Ramai orang Malaysia yang hendak datang ke Mesir pada mulanya menyangka negara ini masih mengekalkan gaya arab tradisi seperti berjubah dan berserban. Wanita-wanitanya pula yang berniqab, unta-unta berkeliaran di sana sini, suasana yang benar-benar Islamik... tapi apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, majoritinya terkejut. Mereka terkesima sebaik sahaja mendapati realiti itu ternyata bersalahan dan bercanggah dengan khayalan mereka sebelum ini.
Saya tidak bercadang hendak merendah-rendahkan Negara Republik Arab Mesir ini, kerana motif saya adalah hendak menunjukkan kepada anda bahawa masih terdapat banyak kemurnian dan keindahan suasana di Mesir ini yang saya kira sangat berkurangan di negara kita Malaysia.
Kemurnian yang pertama ialah saling memberikan salam dan dijawab pula dengan baik dan lebih baik. Di mana jua mereka berada, kenal atau tidak, budaya ini tetap segar di kalangan rakyat Mesir. Masuk kedai, naik kenderaan awam samada teksi ataupun bas, melintasi sekumpulan orang ramai, tumpang tanya dan dalam pelbagai situasi. Jika sudah lama tidak bersua muka dengan sahabat mereka pula (barangkali sekitar dua minggu sahaja), bukan sekadar berjabat tangan malahan mereka akan berpelukan tanda gembira yang amat. Bahkan, kedapatan orang Arab yang beragama Kristian di Mesir ini turut memberi salam kepada golongan Muslimin kerana ia sudah menjadi entiti masyarakat. Cuba bayangkan, bagaimanakah respon para penumpang apabila anda memberi salam ketika menaiki bas awam di Malaysia? Satu kenyataan yang hendak saya maklumkan tentang pemuda-pemuda Mesir ini ialah tiada budaya; “Asalamualaikum cik adik... kalau tak jawab salam berdosa”
Tidak cukup dengan itu, dipastikannya pula saf itu berada dalam keadaan yang benar-benar lurus. Mereka tidak akan mengangkat takbiratul ihram melainkan selepas yakin saf mereka tiada bengkoknya lagi. Sampaikan ketika rakaat kedua atau ketiga pun, kalau didapati orang sebelahnya ataupun sebelah orang sebelahnya tersasar, maka tangannya akan merayap menolak atau menarik yang berkenaan agar meluruskan dan membetulkan kembali kedudukannya. Pantang nenek moyang mereka, kalau ada yang ‘terpeleot’, nescaya akan ‘ditegur’. (siapa nenek moyang mereka, kalau bukan ulama’-ulama’ terdahulu). Cara meluruskan saf pula adalah dengan melihat hujung ibujari kaki, berbeza dengan kita di Malaysia yang melihat belakang tumit. Inilah kelainannya.
Seterusnya, mereka tidak kedekut untuk melaungkan kalimat “Aamiin” sebaik sahaja imam selesai membaca Surah Al Fatihah. Begitu juga ketika mengaminkan doa-doa. Tidak kira samada doa qunut, selepas solat fardhu, ketika khutbah Jumaat...janji doa. Suara mereka nyaring, kuat dan bersemangat. “Ya Allah, perkenankanlah doa kami” begitu tinggi harapan mereka terhadap Yang Maha Mendengar. Seandainya ada di kalangan kita yang beralasan tidak faham doa yang dibaca oleh imam kerana ia berbahasa Arab, soalannya adakah imam itu minta yang sesuatu yang tidak baik dan buruk? Jawapannya ialah, sudah tentu imam akan memohon yang baik-baik sahaja. Jadi apa masalahnya? Aminkan sahajalah!
Demikianlah sebahagian kecil keindahan dan kecantikan yang masih subur di Mesir, tetapi masih kemarau di Malaysia (menurut pengamatan saya). Saya pernah mendengar Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki mengatakan kepada pelajar-pelajar Malaysia di Mesir bahawa, budaya-budaya ini tidak begitu bersemi di tanahair. Maka, ianya sudah menjadi tanggungjawab bersama untuk dimasyhurkan dan dihidupkan di Malaysia.
2 comments:
negara malaysia memang dingin dari suasana islam seperti di mesir. menjadi tanggungjawab sesama muslim untuk menghidupkan suasana ini. barulah wujud perpaduan islam yang kuat dan mantap.
post ini juga best...citer psl mesir!!..sy copy dan paparkan dlm blog sy..mohon izin ust=)
Post a Comment