Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

05 March, 2009

Mencintai Rasulullah SAW

Telah tercatat dalam lipatan sejarah, pada 1474 tahun yang lalu, di Tanah Hijaz yang penuh barakah, Allah swt telah menentukan kelahiran seorang manusia yang akan membawa perubahan kepada seluruh alam. Perubahan yang mengajak manusia menyembah Allah swt dan meninggalkan tabiat menyembah berhala-berhala, api, pokok-pokok besar, matahari, bulan, bintang-bintang dan sebagainya.


Manusia yang dimaksudkan di sini tidak lain dan tidak bukan ialah Muhammad Bin Abdullah s.a.w selaku nabi dan rasul yang paling bongsu.
Dengan kelahiran hamba Allah ini, maka telah datanglah pertolongan dariNya iaitu menyelamatkan manusia daripada kegelapan dan menuju kepada Nur Ilahi. Firman Allah swt yang bermaksud: "Dan tidak Kami utuskanmu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam".


Sebagai muslim lagi mukmin, sudah menjadi suatu kewajipan bagi kita untuk memanjatkan rasa syukur kepada Allah swt yang telah mengutuskan PesuruhNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar lantas disampaikan kepada umat sungguhpun dibenci oleh golongan musyrikin. Namun begitu perlu dilontarkan beberapa persoalan kepada diri kita sendiri sebagai suatu ruang untuk bermuhasabah. Sudah pasti soalan pertama yang ditanyakan ialah "Adakah kita benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w dengan sebenar-benar kecintaan?" Jika jawapannya ialah "Ya", maka apakah buktinya?


Kumpulan nasyid Hijjaz ada bermadah, "Malu rasanya mengatakan cinta kepada dia kekasih Allah kerana dia insan mulia sedangkan diriku insan biasa"


Di sini saya ingin menyenaraikan beberapa contoh tindakan yang sewajarnya kita tonjolkan demi menambah rasa kasih dan rindu kita kepada Baginda s.a.w. Pertama sekali hendaklah kita mengutamakan dan melebihkan Baginda berbanding insan-insan yang lain. Ini adalah kerana Baginda adalah Khatimul Anbiya'. Oleh sebab itu, Baginda lebih layak menerima penghormatan ini daripada mereka yang mengaku sebagai pengikutnya. Bukankah Baginda ada bersabda yang bermaksud, "Tidak sempurna keimanan kamu sehinggalah aku ini lebih dicintai olehnya berbanding (ibu) bapanya, anak-anaknya dan seluruh manusia yang lain"


Seterusnya adalah dengan memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Baginda. Allah swt telah berfirman, "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya (sentiasa) berselawat ke atas Nabi. (Oleh yang demikian) wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya"(Al-Ahzab:56). Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad Bin Abd Rahman menceritakan bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda, "Tiadalah dari kalangan kamu yang mengucapkan salam ke atasku selepas kewafatanku (nanti), melainkan Malaikat Jibril akan menemuiku dan berkata "Wahai Muhammad ini ialah si fulan bin fulan mengucapkan salam ke atasmu". Maka aku akan menjawab, "Dan ke atasnya (pula) kesejahteraan, serta rahmat Allah dan keberkatanNya" . Oleh itu, marilah kita bersama-sama memperbanyakkan selawat ke atas Baginda.


Selain daripada itu, kita juga mestilah beriman dan membenarkan segala perkhabaran yang telah disampaikan oleh Baginda melalui hadith-hadithnya yang sohih. Bagaimana mungkin kita boleh mengatakan tidak, sedangkan Baginda adalah terpelihara daripada melakukan sebarang penipuan mahupun pembohongan. Di dalam Surah An-Najm dari ayat pertama hingga keempat, Allah swt telah menegaskan, "Demi bintang semasa ia menjunam. Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai-bagai tuduhan itu), tidaklah dia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan tidak pula dia sesat (dengan kepercayaan yang salah). Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (samada Al-Quran atau Hadith) tidak lain melainkan adalah wahyu yang diwahyukan kepadanya"


Sekadar percaya sahaja tanpa diikuti dengan tindakan masih tidak mencukupi. Seorang yang beriman itu wajib menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai "role model" dan idolanya dalam menjalankan segala urusan agama dan juga keduniaan. Kehebatan Baginda s.a.w tidaklah terhad kepada urusan agama sahaja, malahan mencakupi segenap bidang dan lapangan dari sekecil-kecil atau seremeh-remeh perkara hinggalah ke besar-besarnya. Empunya Al Quran telah berfirman dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21, "Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)"


Apabila kita menghadapi sesuatu permasalahan ataupun kemusykilan, maka jalan penyelesaiannya tetap ada. Sumber rujukan yang mesti dicari di samping Al-Quran Al-Karim ialah hadith-hadith Rasulullah s.a.w. Dalam erti kata yang lain, sumber perundangan yang hendak dijalankan tidak boleh lari daripada ajaran Baginda. Apakah kita berani mengatakan terdapat sumber perundangan lain yang lebih baik daripada apa yang telah ditunjukkan oleh Islam? Renungkanlah firman Allah yang mafhumnya, "Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad), mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka tidak pula berasa di dalam hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya" (Surah An-Nisa' : 65) Bahkan daripada ayat ini, kita dapat lihat dengan jelas jika perundangan berasaskan keislaman dipraktikkan, maka manusia akan berpuas hati kerana keadilannya.


Seperkara lagi yang juga tidak kurang pentingnya ialah mengetahui sirah hidup Baginda, hak-haknya, keistimewaan-keistimewaan yang khusus buatnya dan juga tentang mukjizat-mukjizatnya s.a.w. Kesemua perkara ini mustahak untuk diketahui dan dipelajari memandangkan sejak kebelakangan ini, semakin ramai musuh-musuh Islam yang telah menunjukkan samseng mereka ke atas peribadi Rasulullah s.a.w. Lantaran daripada itu, kita akan dapat menepis kembali segala tohmahan mereka yang tidak berasas itu sekaligus mempertahankan kesucian dan kemurnian agama yang kita cintai ini.


Persoalan yang seterusnya adalah, mengapakah perlunya perasaan cinta dan kasih kepada Rasulullah s.a.w ini? Jawapannya yang paling ringkas ialah kerana mengharapkan syafaat Baginda di Akhirat sana. Pesuruh Allah ini pernah bersabda, "Barangsiapa yang mencintai diriku, maka dia akan bersamaku di dalam syurga"


Untuk akhirnya, saya ingin mengingatkan kepada diri sendiri dan juga buat para pembaca yang budiman, sebenarnya kewajipan-kewajipan dan tindakan-tindakan yang telah disenaraikan tadi terpundak di atas bahu seluruh umat Islam, namun keutamaan tetap dilihat pada golongan yang ‘specialist’ dalam bidang agama ini. Siapakah mereka? Sedarlah diri!!

1 comment:

MS Rizal said...

Sunnguh indah peribadi Rasul. Buat contoh umat seterusnya. Selawat dan salam diucapkan kepada baginda dan keluarganya.