IRELAND
“Yan, hari ni kita nak makan kat mana ye? Muna tak bawak bekal hari ni.”
“Alah, kita makan je kat kafe CSI tu. Takpe kita tak posa, so boleh lah makan”, jawab Yanti, rakan baik saya pada tengahari itu.
Selepas kuliah pathology, kami pun terus berjalan menuju ke kafe Clinical Science Institute (CSI), University College Hospital Galway. Tanpa berfikir panjang, kami terus beratur di dalam barisan mengambil makanan bersama Irish yang lain. Kami berdua memesan baked potato dan tuna yang merupakan antara speciality kafe berkenaan.
Burrpp! Alhamdulillah, kenyang. Selesai makan, kami terus pergi ke kuliah yang seterusnya yang bermula pada pukul 2 petang.
Keesokan harinya, saya dan Yanti pergi ke kuliah di CSI seperti biasa. Hari ini kami masih lagi ‘bercuti’, tidak puasa. Semasa dalam perjalanan ke CSI, kami berselisih dengan seorang kakak senior yang terkenal di kalangan adik-adik akan kealimannya. Kami senyum kepada beliau, namun beliau tidak membalas senyuman. Hairan!?
“Mungkin Kak Nor tak perasan kot”, teka hati saya.
Petang itu saya dengar berita angin di kalangan rakan-rakan, cerita pelajar Malaysia makan di khalayak ramai di CSI di siang Ramadhan! Terkejut dan takut! Ya Allah, apa kami dah buat sehingga menjadi buah mulut orang?
Petang itu saya dan Yanti pergi ke rumah Kak Nor untuk mendapatkan kepastian. Rupa-rupanya beliau sendiri sudah tahu akan khabar angin itu dan melihat sendiri dengan 2 biji mata beliau! Astaghfirullah al-’azim, patutlah Kak Nor tidak membalas senyum kami semalam.
Beliau menerangkan kepada kami bahawa betapa orang bukan Islam mudah keliru dengan tindakan kami itu. Kami juga sepatutnya lebih menghormati bulan Ramadhan dan muslim lain yang sedang berpuasa.
Dalam erti kata yang lain, selain daripada berpuasa, ada juga sesuatu yang dinamakan IMSAK. Bukan imsak 10 minit sebelum subuh tu, tapi imsak bermaksud menahan diri dari makan dan minum secara terbuka di khalayak ramai, di depan ahli keluarga, atau mungkin juga di depan anak-anak… kerana hormatkan bulan puasa.
Yang ini, boleh jadi ramai terlepas pandang. Atau memang tak tahu langsung.
Sejak hari itu, kami insaf. Kami tidak lagi makan di khalayak ramai di siang Ramadhan walaupun tatkala uzur.
DI MALAYSIA
Di Malaysia, senario ini sepatutnya susah berlaku walaupun saya pernah melihat ramai orang Islam termasuk lelaki Muslim makan secara terang-terangan di dalam gerabak cafe keretapi mel biasa di siang Ramadhan suatu ketika dahulu. Atau mungkin sahaja lelaki Malaysia sengaja menggadaikan kelelakiannya hingga berperangai seperti perempuan ‘jahil’ yang makan sesuka hati di siang Ramadhan.
Di kafe tempat kerja saya, ada juga kejadian yang disebut-sebut mengatakan beberapa kakitangan selamba sahaja makan di siang Ramadhan. Kalau kerana tidak berilmu, susah juga memikirkan macam mana nak sampaikan ilmu kepada mereka ini. Kalau selamba, kesianlah diri mereka menanggung akibatnya.
Saya rasa, konsep IMSAK yang perlu dihayati oleh orang perempuan ini penting. Sebab, walaupun kita tak puasa, makan dan minum, tapi sebab kena elakkan diri dari melakukannya secara terbuka, maka proses mengawal diri itu masih berlaku. Tercapailah maksud taqwa, kan?
Kita kena faham, Allah bagi rukhsah kepada orang perempuan yang uzur bahawa mereka boleh makan dan minum, hanyalah sebab nak tampung keperluan badan yang sedang lemah, dan bukannya memberhentikan proses membina ketaqwaan diri.
UMMUSAIF.COM http://drmuna.wordpress.com/
56000 Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment