Semasa saya belajar di INSANIAH, alhamdulillah Allah telah menetapkan saya menjadi salah seorang pelajar yang aktif dalam aktiviti berpersatuan dan juga tidak mengabaikan pelajaran. Ketika berada di tahun dua pengajian, saya telah diangkat menjadi anggota Majlis Perwakilan Pelajar dan memegang portfolio Biro Penerbitan dan Maklumat. Saya telah diamanahkan oleh Yang Di Pertua MPP untuk menerbitkan sebuah majalah khas atas nama MPP. Inilah kali pertama saya terpaksa bertungkus lumus untuk menghasilkan majalah 'grand' yang dianggap lidah rasmi sesebuah persatuan.
Apa yang hendak saya utarakan di sini adalah keperitan dan cabaran yang terpaksa saya dan sidang editor harungi bersama sepanjang pembikinan majalah ini. Ianya tidak semudah yang disangka kerana tugas utama untuk diri sendiri pada ketika itu adalah "saya seorang mahasiswa". Saya terpaksa membahagikan masa di antara urusan akademik dan juga persatuan.
Masalah utama selain daripada berhadapan dengan pelbagai karenah 'masyarakat', adalah soal 'fulus'. Ya Allah, tatkala itu barulah saya tersedar bahawa zaman kini adalah zaman duit. Tanpa duit, amat sukar untuk kita bergerak. Namun, tanggungjawab yang telah dipundakkan ke atas bahu saya tetap dilaksanakan. Sungguhpun kadangkala mengganggu konsentrasi pengajian saya, tapi kita ada tempat mengadu. Itulah Dia Yang Maha Mendengar.
Berkat kerjasama daripada pelbagai pihak di samping bantuan utama daripada Allah swt, akhirnya majalah tersebut berjaya diterbitkan dengan nama "Majalah al Irsyad". Kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan kepada Allah swt kerana tanpa keizinan daripadaNya, saya tidak fikir majalah ini mampu dihasilkan.
Apabila mengenangkan pengalaman sebegini, dan ditambah lagi dengan beberapa buah artikel yang pernah saya hasilkan (tidaklah banyak sangat), maka terdetiklah idea untuk membina sebuah blog peribadi. Mudah-mudahan ada manfaatnya buat diri sendiri dan juga para pembaca.
No comments:
Post a Comment