Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

13 January, 2011

Istidraj (2)

Cara Untuk Menentukan Nikmat Yang Diredhai Allah

Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu. Adakah pemberian itu diredhai Allah atau tidak? Caranya ialah hendaklah dia sentiasa mengkaji dengan teliti nikmat yang diterimanya itu dan bagaimana serta ke mana digunakannya?

Seseorang yang menerima segala nikmat itu akan terus mensyukuri Allah. Dia akan menggunakan pemberian itu ke jalan kebaikan dan selain dari itu, dia sentiasa redha mengabdikan dirinya kepada Allah. Maka dengan limpah kurnia yang diperolehinya itu adalah pemberian yang diredhai Allah.

Pemberian yang diredhai Allah akan membuatkan seseorang itu ikhlas apabila bersedekah. Apabila dia melihat orang membawa list derma, dia lantas memanggil orang tersebut walaupun dia hanya ada wang 50 sen ketika itu. “Ini sedekah saya. Maaflah, hanya 50 sen.” Katanya.

Akan tetapi pemberian yang tidak diredhai Allah akan membuatkan orang yang menerimanya enggan bersedekah atau berbuat kebajikan dengan ikhlas. Dia ada wang RM500.00 dalam sakunya. Ketika orang minta derma dia menyatakan dia tiada wang. Maknanya wang yang ada dalam sakunya adalah wang istidraj !!

Pada ketika setelah itu, lalu seorang gadis cantik yang menjual tiket “pertunjukan amal”. Belum pun sempat gadis itu menawarkannya, dia pula yang memanggilnya terlebih dahulu. Dia pun membeli tiket untuk pertunjukan amal itu.

Pertunjukan amal? Ini juga satu kekeliruan bagi kita. Kita sering tertipu dengan label “amal” ini. Kadang-kadang pada waktu Maghrib, lalu sebuah van yang riuh rendah dengan muzik dan memberi pengumuman. “Tuan-tuan, silalah datang ke taman hiburan, kita akan mengadakan pertunjukan amal.” Ada ibu bapa yang terpengaruh lalu pergi dengan membawa keluarga. Pasal pertunjukan amal, dia ingat dapat pahala.

Inilah cakap-cakap yang mesti kita jaga. Begitu juga dengan orang yang bersyarah. Kita mesti tengok betul gerak-geri orang yang bersyarah tersebut. Ke mana pensyarah tersebut hendak membawa kita. Sebab kadang-kadang banyak kekeliruan dalam syarahan-syarahannya.

Ada pensyarah yang berkata, “Kita sekarang hendaklah sesuaikan Islam dengan zaman.” Nampak jelas di sini otak kita hendak dikelirukannya. Hendaklah kita sedar, Islam itu tidak boleh disesuaikan dengan zaman, tetapi zaman itulah yang mesti disesuaikan dengan Islam.

Kalaulah Islam hendak disesuaikan dengan zaman, maka zaman orang bertelanjang Islam sesuai dengan orang yang bertelanjang, zaman orang merompak, Islam mesti sesuai dengan perompak. Tidak boleh Islam disesuaikan dengan zaman. Islam tidak boleh tunduk kepada zaman, tetapi zaman itulah yang mesti tunduk dengan Islam.

Tidak berapa lama dahulu, saya berjumpa dengan seorang ulama’. Ditanya tentang loteri, dia kata haram. Habis, bagaimana kalau kita hendak membantu orang, macam loteri kebajikan? “Halal.” Katanya.

Loteri haram, dibalut dengan label kebajikan jadi halal. Inilah cakap-cakap yang mengelirukan kita. Kiranya di samping seseorang yang menerima segala nikmat Allah, maka bertambah pula maksiat dan derhakanya kepada Allah, maka jelaslah segala kemudahan dan kemewahan yang diperolehinya itu adalah istidraj, iaitu pemberian nikmat yang tidak diredhai Allah S.W.T.

Namun, jangan pula apabila ada orang kaya datang ke masjid dengan kereta besar kita katakan istidraj. Orang naik pangkat istidraj, orang-orang besar istidraj. Jangan! Orang-orang yang menggunakan nikmatnya untuk kebajikan, untukmengabdikan dirinya kepada Allah, itu bukan istidraj namanya.

Bukan bermakna kita tidak boleh kaya. Kaya tidak salah di sisi Islam, tetapi masuk ke syurga agak lambat sedikit. Ibarat orang dari Singapura hendak masuk ke Johor. Orang yang membawa barang yang banyak akan diperiksa oleh kastam. Makin banyak barangnya, makin lama pemeriksaan, makin lambat dia masuk ke Johor. Orang yang tidak membawa barang akan lepas dengan mudah memasuki Johor.

Inilah yang sangat-sangat kita takuti dalam hidup ini dan kehidupan kita di dunia ini. Sebab itulah umat Islam di zaman Rasulullah S.A.W. sentiasa merintih di hati sanubari sambil berkata,

RedhaMu yang selalu kami rindukan, Dan marahMu yang sangat kami takuti, Tuhan … Lebih baik kami hidup miskin … … asal dalam redhaMu, kami tak ingin kepada kekayaan … … di dalam marahMu.(gambar sekadar hiasan)

Inilah sajak yang penuh makna. Apakah maknanya? Hidup kita di dunia mesti ada terget, mesti ada pedoman. Jangan hidup kita seperti kumbang di tengah kolam, ditiup angin ke tepi ia ke tepi, ditiup ke tengah ia ke tengah. Tidak ada pegangan langsung.

Kita kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada terget atau matlamat atau tujuan. Tujuan hidup kita di dunia ialah mencari keredhaan Allah S.W.T., baru kita selamat. Bukan kaya yang kita cari dan bukan juga miskin yang kita cari!

Kalau target kita hanya untuk kaya, akan jahanamlah diri kita. Jika ada kesempatan untuk kaya, kita lihat dulu. Kalau ada keredhaan Allah, barulah kita ambil. Kalau tidak lebih baik kita miskin. Bukan tujuan kita untuk menjadi miskin, tetapi hendak mencari keredhaan Allah. Kalau hidup miskin ada keredhaan Allah, maka kita pilih miskin. Kalau mahu menjadi kaya dengan keredhaan Allah, katakan aku tidak mahu kekayaan tanpa keredhaanMu.

Bila hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita di dunia dan di akhirat. Wallahu A’lam.

(Dipetik dari buku Siri Syarahan Ustaz Yazid Jaafar)

Penyampai,
241200

No comments: