapa banyak pemimpin-peminpin yang dahulunya gagah dan sombong telah dilaknati Allah. Tidak kurang juga jumlahnya kerajaan yang besar lagi utuh telahpun hancur dan musnah.

Firaun yang gagah mengaku Tuhan, Namrud yang sombong membakar Nabi Allah Ibrahim, Qarun yang kaya, Tha’labah yang bakhil dan banyak lagi … semuanya telah musnah kesombongan dan keangkuhan mereka!

Nikmat Allah yng diberikan kepada Firaun tidak terkita banyaknya. Bersin pun tidak pernah. Jangan kita ingat kita sihat Allah sayang kita. Firaun lagi sihat, tetapi dengan nikmat kesihatan itulah Allah binasakannya. Orang lain selalu sakit, tetapi Firaun tidak. Orang lain mati, sedangkan dia belum juga mati mati hingga dia merasa besar diri, sombong dan takabbur. Akhirnya dia mengaku dirinya Tuhan.

Namrud begitu sombong dengan Allah hingga membakar Nabi Ibrahim. Berapa besar pangkat Namrud? Bagaimana dia menemui ajalnya? Kematiannya hanya disebabkan oleh seekor nyamuk yang masuk ke lubang hidungnya! (ada riwayat mengatakan, kerana nyamuk masuk ke dalam lubang telinganya) wAllahu a'lam

Tidak ada seorang pun manusia pada hari ini yang sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya saja 40 ekor unta membawanya. Akhirnya Allah tenggelamkan hartanya dengan dirinya sekaligus. Hingga kini harta itu tidak timbul-timbul. Harta Qarun itulah yang kita cari cari sehingga lupa sembahyang! Kalau kita kaya, kita sangka Allah sayang. Qarun lagi kaya, akhirnya Allah jahanamkan harta kekayaannya dengan dirinya sekali.

Di mana dan bagaimanakah keadaan mereka itu sekarang? Tanyalah pada tanah! Tanah yang mereka pijak semasa mereka diistidrajkan oleh Allah yang akan memberikan jawapan.

Kita baru naik kereta sudah sombong. Rasulullah S.A.W. naik ke langit pun tidak sombong. Kita kalau berjumpa dengan orang besar sikit sudah sombong dan merasa bangga. Kalau menteri senyum kepadanya dia merasa bangga. Rasulullah S.A.W. berjumpa dengan Allah S.W.T. di langit, tetapi baginda tidak pun sombong.

Kejadian seperti ini akan terus berlaku sepanjang zaman. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud,

“Sunnah Allah tidak pernah berubah atau bertukar.”

Apabila kita tinjau semua ini, akan hilanglah segala persoalan yang tidak terjawab dan yang menjadi keraguan selama ini yang sentiasa mengganggu fikiran kita. Mengapa orang-orang kafir kaya raya? Mengapa orang-orang yang sentiasa membuat maksiat hidup mewah? Tidakkah kita hairan mengapa orang-orang yang selalu ke masjid hanya berbasikal buruk? Yang ke kelab malam naik kereta mewah?

bersambung insya Allah ......

No comments: