Kita sering menyebut-nyebut Rasulullah s.a.w sebagai contoh teladan yang mesti diikuti oleh seluruh umat Islam. Namun fahamkah kita, apakah maksud sebenar contoh tersebut? Apakah yang hendak dicontohi? Bagaimanakah pelaksanaannya? Mengapa perlu mencontohi baginda? Serta pelbagai lagi persoalan yang boleh dilontarkan buat mereka yang berminat untuk menjejakinya.
Apabila diungkapkan "Ar Rasul Qudwatuna" (Rasulullah s.a.w itu idola kami), maka perkara utama yang harus dititikberatkan ialah kita mesti mengenali biodata nabi kita dari segi perilakunya. Bak kata pepatah Melayu, "Tak kenal, maka tak cinta" Begitulah perihalnya terhadap manusia yang luar biasa ini. Setelah kita mengenali baginda, maka mudahlah untuk menelusuri dan menghayati gaya hidupnya, lantas diaplikasikan dalam kehidupan kita pula.
Marilah sama-sama kita lihat bagaimanakah amal ibadah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Al Mughirah Bin Syu'bah r.a berkata, "Rasulullah s.a.w selalu beribadat pada waktu malam sehingga bengkak kedua-dua belah kakinya. Apabila ditanya, "Bukankah Allah swt telah mengampuni segala dosa-dosa tuan samada yang telah lalu mahupun yang akan datang?" Baginda pun menjawab, "Bukankah saya termasuk hamba Allah yang bersyukur?" Nah !, lihatlah bagaimana pula dengan tahap ibadat kita yang compang-camping dan sentiasa melakukan dosa siang dan malam? Tidak malukah kita apabila berhadapan dengan Tuhan Pemilik seluruh cakerawala di alam sana nanti?
Tidak cukup dengan itu, kita perhatikan pula kezuhudan Baginda s.a.w. Diceritakan oleh Abdullah Bin Mas'ud, "Saya telah masuk menemui Rasulullah s.a.w dan Baginda baru sahaja bangun dari tempat pembaringannya yang diperbuat daripada tikar (pelepah tamar). Kelihatan kesan-kesan (lekukan tikar itu) pada belikat Baginda yang mulia. Maka saya pun berkata, "Wahai Pesuruh Allah, kalaulah kami boleh menyediakan hamparan yang lembut sebagai lapik (untuk melindungi badan tuan). Maka Rasulullah s.a.w bersabda, "Saya tidak merasai apa-apa terhadap dunia ini. Tiadalah saya dengan dunia ini melainkan seperti seorang musafir yang berteduh di bawah naungan pokok kemudian meneruskan perjalanan dan meninggalkannya" Baginda juga berdoa, "Ya Allah, jadikanlah rezeki keluarga Muhammad ini sentiasa mencukupi"
Walaubagaimanapun janganlah kita tersalah dalam memahami konsep zuhud ini. Sebenarnya sungguhpun Rasulullah s.a.w ingin hidup sederhana dan tidak mahukan kemewahan atau perhiasan dunia tetapi Baginda juga telah menegur perbuatan beberapa orang sahabatnya yang mengharamkan ke atas diri mereka daripada mendirikan rumahtangga, tidak mahu memakan daging dan juga tidak mahu mengejar kesenangan hidup. Allah swt telah berfirman yang bermaksud, "Tuntutlah apa-apa yang Allah berikan kepadamu untuk perolehi kesenangan pada hari Akhirat, (namun) janganlah kamu lupakan langsung bahagianmu dalam kehidupan di dunia ini"
Seterusnya Rasulullah s.a.w juga adalah contoh terbaik dari segi tawadhu' atau sifat merendah dirinya. Buktinya jelas apabila dinyatakan oleh semua orang yang hidup sezaman dengan Baginda s.a.w. Mereka mengatakan Rasulullah s.a.w adalah orang yang pertama memberi salam apabila bertemu dengan para sahabatnya, dan menghadapkan badannya secara penuh tatkala berbicara dengan sesiapa sahaja tanpa mengira tua atau muda. Baginda juga adalah orang yang terkemudian menarik tangan apabila bersalaman, turut pergi ke pasar dan mengangkat sendiri barangannya. Rasulullah s.a.w tidak pernah berasa malu daripada bekerja ketika membina Masjid Madinah dan juga parit (Khandaq), sentiasa menghadiri jemputan samada dari golongan yang merdeka mahupun hamba sahaya, pakaiannya bertampal-tampal, capalnya berjahitan, menambat sendiri untanya, makan bersama-sama dengan khadam, menunaikan hajat golongan yang lemah, tidak menjadi masalah duduk di atas tanah dan berbagai-bagai lagi. Bagaimana semua ini mampu dilakukan oleh Baginda? Ini adalah kerana Baginda telah ditarbiah oleh Allah swt melalui firmanNya yang bermafhum, "Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman" (As Syu'ara': 215)
Sifat pemaaf dan lemah lembut yang ada pada peribadi Rasulullah s.a.w juga sukar ditandingi. Sebagai contoh sebuah cerita yang diriwayatkan oleh Anas r.a, "Saya telah berjalan bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w dan Baginda sedang memakai selendang Najrani yang kasar buatannya. Tiba-tiba seorang Arab Badwi telah mendatangi Baginda dan menarik selendang di lehernya dengan kuat. Saya pula telah terlihat pada tengkuk Rasulullah s.a.w itu ada kesan jerutan kerana tarikan yang kuat itu. Kemudian (Arab Badwi tersebut) pun berkata, "Wahai Muhammad !!, berikanlah bahagianku daripada harta Allah yang ada padamu!" Rasulullah s.a.w pun berpaling kepadanya dan tergelak (tanpa ada sedikit pun rasa marah), kemudian Baginda menyuruh agar bahagian Arab Badwi tersebut diserahkan kepadanya.” Bandingkanlah pula dengan realiti yang ada pada diri kita, rasanya sukar untuk meniru akhlak seperti ini. Hanya mereka yang benar-benar bermujahadah sahaja berjaya melepasinya.
Begitu juga dengan kekuatan jasmaninya. Siapa sangka tokoh agama ini pernah mengalahkan ahli gusti yang bernama Rukanah sebanyak tiga kali, sehinggalah tatkala kekalahan Rukanah yang ketiga dia akhirnya mengakui kerasulan Muhammad s.a.w. Baginda turut bersabda, "Mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai oleh Allah berbanding mukmin yang lemah”. Bagaimana mungkin Rasulullah saw tidak mahu menunjukkan contoh terbaik dari segi kekuatan jasmani?, walhal Allah swt ada berfirman mafhumnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu...” (Al Anfal:60)
Seterusnya kita perhatikan pula pada qudwah keberanian Baginda saw. Sebenarnya terlalu banyak peristiwa getir dan genting yang dilalui oleh Kekasih Allah ini. Namun penulis hanya akan membawa satu contoh sahaja iaitu ketika peperangan Hunain, apabila Baginda telah ditinggalkan (tidak dikawal) oleh para tentera Islam, Baginda masih tetap berada di atas kenderaannya tanpa berganjak ataupun undur ke belakang walau setapak. Sedangkan adat dalam peperangan ialah mengawal pimpinan kerana dialah yang akan menjadi sasaran utama serangan musuh. Tatkala itu dengan penuh semangat Baginda melaungkan “Aku adalah seorang Nabi bukannya penipu # aku juga adalah keturunan Abd Mutalib !!” Maka pada hari itu, Baginda adalah orang yang paling kukuh pendirian dan semangatnya, malahan paling berani berhadapan dengan musuh-musuh Allah. Bukankah Baginda adalah orang yang terutama menyahut seruan Allah yang berbunyi, “Wahai Nabi ! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafiq, serta bertindak keras terhadap mereka” (At Taubah: 73)?
Begitulah seterusnya akhlak dan peribadi Rasulullah saw yang patut kita jadikan sebagai pedoman dan ikutan. Termasuklah dalam bidang politik, Baginda berjaya mengelakkan ketegangan dan pertumpahan darah dengan pihak Quraisy apabila mengadakan Perjanjian Damai Hudaibiyyah. Rentetan daripada itu, Makkah dapat dibuka oleh Islam tanpa perlu mengangkat senjata seterusnya membebaskan Semenanjung Tanah Arab daripada sebarang bentuk syirik dan kotoran jahiliah.
Tokoh dakwah Islamiah terulung ini sudah pasti berhadapan dengan seribu satu macam cubaan dan cabaran yang tidak mungkin tertanggung oleh muslim yang ‘longgar’ imannya. Namun, bagi Baginda saw, semakin banyak dan kuat dugaan tersebut maka semakin mantaplah ketetapan pendiriannya. Boleh dikatakan perjuangan dakwah ini tak nampak kemanisannya, kalau tiada tribulasi.
Kefasihan atau kelancaran kata-katanya, adab-adab cara pergaulan dan mengetahui dengan siapakah kita berbicara juga perlu dipelajari daripada ‘Madrasah An Nabawi’ ini. Baginda saw bukanlah seorang yang suka bercakap dengan panjang berjela-jela dan tidak juga terlalu ringkas. Kata-katanya sangat mudah difahami oleh semua peringkat dan tahap manusia. Berwajah manis, mesra dan sentiasa menunjukkan minat terhadap orang yang berbicara dengannya sehinggakan yang berkenaan berasa seolah-olah dia adalah orang yang paling mulia di sisi Baginda saw.
Demikianlah sebahagian kecil daripada penampilan istimewa Rasulullah saw yang mesti kita teladani. Kalau bukan Baginda, siapakah lagi idola kita? Oleh yang demikian, penulis sekali lagi ingin berpesan kepada diri sendiri dan juga kepada para pembaca sekalian, marilah sama-sama kita berpegang kepada firman Allah yang bermaksud, “Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu, maka ambillah akan dia serta amalkan. Dan apa jua yang dilarangnya kamu daripada melakukannya, maka patuhilah larangannya itu.” (Al Hasyr: 7)
No comments:
Post a Comment