Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

01 September, 2008

MAJLIS SAMBUTAN MELIHAT ANAK BULAN RAMADHAN 1429H



حفل استطلاع رؤية هلال رمضان 1429 هـ

Majlis Sambutan Melihat Anak Bulan Ramadhan 1429H

Tanggal 30 Ogos 2008M bersamaan 30 Sya’ban 1429H, telah tercatat satu sejarah yang tidak akan saya lupakan, apabila berpeluang menghadiri program Sambutan Melihat Anak Bulan Ramadhan 1429H yang bertempat di مركز الأزهر للمؤتمرات atau Azhar Conference Centre (ACC), di Kaherah, Mesir. Apa yang menarik perhatian saya dalam program ini ialah keghairahan umat Islam di Mesir yang gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan yang sangat mulia ini.

Pengisian program ini sangat ringkas tetapi penuh makna. Apa tidaknya? Tujuan program ini sebenarnya adalah semata-mata untuk mengumumkan tarikh bermulanya puasa Ramadhan yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan Mesir, Dr. Ali Jumu’ah (jika di Malaysia, pengumuman tersebut disampaikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja). Namun ia telah dihadiri oleh ramai kenamaan seperti Syeikh Al Azhar iaitu Prof. Dr. Muhammad Sayyid Tontowi, Jemaah Menteri Republik Arab Mesir, duta-duta besar, para ulama’, wartawan-wartawan dan mahasiswa-mahasiswa Al Azhar dari luar Mesir. Perkiraan saya secara peribadi, kehadiran dalam program tersebut hampir mencecah 1000 orang.

Majlis ini telah disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen perdana Mesir pada waktu maghrib yang bermula dengan ucapan aluan pengerusi majlis. Diikuti dengan tilawah Al Quran Al Karim yang dipersembahkan oleh Al Qari Al Tobib Ahmad Ahmad Na’ina’. Kemudian terus kepada upacara pengumuman tarikh bermulanya Ramadhan dan diakhiri dengan tilawah Al Quran sekali lagi yang disampaikan oleh qari yang sama.

Majlis selesai begitu sahaja. Akan tetapi, saya melihat rata-rata daripada raut wajah jemputan yang hadir menggambarkan rasa gembira di hati mereka. Malahan ada yang saling berpelukan dan mengucapkan كل سنة وأنت طيب. Inilah di antara keindahan yang membuatkan saya semakin sayang terhadap bumi Mesir. Sungguhpun saya tidak mampu menafikan banyak peristiwa hitam yang saya telah lalui di sini, namun apabila telah menikmati suasana seperti majlis ini sedikit sebanyak telah berjaya mengubati hati dan jiwa saya.

Benarlah kata-kata Dr. Abd Aziz Hanafi (kini menjadi pensyarah di Kolej Universiti Insaniah), “Semasa saya di Mesir dulu, bagaimana ‘hodoh’ sekalipun perangai orang-orang Mesir... dengan kasarnya ... kita pula kena tipu ... tapi saya ada penawar tersendir. Guru saya berkata, “Walaubagaimana benci sekalipun kamu terhadap orang-orang Mesir, kamu kena ingat bumi ini تربتها طيبة buminya penuh berkat kerana pernah diduduki oleh para nabi dan para wali. Bahkan, hingga kini wali-wali di Mesir tidak pernah habis”

Suatu perkara yang aneh lagi di Mesir ini adalah sambutan umat Islam Mesir terhadap Bulan Ramadhan lebih meriah dan terasa berbanding Hari Raya Aidilfitri. Selain daripada masjid-masjidnya yang penuh dengan jemaah pada setiap lima waktu, fanus-fanus Ramadhan (seperti tanglong) yang berbentuk menara masjid dengan lampu yang berwarna warni digantung di sana sini. Setiap kali bersua muka, selepas memberikan salam, akan disusuli pula dengan ucapan “Ramadhan Karim” (Ramadhan itu mulia). Maka pihak yang menjawab pula akan mengucapkan “Allahu Akram” (Allah lebih mulia).

Paling menggembirakan lagi bagi pelajar-pelajar luar negara, inilah peluangnya untuk menjimatkan perbelanjaan berbuka puasa apabila Ma’idah Al Rahman mula dibuka di merata tempat. Kadang-kadang bagi mereka yang bernasib baik, ketika sedang beriktikaf dan membaca Al Quran di masjid akan menerima sumbangan daripada mereka yang pemurah.

Kebanyakan masjid pula mendirikan solat sunat tarawih lapan rakaat sahaja. Tetapi bacaannya... maklum sajalah ^_^

Di mana jua kita berada, akan kelihatanlah anggota-anggota polis yang sedang berkawal, orang ramai yang menunggu di perhentian bas, ataupun ketika berada di dalam bas, para peniaga dan lain-lain yang sedang membaca Al Quran. Saya juga pernah mendengar ‘pengakuan jujur’ daripada rakan Arab saya sendiri yang mengatakan, “Aku sebagai orang Mesir sendiri pun tidak pernah nampak suasana yang benar-benar Islamik di Mesir melainkan pada bulan Ramadhan”

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang maknanya lebih kurang, “Sekiranya kamu tahu kelebihan Bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain, nescaya kamu akan mengharapkan sepanjang tahun ini adalah Bulan Ramadhan”

Justeru itu, marilah kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izinNya dapatlah kita menikmati kembali nikmat beribadat dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini.

1 comment:

aToi aziZ said...

huh hu
suke bace pos kat cni

terase insaf gak
btw, teroskan usha murni islamicmu~~