Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

24 October, 2009

LOMPAT


ISU ‘LOMPAT’ dan ‘IBRAH DARI HUDAIBIYAH


Sayyidina Umar r.a. pernah mempertikaikan isi Perjanjian Hudaibiyah yang menurutnya “berat sebelah”. Beliau tidak bersetuju jika pengikut Islam yang sudah hijrah ke Madinah kemudian ingin berpatah balik dan mahu “melompat” semula ke Makkah dibenarkan berbuat demikian. Manakala, jika ada penduduk Makkah yang memeluk Islam dan mahu hijrah ke Madinah tidak dibenarkan berbuat demikian. Ini tidak adil menurut Sayyidina Umar r.a.


Sebaliknya, Rasulullah s.a.w. akur dengan perjanjian itu dan melihatnya dari dimensi yang berbeza. Selain daripada Perjanjian Hudaibiyah itu sendiri pun sudah satu “kemenangan” buat umat Islam malah syarat yang dilihat tidak adil itu pun sebenarnya memberi kebaikan secara terselindung. Bagaimana?


Pengikut Islam yang melompat semula ke Makkah hakikatnya ialah pembelot yang jika terus berada di Madinah pasti menyusahkan Rasulullah s.a.w dan para sahabat pada suatu hari nanti. Mereka yang berubah hati ini hanya menunggu masa untuk berpaling tadah apabila tiba detik yang kritikal dan mencabar. Jadi, bagi Rasulullah s.a.w., ada baiknya mereka dibenarkan “melompat” kerana itulah cara terbaik untuk “menapis” mereka yang bermasalah ini daripada terus menjadi “duri dalam daging” atau “musuh dalam selimut” dalam barisan pejuang Islam yang tulen.


Manakala pengikut Islam yang “tertahan” di Makkah tetap akan mempertahankan keislamannya kerana hati mereka yang benar-benar beriman pasti tidak akan tergugat sekalipun oleh persekitaran yang jahiliyah. Malah pejuang Islam yang sejati akan sentiasa kreatif dan inovatif untuk memperjuangkan agamanya walaupun di tengah kekangan dan halangan yang menghimpit.


Rasulullah s.a.w arif benar tentang hakikat itu. Baginda bijak membaca hikmah dan mampu melihat suatu yang positif secara tersirat, walaupun negatif secara tersurat. Terbukti pengamatan Rasulullah s.a.w. melangkaui batas pemikiran Umar al-Khattab yang masih konvensional. Tidak kalah dengan mengalah.


Selepas Perjanjian Hudaibiyah dimeterai ada pengikut Islam di Makkah yang tekad untuk terus berhijrah ke Madinah tetapi Rasulullah s.a.w. tetap berpegang pada janji. Mereka tetap tidak dibenarkan oleh Rasulullah s.a.w. Lihat betapa teguhnya Rasulullah s.a.w. berpegang pada janji, walaupun tentunya sedih dan hibanya hati baginda terpaksa “menolak” kedatangan umatnya.


Sejarah mencatatkan bagaimana pejuang Islam yang tidak diterima di Madinah ini akhirnya menjadi kelompok “pejuang pemisah” yang mendiami lokasi terpencil namun tetap mempertahankan iman sekaligus menyusahkan pedagang Quraisy yang melalui penempatan mereka.


Beberapa tahun kemudian, ternyata kesabaran dan strategi Rasulullah s.a.w. membuahkan hasil. Kafir Quraisy melanggar perjanjian dan peperangan demi peperangan pun berlaku. Mujur barisan pejuang Islam telah “dibersihkan”. Jika tidak masakan tercapai kualiti 313 orang tentera Islam yang mampu mengalahkan 1,000 orang tentera kafir di Perang Badar. Dan boleh jadi bilangan orang munafik yang “minta uzur” dari medan Uhud menjadi lebih ramai. Atau konco-konco puak munafik akan lebih licik bekerjasama dengan puak Yahudi Madinah untuk menikam pejuang dari belakang dalam Perang Khandak.


Umar belajar daripada Rasulullah s.a.w


Umar r.a. tentulah individu yang paling mendapat pengajaran daripada Rasulullah s.a.w. menerusi peristiwa Hudaibiyah. Beberapa tahun selepas wafatnya Rasulullah s.a.w. dan berlalunya era pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a. dan pemerintahan Islam berada di tangannya, terbukti Umar masih berpegang teguh kepada roh tarbiah yang diterimanya daripada Perjanjian Hudaibiyah.


Dalam tazkirahnya kepada tentera Islam yang akan berangkat ke Perang Qadisiyah, Parsi beliau menegaskan: “Aku lebih bimbangkan dosa yang dilakukan oleh tentera Islam sendiri daripada kekuatan tentera musuh. Hakikatnya, kita dimenangkan atas mereka kerana dosa yang mereka lakukan. Tetapi sekiranya kita turut berdosa seperti mereka, aku khuatir Allah tidak akan membantu kita!”


Itulah Umar r.a. yang belajar daripada Rasulullah s.a.w.

Ketika isu politik semakin panas dengan kejadian “lompat-melompat” yang sangat mengelirukan ini, apa kata kalau kita “istirahat” seketika untuk bermuhasabah tentang kebijaksanaan seorang pemimpin – Nabi Muhammad s.a.w. dan kesetiaan pengikut bernama Umar r.a. Di mana pihak pun anda “berada” ambillah ‘ibrah dari Hudaibiyah!


Dipetik daripada “Kata Dua” oleh Abu Irdak, dalam MAJALAH SOLUSI, isu No.5, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

No comments: