Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

04 June, 2009

Apakah hukum memelihara burung di dalam sangkar?

Sebahagian spesis burung mempunyai kecantikan dan keunikannya yang tersendiri sama ada dari segi warna, suara atau kicauannya dan sebagainya. Kecantikan itu pula adalah sesuatu yang disukai oleh setiap jiwa manusia dan ia termasuk nikmat Allah yang wajib disyukuri. Allah SWT berfirman,

قل من حرم زينة الله التي أخرج لعباده والطيبات من الرزق (الأعراف: 32)

“Katakanlah (wahai Muhammad), “Siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?”

والخيل والبغال والحمير لتركبوها وزينة (النحل: 8)

“Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan”

Apabila perhiasan yang Allah SWT jadikan seperti haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta lain-lainnya untuk kegunaan hamba-hambaNya sebagai sesuatu yang harus dan tidak haram, maka begitu juga dengan perbuatan ‘menghiasi’ tidaklah dilarang dalam semua keadaan. Sekiranya terlarang ketika adanya unsur-unsur berlagak sombong, bermegah-megah atau melampau-lampau, maka ia tidak terlarang sekiranya perbuatan menghiasi itu tidak dicemari dengan sifat-sifat tadi.

Dalam Tafsir Qurtubi jilid ketujuh ada dinyatakan, “Tidak semua perkara yang disukai oleh hawa nafsu itu dicela, dan bukan semua perkara yang manusia jadikannya sebagai perhiasan dihukumkan makruh. Sebaliknya yang dilarang adalah sesuatu yang memang telah terang ditegah oleh syarak ataupun perhiasan itu dengan tujuan menunjuk-nunjuk”

Sememangnya setiap individu itu suka dipandang cantik dan ia bukanlah sesuatu yang dicela. Oleh sebab itu, seseorang itu akan menyikat rambutnya, melihat diri sendiri di depan cermin, memakai pakaian yang cantik dan sebagainya yang mana ianya tidaklah diharamkan ataupun dikutuk oleh agama.

Makhul telah meriwayatkan daripada Aishah yang berkata, “Ada beberapa orang sahabat Rasulullah SAW menunggu baginda di pintu (rumah). Lalu baginda keluar untuk menemui mereka. Dalam rumah (nabi) terdapat satu cawan / koleh yang berisi air. Melalui (bayang-bayang) di air itu, baginda melihat (dirinya) dan merapikan janggut serta rambutnya. Lalu saya bertanya, “Wahai Rasulullah, tuan pun buat begini?” Baginda menjawab, “Ya. Apabila seorang lelaki hendak keluar bertemu saudara-saudaranya, hendaklah dia menyediakan (mengemaskan) dirinya. Sesungguhnya Allah Maha Cantik (dan) sukakan kecantikan”

Dalam Sohih Muslim daripada Ibni Mas’ud daripada Nabi SAW bersabda, “Tidak akan masuk syurga barangsiapa yang di dalam hatinya terdapat seberat zarah dari sifat bongkak” Lalu seorang lelaki pun bertanya, “Sesungguhnya lelaki ini suka jika bajunya cantik dan selipar/ sepatunya juga cantik (serba hebat)” Nabi menjawab, “Sesungguhnya Allah Maha Cantik, sukakan kecantikan. Bongkak itu adalah mengingkari sesuatu yang hak (kebenaran) dan menghina manusia”

Pendahuluan ini menerangkan tentang asal perhiasan yang mana ianya dihalalkan. Islam tidak pernah mengabaikan fitrah manusia ini, malahan memberikan garis panduannya.

Perbuatan merekacipta perhiasan, menggunakannya dan meniagakannya adalah sesuatu yang harus. Di antara perkara yang termasuk kategori perhiasan adalah sebahagian spesis burung dan ikan-ikan. Maka harus menyimpan dan menjualnya selagi mana masih dalam batasan syarak dengan syarat-syarat tertentu. Antara syarat-syarat tersebut ialah:

1) Tidak bertujuan berbangga-bangga, sombong dan menunjuk-nunjuk, sepertimana kebiasaan golongan yang sering melakukan kezaliman. Amalan dan tindakan itu diukur berdasarkan niatnya.

2) Perbuatan berhibur, berseronok, dan terlalu menumpukan perhatian kepada hal perhiasan tadi jangan sampai melalaikan daripada kewajipan-kewajipannya asalnya.

3) Tidak boleh cuai dan leka dalam hal memberikan makanan kepada binatang-binatang yang dipelihara itu. Terdapat sebuah hadith yang menerangkan tentang azab Allah ke atas seorang wanita yang mengurung seekor kucing tanpa memberikan makanan dan minuman kepadanya.

Di dalam Sohih Bukhari dan Muslim daripada Anas r.a berkata, “Rasulullah SAW adalah manusia yang paling elok akhlaknya. Saya mempunyai seorang adik yang dipanggil ‘Umair. (suatu hari) Rasulullah SAW mendatangi kami dan bertanya, “Wahai Abu ‘Umair, apa yang sedang dilakukan oleh Nughair?”

Nughair @ Nughar adalah sejenis burung dan mempunyai paruh berwarna merah. Penduduk Madinah menamakannya burung Bulbul.

Al-Dumairi dalam kitabnya “Hayatul hayawan al-kubro”, berpendapat melalui hadis ini terdapat dalil harusnya kanak-kanak bermain dengan burung yang kecil.

Al-‘allamah Abu al-Abbas al-Qurtubi pula berkata, “Akan tetapi yang ulama’ haruskan adalah menangkap, menjaga dan berhibur dengannya. Manakala perbuatan menyeksa dan mengabaikannya pula tidak boleh kerana Nabi SAW menegah perbuatan menyeksa haiwan kecuali untuk dijadikan sebagai makanan”

Ibnu ‘Aqil al-Hanbali pula melarang perbuatan menangkap dan memelihara binatang seperti ini. Menurutnya ia adalah sesuatu tindakan yang bodoh dan menyeksa binatang. Sandarannya adalah berdasarkan kata-kata Abu Darda’ r.a, “Akan datang burung-burung itu pada hari Kiamat nanti dengan bergantung pada hamba Allah yang mengurungnya di dalam sangkar seterusnya menyebabkan ia terhalang daripada mencari rezekinya sendiri. Burung itu akan berkata, “Wahai Tuhanku, orang ini telah menyeksa aku ketika di dunia”

Jawapan: Hal ini hanya merujuk kepada mereka yang tidak memberi makanan dan minuman kepada peliharaan tadi.

Kesimpulannya, harus memelihara binatang seperti burung dengan tujuan perhiasan dan dijaga dengan sebaiknya serta tidak mengabaikannya. Sebahagian ulama’ yang memakruhkan perbuatan ini adalah berpunca dari sikap yang tidak acuh terhadap peliharaannya dan menyakitinya. Makruh di sini tidak bermakna haram kerana haram adalah maksiat yang akan dikenakan azab. Sedangkan makruh bukannya maksiat dan tidak akan diazab.

Hukum ini turut meliputi ikan-ikan yang disimpan di akuarium ataupun kolam. Begitu juga binatang-binatang lain yang disimpan di dalam zoo.

wAllahu a’lam

Rujukan: Kitab al-fatawa min ahsan al-kalam fi al-fatawa wa al-ahkam

Fadhilat al-syeikh ‘Atiyyah Saqr

Juzuk/jilid kedua