Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

09 June, 2008

Nasib Ketuanan Melayu



Pada tanggal 8 haribulan Jun 2008, satu Majlis Ramah Mesra dengan Dato' Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah diadakan di Hotel Sofitel, Kaherah, Mesir. Sepengetahuan saya, kedatangan beliau ke Mesir adalah untuk merasmikan bangunan MARA yang bertempat di Bandaraya Iskandariah, utara Mesir.


Saya juga menghadiri majlis tersebut dan melihat kehadiran dalam majlis itu agak sedikit dan terhad. Barangkali tidak sampai 100 orang, sepadanlah dengan saiz dewan itu juga yang kecil, memandangkan ketika ini pelajar-pelajar Malaysia di Mesir masih lagi mengalami demam peperiksaan. Peperiksaan saya pula akan bermula pada 21 haribulan 6 ini. Doakan saya.

Pada posting kali ini, sukalah saya untuk berkongsi sedikit maklumat dan fakta yang sempat saya catit daripada ucapan Dato' Menteri tersebut. Beliau memulakan ucapannya dengan memperkenalkan agensi-agensi kerajaan yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Antaranya ialah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Lembaga Pelesenan, Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), Suruhanjaya Koperasi, Perbadanan Nasional Berhad dan Yayasan Tekun iaitu sebuah yayasan yang bertanggungjawab memberikan pinjaman kewangan kepada orang Melayu tanpa penjamin dan tanpa cagaran. Selain daripada itu, Bank Rakyat, SME Bank dan Bank Pembangunan juga berada di bawah seliaan kementerian ini.

Antara isu-isu yang dibangkitkan oleh beliau dalam pertemuan singkat ini adalah tentang ketuanan Melayu yang semakin merosot dek kerana pertikaian dan ketidakpuasan hati yang ditimbulkan oleh mereka yang bukan berbangsa Melayu. Mereka sudah mula berani mempersoalkan kewujudan JAKIM dan jabatan-jabatan agama Islam di setiap negeri, meminta diadakan jawatan Menteri Agama sepertimana Kerajaan Republik Indonesia yang mana kesemua agama di dalam negara terbabit akan dipantau dan diawasi oleh menteri ini. Mereka turut meminta kebenaran untuk membina stesen radio sendiri sebagaimana kerajaan membenarkan dan mengeluarkan perbelanjaan yang besar agar terbinanya radio IKIM. Malahan mengharapkan agar paderi-paderi dan sami-sami mereka juga mempunyai ruangan tersendiri untuk 'berdakwah' melalui siaran televisyen. Kesudahannya apa? Mujurlah Kerajaan Malaysia ketika ini ditunjangi oleh orang Melayu. Maksudnya, kesemua permintaan tadi tidak ditunaikan oleh kerajaan kerana mengutamakan sensitiviti orang Melayu.

Seperkara lagi menurut beliau jika dilihat dari aspek sejarah bermula daripada abad ke 19, benua Eropah adalah blok yang terhebat dan membangun. Kemudian disusuli dengan Amerika Syarikat pada abad ke 20. Kini pada abad ke 21, benua yang semakin menonjol adalah Asia yang diungguli oleh Negara China dan India. Oleh yang demikian, kemungkinan inilah antara faktor yang membantu semangat golongan 'non-Melayu' di Malaysia ini melonjak dan membara.

Sekarang ini, mahkamah pula telah membenarkan penggunaan kalimat "Allah", "solat", "ka'bah" dan beberapa kalimat Islamik yang lain ditulis dalam terbitan-terbitan non-Muslim. Sudah pasti, ini adalah suatu gejala yang berbahaya kerana dikhuatiri akan ada cubaan-cubaan untuk mengelirukan umat Islam.

Dato' Noh turut menyatakan kebimbangan tentang ketuanan ataupun kekuasaan orang Melayu yang semakin terhakis dengan mengambil contoh bilangan Exco-exco Kerajaan Negeri Perak dan Selangor serta speaker Dewan Undangan Negeri yang dimonopoli oleh ADUN bukan Melayu.

Ketika mendengar ucapan beliau, tidak dapat dinafikan hati saya turut bergetar dan bimbang apabila memikirkan nasib bangsa Melayu di Tanah Melayu sendiri. Kalimat yang terpacul dari mulut saya pada saat itu ialah "menggerunkan".

Sampai perenggan ini, saya dapat merasakan sudah ada pembaca yang mungkin pening dan keliru dengan tulisan saya kali ini. Apakah pendirian peribadi saya terhadap kenyataan-kenyataan yang di bawa oleh menteri ini?

Jawapan saya ialah 'entahlah!!'. Ini adalah kerana saya tidak nampak ada maklumat yang tidak betul dan palsu di sini. Cumanya bagaimana pula kita hendak menerima dan menapis ataupun memperbaiki keadaan masa kini? Saya mengambil sikap sebagai seorang mahasiswa yang tidak mahu berpolitik, tetapi sentiasa mengambil tahu hal ehwal politik, kerana ianya menentukan masa depan corak pemerintahan negara. Dalam situasi ini, saya faham tujuan Dato' Noh membuat pendedahan ini adalah demi menyedarkan masyarakat Melayu agar kembali bersatu dan jangan berpecah belah. Persoalannya, apakah definisi perpecahan bangsa Melayu di sisi beliau? Apakah pula wadah yang sepatutnya didokongi oleh orang-orang Melayu ini? Pada saya, pilihannya cuma ada dua sahaja dan tidak perlulah saya nyatakan secara jelas di sini (kerana saya yakin para pembaca juga tahu jawapannya).

Apakah tiada persamaan di antara dua pihak ini? Ataupun mereka akan tetap terus tidak sebulu buat selamanya? Hanya Allah sahaja yang tahu.

Sekali lagi insan kerdil ini, memberanikan diri untuk membentangkan pandangan peribadi. Saya melihat mungkin ada titik persamaan di antara mereka tetapi hanya pada bab mengangkat martabat dan darjat orang Melayu yang disinonimkan sebagai umat Islam. Namun, pada bab mendaulatkan syariat ataupun perundangan Islam sebagai prioriti utama dalam negara masih belum mendapat kata sepakat. Anda pun tahu siapa yang lebih mahu memperjuangkannya.

Lantaran daripada itu, apakah orang Melayu akan terus agung di tanahair sendiri sedangkan perpecahan itu masih dalam proses rawatan ataupun saya buat istilah lain; "pura-pura baik"? Saya teringat kata-kata Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat yang bunyinya lebih kurang begini; "P** akan dibubarkan sekiranya U*** membuat keputusan untuk melaksanakan perundangan Islam sepenuhnya tanpa pengecualian kerana itulah matlamat perjuangan kita. Malahan kita juga akan turut mengisytiharkan masuk U*** sekiranya mereka benar-benar mahu melaksanakannya"
(saya mohon maaf jika ayat ini tidak betul)

Jadi, kemungkinan akan ada peluang untuk orang Melayu menjadi 'tuan sebenar' di tanahair sendiri sekiranya kedua-dua pihak dapat bersatu di bawah satu ideologi yang sama dibantu dengan kefahaman yang jitu dan benar-benar ikhlas tanpa mementingkan habuan yang akan masuk ke dalam poket sendiri. Saya yakin, selagi ideologi perjuangan tidak sama, maka selagi itulah tidak akan ada titik pertemuan di antara mereka.

ps: untuk mengenali kementerian ini sila klik http://www.mecd.gov.my/

No comments: