Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

14 March, 2009

Syeikh Muhammad Abduh

Syeikh Muhammad Abduh adalah seorang ulama’ yang disegani dan tokoh yang perlu dicontohi. Beliau telah mengorbankan seluruh kehidupannya untuk Islam yang tercinta. Nama Syeikh MUHAMMAD ABDUH, diambil sempena kasih sayang dan ingatan kepada Rasulullah SAW apabila nama tersebut dilengkapkan dengan nama bapanya, bertujuan untuk mendapat keberkatan daripada Nabi Muhammad SAW.

Dilahirkan pada tahun 1265H bersamaan 1849M di kampung Mahalat Nasr, Yuhareen, Mesir. Bapanya bernama Abduh bin Hussain Khairullah, berketurunan Turki. Ibunya pula dikatakan keturunan Saidina Umar al-Khattab. Syeikh Abduh berasal daripada keluarga yang sederhana dan tinggal serumah dengan bilangan ahli keluarga yang ramai.

Semasa kecil, Syeikh Abduh juga seperti kanak-kanak lain menerima didikan daripada bapanya sendiri dan seringkali didatangi oleh guru dari luar daerah dengan tujuan memberi didikan agama. Kepintaran yang Allah kurniakan kepadanya, membolehkan beliau menguasai hafazan Al-Quran sebelum usianya mencecah 12 tahun. Selain daripada itu, Syeikh Abduh pernah bertalaqqi Al-Quran di “Masjid Ahmadi” yang terletak tidak jauh dari kampungnya.

Setelah tamat pengajian di sini, Syeikh Abduh melanjutkan pembelajarannya di sebuah ma’had perguruan agama. Sebaik sahaja selesai pengajian di ma’had itu , beliau telah memasuki Universiti Al-Azhar. Oleh kerana tidak biasa dengan sistem pendidikan yang ada , beliau telah kembali ke kampung dan menjadi seorang petani. Tindakannya ini tidak direstui bapanya kerana mengharapkan agar Syeikh Abduh berjaya dalam pelajaran. Akhirnya, Syeikh Abduh telah kembali belajar semula selama empat tahun dan menamatkan kuliahnya pada tahun 1877. Selepas memperolehi ijazah, beliau menjadi pensyarah di Fakulti Darul Ulum, Universiti Kaherah dan turut mengajar di Universiti Al-Azhar atas inisiatif Perdana Menteri, Radzha Basha.

Syeikh Abduh merupakan seorang pengkritik yang sentiasa menimbulkan kontroversi kepada pemerintah. Semasa berkhidmat di universiti tempatan, beliau pernah menyatakan kepada para pelajar bahawa roh kebangsaan yang ada dalam jiwa mereka telah dicemari oleh fahaman asing. Akibatnya, minda mereka telah menjadi beku dan lemah. Pihak Universiti Al-Azhar berasa tidak senang dengan pengaruh Syeikh Abduh terhadap pelajar-pelajar universiti ini, lalu memecatnya daripada jawatan pensyarah.

Lanjutan daripada itu, Syeikh Abduh telah dibuang negara ke Lubnan dan seterusnya ke Perancis. Semasa berada dalam buangan, beliau tidak menghabiskan masanya begitu sahaja. Ketika di Lubnan, beliau telah mengajar ilmu tafsir, tauhid, mantiq, balaghah, Sirah Islam, fiqh Mazhab Hanafi dan lain-lain.

Beliau dibuang negara ke Perancis kerana dituduh terlibat dalam Pemberontakan Urubiyyah. Di sana, beliau sempat bertemu dengan Syeikh Jamaluddin Al-Afghani yang turut berada di situ. Syeikh Jamaluddin Al-Afghani telah memberi amanat kepada Syeikh Abduh agar menyemarakkan semangat jihad ke dalam jiwa masyarakat bagi membanteras fahaman kolot yang bersarang di dalam jiwa mereka dan berfikir untuk maju ke hadapan. Kedua-dua tokoh ini telah bergabung tenaga untuk menerbitkan majalah yang diberi nama ‘Al-Urwatil Wuthqa’.

Menyedari ilmu yang disampaikan oleh Syeikh Abduh adalah suatu kebenaran, pihak pemerintah Mesir telah memanggilnya pulang ke Mesir untuk berkhidmat dengan kerajaan. Beliau telah diberi tawaran memegang jawatan qadhi iaitu jawatan yang tinggi pada masa itu. Syeikh Abduh diharapkan sekadar menjawab permasalahan yang dihadapi oleh pemerintah semata-mata, akan tetapi Syeikh Abduh bersikap lebih luas iaitu berkhidmat untuk rakyat jelata. Jawatan ini telah disandang oleh beliau sehingga akhir hayatnya.

Semasa beliau melawat kota London untuk memberi ceramah yang dihadiri oleh masyarakat Inggeris, Syeikh Abduh telah menyatakan bahawa orang Inggeris sepatutnya meninggalkan Mesir kerana masyarakat Mesir amat benci kepada golongan tersebut. Menurut beliau lagi, orang Islam tidak dibenarkan memberi wala’ (taat setia) kepada non-muslim.

Selain daripada keberanian Syeikh Abduh menyampaikan ceramah dengan mengkritik sesebuah masyarakat walaupun mereka berada di hadapannya, beliau sering mengutarakan idea ‘panas’ bagi membela masyarakat Islam daripada segala penghinaan dan serangan.

Semasa hayatnya, Syeikh Abduh merupakan seorang mujaddid yang kerap memberikan sumbangan bernilai kepada masyarakat Islam sama ada semasa berada di tanahair atau sewaktu beliau dibuang ke luar negeri. Semasa berada di Syria umpamanya, beliau berkhidmat sebagai pengajar di Ma’had Perguruan Tinggi Sultaniah lebih kurang setahun. Sumbangannya yang lain ialah beliau pernah menerbitkan majalah Al-Ahram dan diberi amanah untuk mengendalikan majalah Al-Waqi’ Al-Misri.

Syeikh Abduh juga telah mengarang beberapa buah buku yang terkenal. Bukunya yang bertajuk Risalah at-Tauhid telah dijadikan sebagai buku teks di institusi pengajian tinggi Mesir serta bahan rujukan kepada pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa untuk disebarluaskan ke persada antarabangsa.

Syeikh Abduh sangat sabar tatkala menghadapi sakit sewaktu perjalanannya ke Sudan, dengan merahsiakan daripada pengetahuan sahabatnya. Tetapi penderitaan yang dialami Syeikh Abduh akhirnya diketahui oleh sahabatnya. Doktor mengesahkan bahawa beliau mengalami penyakit barah yang telah kronik. Syeikh Abduh bercadang untuk merawat penyakitnya di Eropah . Niat tersebut tidak dipersetujui oleh teman-teman Syeikh Abduh atas sebab-sebab tertentu, lalu doktor menasihatkan agar membatalkan niatnya.

Pada 11 Julai 1905 Masehi, Syeikh Abduh telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah sahabatnya, Muhammad Bek Raban di Ramel, Iskandariah, Mesir. Kehilangan Syeikh Abduh bukan sahaja dirasai oleh masyarakat Mesir tempatan, bahkan komuniti antarabangsa dengan menerima pelbagai pujian daripada penulis-penulis yang terkenal sezaman dengannya.

Syeikh Abduh telah meninggalkan satu amanat yang penting di dalam buku karangannya ‘Risalah at-Tauhid’. Ianya cukup menarik untuk dijadikan renungan bersama iaitu, “Manusia yang hidup menurut aqidahnya, akan luruslah perjalanan hidupnya”. Lantaran itu, kita perlu mengambil iktibar daripada perjalanan hidup Syeikh Abduh yang telah menghadapi pelbagai cabaran untuk mengembalikan sinar kegemilangan Islam yang kian pudar. Sifat-sifat yang dimiliki oleh beliau wajar kita sematkan dalam hati agar kita dapat terus mempertahankan Islam kini dan untuk selama-lamanya ........Insya-Allah.

No comments: