Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

27 July, 2008

JANGAN BACA ENTRI INI !



Aik, baca juga?!


Biasalah, beginilah perangai kita sebagai manusia biasa, yang juga memegang status Muslimin awam. Memang sudah menjadi kelaziman dan tabiat, kita akan cenderung untuk melakukan perkara-perkara yang telah dilarang, terutama sekali yang diharamkan oleh agama. Keinginan kita membuak-buak untuk mendekati perkara-perkara yang ditegah. Perasaan kita ingin tahu dan menikmati sendiri sesuatu perkara yang telah diberi amaran agar kita menjauhinya. Akhirnya kebejatan akhlak terus bermaharajalela, dan kita tenggelam dalam lautan fantasi yang tidak pasti.


Anehnya, apabila disuruh dan digalakkan untuk berbuat sesuatu yang dijamin ada kebaikan dan manfaatnya, tidak pula dikejari. Perintah agama tidak begitu dipelihara. Malas, bosan, letih, mengantuk, tiada keseronokan dan pelbagai alasan lagi akan diungkapkan oleh kita.
Nampaknya hal ini sudah terpesong. Songsang. Melawan arus. Menyimpang dari landasan yang sebenar. Apakah dunia ataupun alam juga sudah terbalik?

Mengapa ya?


Mungkin disebabkan ketandusan iman kita sendiri. Boleh jadi berpunca daripada ketidakkukuhan jati diri. Tidak mustahil kerana hilang sabar dan hilang pedoman. Barangkali kerana rasa kecewa, dan patah hati, lantas pemikiran menjadi tidak waras lagi. Mungkin juga lantaran kejengkelan ilmu kita sendiri.


Rasa memberontak membara, marah hendak diletupkan, geram ingin dilepaskan, sakit hati semakin menjadi-jadi, jiwa kacau, hati tidak tenteram, percakapan juga sudah tidak keruan, macam orang sewel. Sindrom-sindrom begini barangkali adalah sebahagian daripada faktor utama mengapa seseorang individu itu akan melakukan perbuatan-perbuatan yang dicegah oleh agama.

Saya membuat kesimpulan mudah, punca kita melakukan dan mendekati pantang-larang agama ini adalah kerana penyakit-penyakit dalaman yang telah bersarang lama di dalam hati. Dosa dan maksiat sudah meracuni hatinya. Sebenarnya individu yang menghidapi penyakit ini, dahagakan pentarbiahan.

Ubatnya? Cari sendiri! Ulama’ sudah ada. Para masyayikh bertebaran di bumi Allah. Ustaz dan ustazah yang ‘amilin juga ramai. Bertanyalah kepada mereka, bagaimana hendak menawarkan penyakit hati ini. Tanamkan keyakinan bahawa ulama’ adalah agen pendidik ummah, dan penyedar anak bangsa. Malangnya golongan ini hanya dipandang sebelah mata oleh kita.

Tetapi harus diingat, bahawa ubat-ubat tersebut tidak akan berkesan sekiranya kita sendiri yang tidak mahu berpantang. Tidak guna makan ubat penyakit kencing manis, sekiranya masih gemar mengambil makanan yang mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Demikian jugalah dengan resam kehidupan kita. Apalah ertinya qiyam yang kita kerjakan pada malam hari, puasa di siang hari, seandainya kawasan-kawasan black area Allah tidak kita peduli?

Benarlah kata-kata ulama’, “Ibu segala ibadat, adalah dengan meninggalkan maksiat”

4 comments:

umi_e said...

Apo nak dikato... dah itu adat manusio :D

Anonymous said...

lama tidak update blog?

Anonymous said...

Untuk kesenangan Dunia & Akhirat, berpandukanlah pada Al-Quran akan tetapi kena berhati-hati kerana takut pula digelar lagi yang bukan-bukan.

Anonymous said...

ooohhh...tidak..saya xbaca entri ini..tp setelah dibagi link saya bukak dan lihat..tapi bila lihat terbaca plak..begitulah manusia banyak alasan utk mengakui kebenaran..