Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

23 November, 2009

Sejarah korban bukan sekadar cerita


Apabila disebut sahaja Hari Raya Aidiladha, ia pasti mengingatkan kita tentang sejarah pengorbanan hamba yang soleh dan nabi yang mulia, serta puteranya pemuda yang sabar dan sanggup menjunjung perintah Allah walaupun sampai mengorbankan jiwa.

Nabi Ibrahim, Hajar dan Nabi Ismail alaihimus salam telah menunjukkan gambaran kepatuhan yang tidak ada taranya. Allah telah mengabadikan sebutan baik keluarga ini hingga ke akhir zaman dengan diturunkan ayat yang diabadikan pembacaannya di dalam al-Qur'an:

Maksudnya: “Apabila anak yang di sampingnya sudah boleh berusaha, dia pun berkata kepada anaknya: Wahai anak kesayanganku, aku melihat di dalam mimpiku aku menyembelihmu, perhatikanlah bagaimana pendapatmu. Anak yang setia itu pun berkata: Wahai ayahku, buatlah apa yang telah diperintahkan kepadamu, ayah akan dapati saya, insya'Allah dari golongan orang yang sabar. Apabila mereka berdua telah berserah bulat dan Ibrahim telah membaringkan anaknya atas pelipisnya. (Allah berfirman) Kami pun menyerunya: Wahai Ibrahim, sungguh engkau telah menepati mimpimu, sesungguhnya begitulah Kami membalas orang-orang yang melakukan kebaikan. Sesungguhnya inilah suatu ujian yang nyata. Maka Kami tebus dia dengan suatu penyembelihan yang besar. Dan Kami abadikan baginya sebutan yang baik di kalangan orang di belakangnya (iaitu) "sejahtera atas Ibrahim".” (Ash-Shaaffat: 102-109)

Itulah suatu gambaran bagi sejarah kesetiaan keluarga Ibrahim yang menjadi contoh yang baik bagi keluarga-keluarga yang soleh lagi setia kepada perintah Allah. Ayah yang taat, anak yang redha dan ibu yang sabar.

Sejarah ini bukan setakat untuk ditunjukkan menjadi suatu cerita yang dibaca dan diulang, tetapi ianya perlu dihayati kerana ia mengandungi pengertian bagaimana sesebuah keluarga itu perlu bekerjasama dalam menjalankan sesuatu perintah Allah swt.

Bukan mudah bagi seorang ayah hendak mengorbankan anak sendiri, sedangkan usaha untuk mendapatkan zuriatnya itu telah mengambil masa yang sangat lama. Sehingga terpaksa berkahwin dengan seorang isteri lagi. Apabila telah mendapat anak, lalu dimanja dan diberikan belaian penuh kasih sayang tiba-tiba hendak dikorbankan pula.

Tiada ibu yang sanggup melihat anaknya mengalami kesusahan dan kesakitan. Sedangkan anak yang mengalami luka sedikit pun, si ibu sudah riuh, inikan pula anaknya yang akan disembelih hidup-hidup oleh ayah sendiri. Namun kedua-dua ibubapa yang beriman ini sangat patuh tanpa berdalih dan banyak soal kepada Tuhan mereka, malahan taat dengan perintah yang telah diberikan. Mereka yakin ini adalah ujian Allah swt ke atas mereka dan optimis di sana pasti ada hikmahnya.

Walaupun ketika hendak melaksanakan perintah Allah ini mereka telah dihasut iblis yang menyerupai seorang syeikh yang menasihati mereka agar tidak menjalankan perintah tersebut. Kerana perintah atau wahyu ini datangnya hanya dengan mimpi dan yang akan disembelih pula seorang anak lelaki yang sudah remaja yang telah mampu berusaha, tentunya ini perkara yang tidak wajar dan sukar dibuat, iblis terus menggoda dan mengekori mereka. Tetapi mereka menyedari hasutan iblis ini lalu mereka merejamnya. Itulah simbolnya melontar jamrah yang disyariatkan pada setiap musim haji.

Begitulah gambaran keluarga yang sabar lagi patuh kepada perintah Allah dan seorang anak remaja yang menghabiskan usia remajanya dengan kepatuhan dan ketaatan terhadap Allah swt. Inilah anak muda yang kemudiannya diangkat menjadi rasul memimpin umat ke arah hidayah Allah.

No comments: