Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

06 July, 2010

DI SEBALIK AKAL INSAN

Manusia atau insan sebenarnya adalah salah satu spesis haiwan atau binatang. Manusia memiliki ciri-ciri yang sama pada haiwan seperti makhluk yang hidup, mempunyai pancaindera, membesar, mencari makanan, bergerak dan memiliki sebab serta keinginan yang kuat untuk terus hidup, bersaing, bersetubuh atau bersenyawa dan sebagainya. Malah sepertimana manusia mempunyai perasaan, begitu juga pada haiwan.


Namun begitu, manusia adalah haiwan yang pelik kerana ia memiliki banyak perkara yang tiada pada haiwan-haiwan yang lain. Apa yang menarik perhatian lagi, jika kita lihat dari sudut biologi, hakikatnya manusia adalah haiwan yang sangat lemah dan tidak akan mampu untuk menguasai dunia. Bahkan, boleh dikatakan bahawa manusia adalah haiwan yang ‘malang’. Senjata-senjata semulajadi seperti keupayaan untuk memperdaya, mencakar, mencengkam dan pandangan yang tajam tiada pada manusia. Kekuatan jasmaninya juga tidak seberapa. Manusia tidak mampu untuk berlari atau berenang sepantas sebahagian haiwan. Apatah lagi untuk terbang !


Kelahirannya yang ‘telanjang’ dan tidak berpakaian akan mendedahkannya kepada kematian kerana kesejukan atau kepanasan ataupun apa jua sebab yang lain, berbeza dengan haiwan-haiwan yang tidak memerlukan pakaian. Sepatutnya dengan kelemahan dan kekurangan ini, sudah lama manusia pupus persis haiwan-haiwan lain yang telah pupus !


Akan tetapi realitinya bukan sedemikian rupa. Manusia adalah ‘penghulu semulajadi’. Manusia mampu menguasai dan memanipulasi sebahagian haiwan yang berbahaya dengan mudah, menangkapnya dan menjadikannya sebagai ‘hamba’ untuk berkhidmat kepada manusia.

Mengapa terjadi begini? Jawapannya diketahui oleh kita semua. Ya, manusia dikurniakan akal. Walaupun manusia adalah haiwan yang lemah tetapi ia kaya dengan senjata yang menggerunkan iaitu kepintaran dan kebijakannya. Benar, terdapat kepintaran pada beruk, anjing, ikan dolfin dan gajah, namun tahapnya adalah terhad. Maka, keadaan ini membolehkan manusia menguasai dunia.

Keistimewaan-keistimewaan manusia yang tiada pada haiwan lain adalah seperti teknik penggunaan alat-alat yang dicipta olehnya sendiri. Seterusnya mewarisi apa jua tinggalan generasi sebelumnya, samada dari segi bahasa, mahupun cara hidup yang diperolehi melalui pembelajaran. Kemudian daripada warisan inilah manusia boleh memajukan potensi dirinya dengan terus belajar kerana manusia mampu untuk mereka-cipta ataupun membuat pembaharuan. Manakala kebolehan manusia untuk berfikir juga sangat berbeza dan istimewa kerana ia sentiasa memerah otak seperti mengira, membuat pemerhatian terhadap alam luaran hatta terhadap lolongan suara hati dan gejolak perasaan dirinya sendiri. Manusia adalah satu-satunya haiwan yang benar-benar sedar bahawa suatu hari nanti ia pasti akan mati. Berbeza dengan haiwan yang lain, ia akan meneruskan diari hariannya dengan rutin yang sama iaitu mendapatkan makanan untuk terus hidup. Tiada motif lain bagi haiwan ini selain memenuhi keperluan perutnya sahaja. Sedangkan manusia pula tidak pernah berasa puas dengan apa yang ada. Bukti yang paling nyata ialah apabila manusia mencipta ‘duit’ atau ‘wang’ untuk terus mengisi tuntutan dan kehendaknya yang tiada berkesudahan.


INSAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Islam melihat insan ini sebagai khalifah Allah di muka bumi. Firman Allah swt: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. (al-Baqarah: 30)


Khalifah di sini bermaksud; seorang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarkan kepada wahyu dan syariat Allah, supaya kehidupan itu teratur dan mempunyai tujuan-tujuan hidup yang suci murni untuk mencapai keredhaan Allah swt.


Allah swt telah melebihkan manusia berbanding makhluk-makhlukNya yang lain dan seterusnya memuliakan manusia dengan firmanNya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah berikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (al-Israa’: 70)

Allah swt memuliakan manusia dengan menjadikan mereka dalam bentuk yang seelok-eloknya, pandai berkata-kata, berakal fikiran, sehingga dapat menguasai dunia dan isinya. Sebab itu, sudah semestinya mereka bersyukur dengan nikmat-nikmat Allah yang besar itu, dengan beribadat kepadaNya dan menjauhi perbuatan syirik.


Di sebalik kemuliaan ini, Allah swt telah memberikan suatu amanah yang besar kepada manusia dan ia akan dipersoalkan nanti. Allah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah Kami kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tiada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya.” (al-Ahzaab: 72)


Lantaran daripada tugasan ini, Allah swt telah menyediakan apa-apa yang ada di muka bumi untuk kemudahan dan kegunaan manusia. Firman Allah swt: “Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi (semuanya sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.” (al-Jaathiyah: 13)


Oleh sebab itu, berfikir, meneliti, mengkaji, dan merenung serta bersikap sensitif adalah sesuatu yang mesti ada dalam benak fikiran manusia. Tidak sewajarnya manusia bersikap berpeluk tubuh, tidak mengambil endah dan peduli terhadap alam sekelilingnya. Caranya adalah dengan memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh Allah swt ini untuk kebaikan, maslahat dan kebajikan manusia. Wasilahnya pula adalah dengan ilmu pengetahuan dan kefahaman. Natijah daripada ilmu itu pula akan menaikkan darjat manusia samada dari segi material mahupun rohani. Allah swt berfirman: “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar.” (al-Fussilat: 53)


Antara intipati daripada ayat ini adalah; ia ditujukan secara umum kepada umat manusia, terutama golongan yang ingkar, bahawa Allah swt akan memperlihatkan kepada mereka dari masa ke semasa, sesuai dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan kemajuan manusia - dalil-dalil yang membuktikan kekuasaan Allah dan keesaanNya yang terdapat di merata-rata alam langit dan bumi serta pada diri mereka sendiri, dari perkara-perkara yang sangat menakjubkan yang menimbulkan iman dan yakin. Dengan itu akan jelaslah kepada mereka bahawa apa yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad saw itu adalah benar.


Konklusinya, kita sepatutnya mengkoreksi diri dengan mengingati matlamat asal kejadian insan di alam ini dan mensyukuri nikmat akal kurniaan Tuhan dengan mengakui bahawa Islam adalah landasan kehidupan yang hakiki, di samping menjalankan amanah khalifah yang terpundak sebaiknya.

No comments: