Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

15 September, 2009

Suatu Muqaddimah Berkenaan Zakat Fitrah

ZAKAT FITRAH


Zakat Fitrah ialah zakat yang diwajibkan ketika pengakhiran bulan Ramadhan. Ia merupakan sejumlah harta yang tertentu dikeluarkan oleh setiap orang Islam dan diberikan kepada mereka yang berhajat, sebagai pembersihan diri juga untuk membaiki kecacatan-kecacatan yang berlaku pada puasa sepanjang bulan Ramadhan yang disebabkan oleh percakapan sia-sia, perbuatan jelek dan sebagainya.

Berkata Ibnu Abbas r.a :

فرض رسول الله عليه وسلم زكاة الفطر طهرة للصائم من اللغو والرفث وطعمة للمساكين

« Rasulullah SAW memfardhukan zakat fitrah sebagai pembersihan bagi orang yang berpuasa daripada perkara yang lagha (sia-sia), percakapan yang kotor, dan (sumbangan) makanan untuk golongan yang miskin. »

Seorang ulama’, Waki’ bin al-Jarrah menyatakan: “Kedudukan zakat fitrah pada bulan Ramadhan seumpama sujud sahwi pada solat kerana ia membaiki kekurangan puasa sepertimana sujud sahwi membaiki kekurangan solat”.

Zakat fitrah ini mula difardhukan pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah iaitu tahun yang sama difardhukan puasa Ramadhan serta ‘zakat harta’ mengikut pendapat yang paling kuat.

DALIL KEWAJIPAN ZAKAT FITRAH

عن ابن عمر قال فرض رسول الله صلى الله عليه وسلم زكاة الفطر من رمضان على الناس صاعا من تمر أو صاعا من شعير على كل حر أو عبد ذكر أو أنثى صغير أو كبير من المسلم .

رواه البخارى و مسلم

وفى البخارى ..........وكان يعطون قبل الفجر

Daripada Ibnu Umar yang berkata, Rasulullah SAW memfardhukan zakat fitrah Ramadhan ke atas umat (iaitu dengan mengeluarkan) segantang tamar ataupun segantang gandum. Ia wajib ke atas semua yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, muda atau tua dari kalangan muslim. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam Sohih Bukhari, (terdapat penambahan)….. mereka memberikan zakat itu sebelum terbit fajar.

Berkata jumhur Ulama’ salaf dan Khalaf bahawa maksud “فرض dalam hadis pertama tadi ialah “ ألزم أو أوجب “ . Maka zakat fitrah adalah wajib di sisi Ulama’ Salaf dan Khalaf iaitu ia termasuk dalam pengertian umum bagi firman Allah : وآتوا الزكاة .

Menurut Ibnu Munzir, kewajipan zakat fitrah adalah pendapat ijma’ (sepakat ulama’). Walaupun ada Ulama’ yang menyatakan bahawa zakat fitrah adalah sunat mu’akkad (yang dituntut) tetapi pendapat ini dikatakan oleh Imam Nawawi sebagai pendapat yang syaz atau mungkar.

KE ATAS SIAPA DIWAJIBKAN ZAKAT FITRAH?

Daripada hadis yang disebutkan tadi jelas kepada kita bahawa zakat fitrah wajib bagi setiap individu muslim samada merdeka atau hamba, lelaki atau wanita, besar atau kecil, miskin atau kaya, orang bandar atau pedalaman (kampung). Pendapat ini merupakan pendapat jumhur Ulama’.

Sabda Nabi saw :

أدّوا صاعا من قمح أو بر عن كل اثنين صغير أو كبير ذكر أو أنثى حر أو مملوك غني أو فقير أما غنيكم فيزكيه الله وأما فقير فيرد الله عليه أكثر مما يعطي .........أخرجه أحمد و البيهقي

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa wajib ke atas orang faqir sepertimana ia wajib ke atas orang kaya. Miskin atau kaya tidak menjadi syarat dalam kewajipan mengeluarkan zakat fitrah. Ini adalah pendapat jumhur. Adapun Imam Abu Hanifah beliau mensyaratkan nisab. Jadi orang faqir yang tidak memiliki nisab tidak diwajibkan zakat fitrah ke atasnya.

Zakat fitrah yang wajib dikeluarkan meliputi untuk dirinya sendiri dan juga orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya seperti anak atau khadamnya melainkan sekiranya orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya itu adalah kafir.

Adapun Az-Zuhri, Rabi’ah dan Al-Laith menyatakan bahawa zakat fitrah dikhususkan kewajipannya kepada orang bandar sahaja dan tidak diwajibkan ke atas orang pedalaman (البادية). Pendapat ini ditolak kerana ia bertentangan dengan hadis tadi. Pendapat yang benar ialah pendapat jumhur.


ditulis oleh : Ustaz Ahmad Adnan Fadzil http://ilmudanulamak.blogspot.com/

1 comment:

muhaidir said...

berzakat lah, sesungguhnya dalam zakat ada keberkatan..syukran atas perkongsian