Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

15 August, 2008

BAHAGI MASA UNTUK ALLAH



Sesiapa sahaja yang membaca entri ini bermakna dia sedang dan masih bernafas menikmati hidup kurniaan Allah swt kepadanya. Mari kita toleh ke belakang, ke hari semalam, minggu lalu, bulan lepas dan tahun sudah. Sudah pasti dalam pentas kehidupan ini banyak kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan samada sengaja ataupun tidak, sedar ataupun leka. Memang sudah lumrah makhluk bernama manusia akan melakukan kesilapan yang mungkin kerana terlupa. Dalam kamus Arab sendiri, kata akar bagi kalimat “insan” ialah “nasia” yang bermaksud lupa. Kita selalu terlupa bukan kerana kita Melayu! Tetapi kita terlupa kerana kita adalah insan biasa.
Namun begitu, apakah wajar kita menjadikan kejadian kita yang ‘pelupa’ ini sebagai alasan untuk kita melupakan Pencipta kita yang tidak pernah lupa? Kita lupa untuk berterima kasih kepadaNya. Kita lupa tentang azab siksaanNya bagi mereka yang sentiasa membiarkan dirinya lupa.
Lupa...lupa...lupa. Sedangkan kita yang bergelar manusia pun akan menyirap darah seandainya janji yang diungkapkan oleh sahabat kita sering berakhir dengan perkataan ‘lupa’.
Bukannya LUPA yang hendak saya bicarakan di sini. Kita ‘lupakan’ sebentar kalimat ‘lupa’ ini. Mari kita bincang tentang masa kita untuk Allah yang telah menjadikan masa itu sendiri. Kita sering kalut menyorong alasan tiada masa, tidak sempat, terlalu sibuk, tak menang tangan dan bermacam-macam helah lagi. Walhal realitinya adalah tetap ada masa kosong, cuma kita yang tidak tahu menguruskannya dengan baik. Logiknya, individu yang tidak tahu menggunakan masa itu sama seperti orang yang sudah mati.
Sibuk sangatkah kita jika hendak dibandingkan dengan Rasulullah sollAllahu ‘alaihi wa sallam yang menjadi Presiden Daulah Islamiyah pertama di dunia? Apakah kita lebih sibuk daripada Nabi Sulaiman yang mana kerajaannya mencakupi seluruh manusia, binatang-binatang termasuk juga makhluk halus yang bernama Jin?
Seorang Muslim yang beriman sudah pasti tidak akan meninggalkan solatnya, walaupun adakala solat subuh terbabas waktunya. Tetapi bukan itu sahaja, penyucian rohani dan tanggungjawab yang perlu dilakukan. Masih ada peluang untuk kita menambahkan pahala dengan cara yang paling ‘mudah tetapi susah’.
Mengapa sukar sangat tangan ini hendak memegang Mushaf Al Quran seraya membelek dan membacanya? Berat sangatkah bibir kita untuk menuturkan bait-bait huruf Al Quran itu? Akan hilangkah duit kita sekiranya kalam Allah itu disuarakan? Dalam sehari, 10 ayat pun tak sempat? Anehnya masa untuk membuka berita dan akhbar melalui internet ada pula?!
Andai dibuat perbandingan, sebenarnya masa untuk kita menikmati makanan lebih lama daripada membaca 10 ayat suci Al Quran. Inilah antara fenomena yang menghairankan dan ianya berlaku juga di kalangan penuntut agama.
Percayalah, sekiranya kita tidak ada masa untuk Allah, maka Allah juga tidak akan memberikan masanya kepada kita. Segala-galanya menjadi kelam-kabut. Bas atau teksi yang ditunggu-tunggu, lambat muncul. Jalanraya penuh sesak. Sepanjang jalan terkena lampu isyarat merah. Banyak kerja tidak menjadi dan kurang sempurna. Pegawai yang dicari, tiada di pejabatnya. Acara sesebuah majlis lambat dimulakan. Ada sahaja yang tidak kena. Kenapa?

Sebaliknya yakinlah, andai kita memberikan kesempatan untuk ‘bercakap-cakap’ dengan Allah, maka Dia akan memberikan kita banyak kesempatan. Waktu kita diluangkan. Gerak kerja kita tenang dan mudah. Hati kita bahagia. Kita bahagi masa untuk Allah, Allah juga akan bahagikan masa untuk kita. Bacalah Al Quran walau semuka, walau sepuluh ayat sahaja dalam sehari. Ia pasti akan menjadi pesona jiwa dan pengubat lara. Tidur malammu tidak akan nyenyak jika langsung tidak menyentuh Al Quran dalam sehari.

No comments: