Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

25 September, 2010

Entri pertama di Malaysia


assalamualaikum wbt.

Setelah kian lama menyepi, kini saya kembali menulis di blog ini. Ternyata sepanjang keberadaan saya di Malaysia semenjak 29 Ogos yang lalu sentiasa sendat dan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan keluarga. Saat saya menulis ini, saya berada di Sungai Petani, Kedah di rumah ibu mertua saya.

Apa yang hendak dikongsikan kali ini adalah berkenaan peristiwa kelmarin (hari Jumaat), saya telah mendirikan solat Jumaat di Masjid Jamek Jalan Hatin, Pulau Pinang. Masjid ini terletak di belakang Sekolah Kebangsaan Perempuan Island, Pulau Pinang iaitu tempat isteri saya bertugas.

Saya terkejut ketika melangkah masuk ke dalam masjid apabila mendapati khatib yang membaca khutbah Jumaat itu berpakaian seragam polis. Rupa-rupanya beliau adalah Ketua Polis Pulau Pinang. Isi khutbah yang disampaikan sangat menarik perhatian saya tatkala khatib adakala membacanya dan adakala diselangi dengan ucapan dari lisannya sendiri secara spontan.

Beliau telah menyentuh tentang isu dakwah, yang mana setiap individu muslim mestilah berperanan dalam usaha amar makruf dan nahi munkar ini. Namun masih perlu diingat bahawa antara faktor keberkesanan dakwah ini turut bergantung kepada penampilan dan akhlak pendakwah itu sendiri. Oleh yang demikian, seseorang muslim itu sewajarnya membetulkan dahulu dirinya dengan berusaha untuk berakahlak mulia lantas menjadi qudwah ataupun ikutan kepada orang lain.

Isi khutbah yang paling menarik bagi saya, adalah tatkala khatib membicarakan isu bukan muslim yang semakin berani 'mengomplen' dan menafikan hak beribadat kita. Mari kita lihat di masjid-masjid yang bertebaran di seluruh negara. Masjid-masjid yang dibina itu besar, terhias indah namun tidak ramai yang mengimarahkannya. Laungan azan bergema dengan pembesar suara. Begitu juga suara imam kedengaran dengan mikrofon di mulutnya. Akan tetapi apabila diintai ke dalam masjid, rupa-rupanya yang berada di belakang imam hanyalah lima orang sahaja.

Justeru itu, apakah yang perlu menghairankan kita ketika golongan muslim berani bersuara dengan mendakwa bahawa laungan azan yang kuat itu mengganggu ketenteraman mereka, lantas membuat kita melenting dan marah terhadap non-muslim ini? Sedangkan kita sendiri yang tidak memenuhkan masjid itu dengan solat berjemaah.

Cuba bayangkan sekiranya setiap kali azan dikumandangkan, berpusu-pusu umat Islam menuju ke masjid untuk mendirikan solat secara berjemaah dan bilangannya sangat ramai seumpama Jumaat ketika ini, adakah wujud golongan bukan muslim yang berani untuk komen itu dan ini? Pasti mereka akan menghormati kita, dan tidak akan berkata yang bukan-bukan.

Begitu juga dengan mereka yang memang sering ke masjid. Jika mereka merasakan itu adalah suatu jaminan untuk membolehkan mereka mencapai syurga di akhirat sana, mengapa hanya bersendirian menuju ke masjid? Adakah dia hendak masuk syurga seorang diri tanpa mengajak ahli keluarga untuk bersamanya?

Semua teguran dan saranan daripada khatib Jumaat kali ini, benar-benar mengenakan batang hidung saya. "tak sangka betul, ketua polis ini ... boleh tahan" "oh alangkah baik, jika ramai lagi pimpinan daripada pelbagai sektor memberikan contoh yang baik seperti ini, mudah-mudahan khutbah Jumaat bukannya masa untuk 'tidur qailulah' sebaliknya adalah masa untuk mendengar peringatan yang benar-benar memberikan pengajaran berharga.

No comments: