Hadith yang keempat daripada 42 buah hadith dalam koleksi Al-Arba’in An-Nawawiyyah, ada menyebut tentang ada segolongan umat Nabi Muhammad SAW yang rajin menunaikan ibadah dan kelihatan seolah-olah jarak di antara dirinya dengan syurga hanyalah tinggal sehasta, namun di akhir hayatnya lain pula yang terjadi apabila dia melakukan onar lantas maut pula menjemputnya secara tiba-tiba. Maka nerakalah tempat kembalinya.
Begitu juga dengan sebaliknya, apabila sebahagian lagi tampak sering melakukan amalan ahli neraka, akan tetapi di kesudahannya, ketentuan Allah memintasnya dengan memberikan kesedaran kepadanya lalu dia kembali kepada Allah dalam keadaan bahagia di dalam syurga.
Saya bingung apabila memikirkan tentang isi kandungan hadith ini. Apakah Allah itu tidak adil? Astaghfirullah al-‘Azhim. Bukan itu yang saya maksudkan.
Saya risau tatkala mengenangkan diri yang tidak istiqamah dalam melaksanakan amal ibadat buat bekalan untuk Hari Akhirat sana (sekadar risau saja, tapi masih tak buat apa-apa pun). Bayangkanlah ketika ‘tiba’ masa kita terleka, kerana kita tidak konsisten dengan kebaikan, ketika itu rupanya Malaikat Izrael datang mencabut nyawa kita. Sedangkan masa kita ‘nak jadi baik sikit’ itu, tidak bertahan lama. Sekejap sahaja. Entah ikhlas atau tidak, Allah sahaja yang tahu. Apa lagi yang ada?
Amalan tiada. Taubat kurang @ malas. Kesalahan dan dosa berjela-jela. Baca Al-Quran malas, apatah lagi hendak menghafalnya. Jauh sekali hendak mengamalkannya. Berzikir – penat mulut. Tapi mengumpat, hobi. Solat lima waktu, tidak tepat pada waktunya. Hendak pergi berjemaah di masjid ataupun surau, terasa macam jauh pulak. Mengulangkaji pelajaran, bosan. Dekat nak peperiksaan, ‘baru mau berabis’. Nak puasa sunat Isnin dan Khamis? Aisey, sekarang musim sejuk semakin beransur, siang pun makin panjang. Oh alangkah robeknya kehidupan begini. Apa lagi yang ada? Begini hendak masuk syurga?
Pendek cerita, saya melihat hadith ini, barangkali maksud yang tersiratnya adalah; jangan mudah menghukum dan menilai orang lain melalui perilaku luaran, penampilan, tindak-tanduk dan kata-katanya sahaja. Tidak dilupakan juga, TULISANNYA. Ini kerana, di dalam hatinya, atau di belakang, kita tidak tahu bagaimana orangnya. Hanya Allah sahaja yang tahu siapa dia dan siapa kita. Kita sendiri bukannya baik sangat.
Kita sangka dia baik dan tersohor dengan budi pekerti yang tinggi, tetapi di sebalik ‘topeng baiknya’ itu ada rahsia yang tersembunyi. Namun, kita tidak disuruh untuk mencari rahsianya, sebaliknya kita pula yang harus mengkoreksi dan memperbaiki rahsia kita juga. Setiap orang ada kesilapan tersendiri dan itulah rahsia kita. Sungguhpun dia berkemungkinan memakai ‘topeng’, sekurang-kurangnya dia malu untuk melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan maruahnya. Sebab itulah, Nabi kata, “Malu itu sebahagian daripada iman”.
Hal yang sama, bagi mereka yang kita pandang jelek dan jahat ataupun bahasa sopannya ‘kurang baik’. Tak kan kita tidak pernah dengar cerita seorang hamba Allah yang telah membunuh 100 orang lalu dia BERAZAM untuk bertaubat (belum bertaubat lagi !). Ketika di tengah-tengah perjalanan ke tempat baru dalam usahanya untuk bertaubat, nyawanya berakhir. Apabila malaikat mengukur jarak tempat ‘samsengnya’ dengan tempat ‘baiknya’, ternyata destinasinya sudah sampai hanya dengan jarak sejengkal sahaja. Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani dengan menobatkannya sebagai ahli syurga. Saya ... Kita, apa cerita?
Jangan salah faham! Tidak wajar kita menjadikan hadith ini sebagai ‘lesen hitam’ untuk membolehkan kita terus melakukan kemungkaran, kononnya manalah tahu hujung-hujung nanti ketentuan yang baik menyebelahi kita. ‘Maklumlah, hero kan selalu menang last minute?’ Bukan itu caranya. Sebaliknya kemungkaran dan kebatilan itulah yang sepatutnya kita perangi dengan bersungguh-sungguh.
Peringatan untuk diri sendiri; tiada siapa yang menikmati kebahagiaan hakiki semasa aktif dengan kebatilan dan kebobrokan kerana hatinya sendiri tidak bahagia. Tidak bahagia maksudnya jiwa terhimpit. Sifirnya mudah sahaja, luas mana pun dunia ini, ia akan menyempit apabila jiwa kita terhimpit.
Kali ini, saya cuma bagi skru-skru dan perkakasnya. Anda pasanglah sendiri.
1 comment:
Hanya Ingin Mengingatkan ... Kubur Setiap Hari Menyeru Manusia Sebanyak Lima (5) Kali .... 1. Aku rumah yang terpencil,maka kamu akan senang dengan selalu membaca Al-Quran. 2. Aku rumah yang gelap,maka terangilah aku dengan selalu solat malam. 3. Aku rumah penuh dengan tanah dan debu,bawalah amal soleh yang menjadi hamparan. 4. Aku rumah ular berbisa,maka bawalah amalan Bismillah sebagai penawar 5. Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nakir,maka banyaklah bacaan "Laa ilahaillallah, Muhammadar Rasulullah", supaya kamu dapat jawapan kepadanya. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: Ada 3 di pandang sebagai ibu ", iaitu : 1. Ibu dari segala UBAT adalah SEDIKIT MAKAN . 2. Ibu dari segala ADAB adalah SEDIKIT BERBICARA. 3. Ibu dari segala IBADAT adalah TAKUT BUAT DOSA
Post a Comment