Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

11 March, 2009

Rasulullah SAW ziarah saya? (2)

Sambungan....

Di tempat kerja

Bagaimana pula seandainya baginda datang ke tempat kerja saya?
Apakah yang akan saya perkatakan kepada Rasulullah SAW, ketika baginda melihat saya bekerja sambil lewa? Apakah yang patut saya beritahu kepadanya, walhal baginda pernah bersabda, “Sesungguhnya Allah menyayangi seseorang daripada kamu yang apabila dia melakukan sesuatu pekerjaan, dia akan menghalusinya (bersungguh-sungguh)”?
Bagaimanakah saya hendak mengkhabarkan kepada baginda, tatkala menyaksikan rasuah-rasuah diberikan dengan mudah sahaja demi menyelesaikan pelbagai urusan, dan ia pula dinamakan dengan istilah lain seperti pemberian atau hadiah?
Bagaimana saya hendak menjawabnya, sedangkan baginda ada bersabda, “Allah melaknat orang yang memberi rasuah, menerima rasuah dan ....(siapa-siapa jua yang ada kaitan dengan rasuah)”
Apakah yang akan saya katakan kepada Nabi SAW, sewaktu baginda nampak penipuan dalam urusan jual beli? Sabda baginda, “Barangsiapa yang menipu kami, maka dia bukan sebahagian daripada kami.”

Di jalan raya

Apakah yang akan terjadi kalau Nabi SAW berjalan-jalan bersama-sama saya di jalan raya? Apakah baginda akan senang hati bilamana mendengar setiap hari jutaan ungkapan-ungkapan kesat yang ‘mengotori’ telinga orang-orang yang solih?
Adakah Rasulullah SAW akan redha dengan golongan wanita kita yang berjalan tanpa mengenakan tudung, sebaliknya memakai pakaian yang boleh menimbulkan fitnah terhadap para pemuda?
Adakah Rasulullah SAW akan menganggap para pemudi yang ‘kuat berhias’ ini sebagai umatnya? Adakah baginda akan berkata, “Ini cucu-cicit Khadijah, Aisyah dan Asma’ ”?
Adakah Rasulullah SAW akan gembira ketika melihat masjid-masjid kesepian?
Redhakah baginda apabila mendapati minuman-minuman arak dan juga acara tari-menari berleluasa di dalam ‘negara Islam’?
Redhakah baginda apabila melihat anak-anak muda melepak di tepi jalan untuk mengusik anak-anak gadis?

Keadaan-keadaan umat

Bagaimanakah jawapan saya sekiranya Rasulullah SAW bertanya tentang keadaan umat Islam pada hari ini? Apakah saya akan berdusta dengan mengatakan bahawasanya umat Islam berada dalam keadaan yang baik ataupun saya berasa berani untuk memberitahu baginda SAW tentang keadaan kita yang berada dalam kehinaan?

Tentang al Aqsa (tempat Isra’nya Rasulullah SAW) yang telah dirogol oleh Yahudi dan mereka juga sedang berusaha untuk meruntuhkannya sekarang!
Tentang umat Islam yang terus dibunuh pagi dan petang di Iraq, Afghanistan, Checnya, Kashmir dan di mana jua!
Apakah yang akan saya perkatakan kepada baginda, sedangkan baginda pernah bersabda tentang kehormatan darah seorang muslim bahawa ia lebih besar di sisi Allah berbanding kehormatan Ka’bah?
Baginda pernah mengutuskan bala tentera untuk memerangi Yahudi selepas mereka membunuh seorang muslim dan mencabul maruah seorang muslimah. Rasulullah SAW telah menuntut bela untuk mereka berdua. Kini, siapakah golongan yang lemah di semua tempat?
Kalaulah saya ceritakan kepada Rasulullah SAW dengan kesemua keadaan ini... :-(

Renungkanlah tatkala baginda bertanya kepada saya, “Apa yang telah engkau lakukan untuk membantu saudara-saudara Islammu? Tidakkah engkau pernah mendengar sabdaku, “Barangsiapa yang tidak mengambil berat dengan keadaan umat Islam, maka dia bukanlah sebahagian daripada mereka”?
Adakah saya mempunyai jawapan untuk soalan manusia agung ini? Selawat dan salam ke atas baginda.
Sekiranya Rasulullah SAW meminta separuh daripada harta saya untuk baginda gunakannya pada jalan dakwah dan jihad fi sabilillah, adakah saya akan segera menyahut permintaannya sepertimana yang dilakukan oleh Umar al Khattab ataupun saya akan berikan kepada baginda kesemua harta saya sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Bakar al Siddiq r.huma ataupun saya akan ragu-ragu, bakhil dan mengemukakan alasan?

Bayangkanlah betapa marahnya Rasulullah SAW, saat melihat kerajaan negara-negara umat Islam melaksanakan pemerintahan tanpa mengikut syariat Allah sepertimana yang telah diajarkan oleh baginda!
Gambarkan bagaimana perasaan nabi apabila baginda hanya mendengar hal-hal agama di masjid, dan langsung tiada jalan masuk hal-hal politik, ataupun ekonomi, mahupun perkara-perkara berkenaan kerajaan! Sedangkan Islam itu ‘Deen wa Daulah’ (agama dan negara).
Adakah baginda akan redha dengan semua ini, walhal baginda adalah ketua dan pemerintah kerajaan Islam yang pertama? Gembirakah Rasulullah SAW melihat lembiknya umat Islam berhadapan dengan kezaliman dan kerosakan? Sabda baginda, “Sebaik-baik jihad adalah berkata benar di hadapan raja yang zalim”

Para pembaca yang saya kasihi...
Adakah anda membaca luahan hati ini dengan mata sahaja ataupun anda merasainya dengan hati? Ataupun membacanya ‘sekadar lalu’?
Ataupun anda telah berfikir pada setiap perkataan itu dengan akal yang telah dikurniakan oleh Allah kepada anda?
Adakah anda menyedari bahawa anda sebenarnya tiada persediaan untuk menyambut ketibaan Nabi SAW?
Berfikirlah dan tanyalah diri sendiri. Apakah baginda akan berkata kepada kita pada hari kiamat nanti “Umatku...umatku”? Ataupun baginda akan berkata, “Renggang...renggang...jauh...jauh!”?

Saudaraku yang dikasihi...
Kalaulah Nabi Muhammad SAW yang menjadi Pesuruh Allah itu tidak memerhatikanmu, maka sesungguhnya Tuhan Nabi Muhammad sentiasa memandangmu. Walaupun Rasulullah SAW telah wafat, maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak akan mati.
Allah tidak redha dengan apa yang telah saya nyatakan sebentar tadi. Begitulah juga dengan RasulNya SAW. Maka perkara pertama yang mesti lakukan adalah segera bertaubat. Mohon keampunan daripada Yang Maha Pengampun. Ketahuilah, bahawa Allah SWT ‘menghamparkan tanganNya’ pada waktu malam untuk mengampunkan orang-orang yang melakukan kesalahan pada waktu siang, dan menghamparkan tanganNya pada waktu siang, untuk mengampunkan orang-orang yang berbuat dosa pada waktu malam, sehinggalah terbit matahari dari sebelah barat.

Saya sepatutnya tahu bahawasanya mencintai Rasulullah SAW, bukanlah sekadar dengan kata-kata, sebaliknya dengan perbuatan. Mencintai Rasulullah SAW adalah dengan berpegang pada syariatnya samada secara terang-terangan, mahupun dengan sembunyi. Seterusnya menghidupkan sunnahnya serta menanamkan rasa cinta yang mendalam di dalam hati, kata-kata dan juga fikiran.

Saya harus memperbanyakkan selawat ke atas baginda SAW.

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku kerana aku hanya pandai menulis tetapi praktikalnya masih kurang.

2 comments:

Anonymous said...

alhamdulillah..saya tersentuh dengan artikel ini.rasa sgt hina dan berdosa, selama ini sering lalai dan leka.aku d perhatikan Allah rupanya..jazakalllah

Anonymous said...

jazakallah.. amin ya rabb..