Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

08 August, 2008

PERGAULAN BEBAS PUNCA MAKSIAT BERLELUASA

Rabu, 18 Julai 2001
Berita Harian : Agama

PERGAULAN BEBAS PUNCA MAKSIAT BERLELUASA

Soal Jawab Bersama Kamaluddin M Zin

SOALAN:

Akhir-akhir ini, jenayah di kalangan remaja semakin meningkat. Hampir setiap hari media melaporkan berita remaja termasuk pelajar sekolah terbabit dalam jenayah seks terutama kes rogol. Keadaan ini tentu membimbangkan ibu bapa khususnya yang mempunyai anak perempuan masih bersekolah. Apakah yang menyebabkan remaja berkelakuan seperti itu hingga hilang norma dan tata susila hidup? Apakah pandangan ustaz dalam hal ini dan bagaimana jalan penyelesaiannya menurut Islam?

Pak Ngah
Kampung Baru, Kuala Lumpur

JAWAPAN:

Manusia memang mempunyai nafsu dan sesetengahnya amat cenderung kepada kejahatan. Ini ditegaskan dalam al-Quran. Firman Allah bermaksud; “Sesungguhnya nafsu itu cenderung kepada kejahatan.” (Surah Yusuf ayat: 53)

Oleh yang demikian, Allah memberikan akal untuk mengimbangi tuntutan nafsu. Allah juga menghiasi diri manusia dengan keinginan nafsu kepada perempuan, anak pinak, harta benda yang banyak seperti emas dan perak, kenderaan yang canggih dan binatang ternak serta ladang. Semuanya itu kesenangan hidup di dunia.

“Tapi ingatlah di sisi Allah ada tempat kembali yang paling baik.” (Surah Aali-Imran ayat: 14 )

Dalam diri manusia, memang sentiasa ada pertarungan untuk melakukan kejahatan atau keburukan. Ini dijelaskan Rasulullah dalam hadis dari Ibnu Mas’ud yang bersabda, bermaksud: “Sesungguhnya syaitan sentiasa berbisik dalam hati manusia. Malaikat juga berbisik dalam anak Adam. Adapun bisikan syaitan itu ialah dorongan supaya melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran. Bisikan malaikat pula ialah galakan supaya orang itu mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenaran. Oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu daripada Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah. Dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi (bisikan kejahatan) maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah daripada angkara syaitan.” (Riwayat Tarmizi dan An Nasa’ie).

Menyedari hakikat ini, diri tiap insan sejak dari kecil hendaklah diasuh dengan didikan agama kerana dengan didikan agama itulah manusia dapat mengetahui nilai baik dan buruk yang mutlak. Didikan agama maksudnya mempelajari segala hukum halal haram, dosa pahala dan perkara yang berkaitan kehidupan dunia serta hidup selepas mati.

Pergaulan bebas remaja lelaki dan perempuan mungkin pada pandangan ahli pendidik dan budayawan, tidak menimbulkan apa-apa masalah, tapi daripada nilai dan kaca mata Islam, ia salah dan amat dilarang.

Ini dinyatakan Rasulullah dalam hadis daripada Ali bin Abu Talib, yang bermaksud: “Pandangan lelaki terhadap wanita (terutama yang cantik) adalah panah daripada aneka macam panah iblis yang beracun. Maka barang siapa yang menghindar daripada panah itu, maka Allah akan menggantikannya dengan ibadah yang membuatnya rasa selesa.” Riwayat Ahmad (Ibnu al Qayyim, Raudhatul Muhibbin 80)

Agama Islam memerintahkan ibubapa bersedia lebih awal agar lebih berwaspada mengenai kesan pergaulan bebas. Di dalam rumah sendiri pun anak-anak lelaki dan perempuan yang sudah baligh hendaklah dipisahkan kamar (tempat tidurnya).

Sabda Rasulullah, bermaksud: “Perintahkan anak-anak kamu menunaikan sembahyang ketika umurnya tujuh tahun dan pisahkan tempat tidurnya.”

Jelas daripada hadis ini bahawa pergaulan bebas adik-beradik pun dilarang, maka apatah lagi pergaulan bebas dengan orang lain yang halal nikahnya. Sudah tentulah ia sangat dilarang. Mengisi dada manusia dengan ilmu saja tidak mencukupi. Tanpa iman di dalam diri, mereka akan tewas dalam menghadapi pelbagai cabaran nafsu.

Ramai yang melakukan rasuah dan jenayah berat adalah kalangan mereka yang berkelulusan tinggi. Penyelewengan dalam pelbagai bidang bukanlah dilakukan oleh orang yang bodoh dan tidak bersekolah tinggi.

Ilmu semata-mata tidak menjamin seseorang itu menjadi baik. Rasulullah mengingatkan dalam sabdanya, bermaksud: “Tidak akan berzina seseorang penzina itu kalau semasa berzina dia beriman. Dan tidak akan mencuri seseorang pencuri itu kalau semasa mencuri dia beriman.” (Riwayat As Syaikhan).

Jika seseorang remaja itu benar-benar beriman, maka dia tidak akan melakukan zina. Seorang datuk yang sudah mencapai umur lebih 60 tahun tidak akan sanggup memperkosa cucunya berusia lapan tahun, kalau ia benar-benar beriman.

Namun begitu iman seseorang sentiasa terdedah kepada pelbagai ancaman. Iblis sentiasa mendorong manusia merosakkan keimanannya dengan melakukan aneka maksiat.

Firman Allah, bermaksud: “Kata Iblis, demi sesungguhnya aku akan memperelokkan pada pandangan Adam dan zuriatnya, segala jenis maksiat di dunia ini. Aku akan menyesatkan mereka semuanya.” Surah al-Hijr ayat 39.

Antara ancaman iman itu datangnya melalui bacaan dan melihat gambar dan video lucah yang sangat mudah didapati sekarang. Meninggalkan suruhan agama terutamanya sembahyang juga adalah punca iman semakin lupus dari dalam diri seseorang. Ini kerana sembahyang dapat menjamin seseorang mengelak daripada perbuatan mungkar dan keji.

Firman Allah bermaksud; “Dan dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.” (Surah al Ankabut ayat: 45)

Jadi apabila sembahyang ditinggalkan maka hilanglah perisai yang dapat mengawal diri seseorang daripada melakukan kemungkaran.

Sebagai kesimpulan, setiap orang Islam mesti sentiasa menjaga imannya di samping berusaha menyubur dan mengukuhkannya. Jika iman tidak ada atau tidak kukuh maka pelbagai maksiat sanggup dilakukannya termasuk berzina dan membunuh tanpa sebab. Wallahualam.

2 comments:

al-Balingi said...

Assalamualaikum ya ustaz,

kaifa ha luka? Bagus persoalan sebegini di bangkitkan. Alangkah indahnya jika dapat menikmati Islam dalam segenap aspek kehidupan. Tapi itu lah, pasti lah usaha murni setengah pihak akan mendapat tentangan. Paling bercelaru kekadang terdapat juga golongan yang mengaku Islam apa juga menentangnya. Sekali jika remaja dapat di didik dgn akhlak Islam.

Anonymous said...

Kita susun ikut kefahaman yang difahami dengan mudah.