Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

08 July, 2009

Asas-asas Pensyariatan Islam (2)

Asas kedua: قلة التكاليف (Tanggungjawab yang sedikit)

Allah SWT hanya mengenakan tanggungjawab / ibadat-ibadat dalam syara’ itu dengan kadar yang terhad, dan mudah bagi hamba-hambanya untuk mengetahui tentang pelaksanaan ibadat itu dalam tempoh yang singkat.

يا أيها الذين ءامنوا لا تسألوا عن أشياء إن تبد لكم تسؤكم وإن تسألوا عنها حين ينزل القرآن تبد لكم عفا الله عنها والله غفور حليم. قد سألها قوم من قبلكم ثم أصبحوا بها كافرين

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya ketika Al-Quran itu sedang diturunkan, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah memaafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyantun. Sesungguhnya perkara-perkara yang seumpama itu telah ditanyakan (kepada nabi mereka) oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya)”

– Surah Al-Ma’idah: 101-102

Ayat-ayat suci Allah ini menegah umat Muhammad SAW daripada banyak soal, kerana ianya akan menjadi sebab pengharamannya selepas asalnya adalah diharuskan.

Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesungguhnya Allah telah memfardhukan ibadah-ibadah yang wajib, maka janganlah kamu abaikannya. (Begitu juga Allah telah) mengehadkan batasan-batasannya, maka janganlah kamu melampauinya. Allah telah mengharamkan beberapa perkara, janganlah kamu melanggarinya. Allah telah mendiamkan (tidak menyebut) tentang beberapa perkara sebagai rahmat ke atas kamu, bukan kerana lupa, maka janganlah kamu (bersusah payah) mahu mengkaji secara terperinci tentangnya.”

Selain daripada itu, sabda Rasulullah SAW lagi, “Sesungguhnya sebesar-besar jenayah orang Muslim terhadap muslimin yang lain adalah orang yang bertanya tentang sesuatu perkara yang asalnya tidak haram, tiba-tiba diharamkan berpunca daripada pertanyaannya tadi”

Sabda Rasulullah SAW, “Wahai sekalian manusia! Allah telah memfardhukan ke atas kamu ibadah haji. Maka tunaikanlah ibadah haji” Seorang lelaki bertanya, “Adakah ditunaikan pada setiap tahun wahai Rasulullah?” Rasulullah diam tidak menjawabnya sehinggalah ditanya pada kali ketiga, lalu baginda pun bersabda, “Sekiranya aku berkata “Ya”, nescaya (ibadat haji itu) akan menjadi wajib (pada setiap tahun) dan kamu pula tidak akan mampu melakukannya. Biarkan apa yang telah kutinggalkan untuk kamu. Sesungguhnya kaum-kaum sebelum kamu musnah disebabkan banyaknya soal dan perselisihan mereka dengan nabi-nabi yang diutuskan kepada mereka. Apabila aku perintahkan kamu dengan sesuatu perkara, tunaikanlah ia sekadar kemampuanmu, dan jika aku tegah kamu, maka tinggalkanlah ia”

Oleh sebab itu rukun-rukun Islam adalah perkara-perkara yang mudah. Mengucap dua kalimah syahadah tidak sampai seminit. Solat fardhu lima kali sehari semalam, jika dihitung jumlah masanya, tidak sampai sejam. Ibadah puasa hanya pada waktu siang, malahan digalakkan bersahur sebelum terbitnya matahari. Zakat yang dikutip juga adalah dengan kadar yang sedikit daripada jumlah harta. Haji pula tidak wajib melainkan sekali seumur hidup dan hanya bagi mereka yang berkemampuan.

Kesimpulannya ibadat dan syariat yang asas bagi setiap individu muslim itu amat mudah dan sedikit. Sekiranya kita benar-benar menjaga kelima-lima rukun Islam ini terutama sekali ibadah solat lima waktu bermakna kita telah berusaha menegakkan tiang agama.

bersambung....

No comments: