Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

06 June, 2008

Budaya menegur kesilapan


Budaya menegur kesalahan dan memperbetulkan kesilapan, budaya yang baik atau…?
Sememangnya ia adalah suatu budaya yang sangat baik jika kena pada tempat dan caranya. Namun ia akan menjadi suatu tindakan yang dibenci dan dicemuh oleh golongan yang tidak dapat menerima teguran walaupun ianya membina. Begitu juga sekiranya teguran tersebut datangnya daripada individu yang dianggap tidak layak untuk memberikan teguran. Mengapa terjadi hal sebegini rupa?

Terlebih dahulu, marilah sama-sama kita merenung firman Allah yang mafhumnya lebih kurang; “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada seluruh manusia. (kerana) kamu menyeru (orang ramai) dengan perkara-perkara yang baik, dan kamu melarang (mereka) daripada melakukan kemungkaran”. Mengajak masyarakat untuk melakukan kebaikan adalah perkara yang mungkin mudah dan ramai yang mampu menjiwainya. Akan tetapi, mencegah kemungkaran dan maksiat mempunyai cabaran-cabaran yang bukan sedikit. Lebih malang lagi, apabila para pendakwah ataupun ustaz dan ustazah yang ‘ceroi’ kelihatan turut sama terjatuh ke lembah yang tidak sepatutnya ini.

Allah swt mempersoalkan perilaku sebegini melalui firmanNya di dalam al Quran yang mafhumnya lebih kurang, “Adakah patut kamu menyuruh orang ramai supaya melakukan kebaikan, sedangkan kamu melupakan diri sendiri (dengan tidak melakukan apa yang telah kamu ajar kepada mereka), walhal kamu telah membaca al Kitab?...”

Berbalik kepada kata kunci “tegur”. Sebagai hamba Allah yang terlibat dalam pengajian agamaNya, sudah pasti saya dan siapa jua akan mengatakan menegur kesilapan dan kesalahan individu lain adalah menjadi kewajipan bersama. Bahkan huraian yang paling tepat adalah, tidak semestinya tugasan ini dipundakkan ke bahu para ulama’ dan agamawan sahaja. Ini adalah kerana, Nabi saw pernah bersabda yang maksudnya lebih kurang, “Barangsiapa yang tidak mengambil berat terhadap urusan orang-orang Islam, maka dia bukanlah termasuk dalam golongan mereka (sebagai orang-orang Islam)”. Oleh yang demikian, tidak wajar kita membiarkan orang lain terus-menerus melakukan kebobrokan, dan dalam masa yang sama kita hanya memejamkan mata.

Hah, di sinilah masalah kita bermula! Bukan tidak mahu menegur, cuma kadangkala menghadapi situasi seperti; “Aah, kau pun sama juga!”, “Oi, syeikh, tengok dulu anak bini engkau!”, “Jangan nak tunjuk alim lah, macamlah dia tu baik sangat!” Sungguhpun ungkapan-ungkapan ini tidak pernah saya dengari secara langsung, tetapi saya dapat rasakannya setelah melihat respon dan reaksi pihak yang ditegur. Inilah antara punca yang menyebabkan mulutku terkunci dan malu untuk berbalah lagi.

Salahkah mereka yang mengeluarkan kata-kata di atas? Ataupun siapakah sebenarnya yang bersalah dalam hal ini? Tepuk dada, tanya sakit tak?

Konklusi, yang ingin saya terjemahkan di sini adalah para agamawan terutama sekali mereka yang masih mentah seperti saya, mestilah menyiapkan diri dengan ilmu yang mendalam. (Ayat ini macam selalu didengar aje) Seterusnya mematangkan diri dengan akhlak yang mulia dan terpuji. Tidak cukup dengan itu, hendaklah sebarang kebaikan yang diseru itu telah kita dahului dan diteruskan. Apa jua tindakan dan perangai yang boleh menjatuhkan maruah diri, mestilah dijauhi sedaya yang mungkin.


Huraian lain pula, pihak yang menegur sepatutnya menjadi role model kepada orang lain, barulah seruannya akan lebih cepat berkesan.(saya hanya mampu berkata dan menulis, tetapi penghayatannya hanya Allah sahaja yang tahu)

2 comments:

Anonymous said...

"Sahabat yg baik adalah sahabat yg menegur kesilapan sahabatnya dan bukannya membiarkan sahabatnya itu terus melakukan kesilapan"

emir.abu.khalil said...

assalammualaikum, jazakAllah atas perkongsian... Allahu yubarik fik..