Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

25 April, 2008

Perubahan

Hari ini dalam takwim ataupun kalendar Negara Mesir telah berlaku perubahan waktu jam. Ia bukanlah suatu perkara yang baru sebaliknya terjadi setiap tahun. Umum mengetahui bahawa perbezaan jam di antara Malaysia dan Mesir adalah enam jam. Dalam erti kata yang lain, Malaysia akan mendahului dari segi masa kerana terletak di blog timur dunia.

Kini perbezaan itu hanyalah lima jam kerana Negara Mesir telah memasuki 'era' musim panas. Di Mesir pada musim panas akan 'menikmati' dan menjalani waktu siang yang lebih lama berbanding waktu malam yang menjadi lebih singkat.

Fakta yang saya kemukakan ini memang telah diketahui ramai. Cuma motif penulisan kali ini adalah untuk mengajak diri sendiri dan para pembaca sekalian agar kita sama-sama memikirkan tentang kekuasaan Allah swt Yang Maha Berkuasa dan Maha Merancang terhadap apa sahaja. Sewajarnya kita meyakini dengan sebulat hati bahawa sepertimana Allah boleh menjadikan waktu siang lebih lama daripada malam pada musim panas dan begitu juga sebaliknya, maka Allah juga berkuasa untuk menerbitkan matahari dari sebelah barat sebagaimana Allah menerbitkannya dari sebelah timur ketika ini!

Justeru itu, sejauhmana pula kesedaran kita terhadap fenomena perubahan waktu ini? Apakah telah ada perubahan positif pada diri kita ataupun bagaimana? Bagaimana dengan jadual waktu harian kita? (Kalau ada buat jaduallah!) Kesemua soalan ini, saya tujukan kepada diri sendiri dan juga buat anda sekalian. Moga-moga ada suatu manfaat yang terhasil selepas ini.