Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

06 December, 2008

Unforgotten Memory

Hari ini ke mana jua kita pergi, kebanyakan umat Islam akan berbicara tentang ibadah haji dan korban. Golongan yang telah menerima lambaian haji pada tahun ini datang dari pelbagai penjuru dunia dengan aneka jenis kenderaan samada melalui udara, daratan atau menyeberangi lautan.

يأتوك رجالا وعلى كل ضامر يأتين من كل فج عميق . ليشهدوا منافع لهم

Mafhumnya: “Mereka datang ke(Rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus * , yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka.” (Al-Hajj: 27-28)

*kurusnya unta itu disebabkan perjalanan yang jauh yang telah ditempuh.

Secara peribadi, saya tidak dapat melupakan kenangan indah dan manis yang telah dikecapi pada tahun 1428H yang lalu apabila berkesempatan untuk menginjakkan kaki ke Baitullah al-Haram. Istimewanya permusafiran saya dan sahabat-sahabat Malaysia yang lain adalah dengan menaiki kapal laut. Walhal, tidak pernah terlintas dalam benak fikiran saya bahawa pada suatu hari nanti saya akan pergi ke tanah suci yang diidam-idamkan oleh setiap muslim dengan menaiki kapal laut ini. Alhamdulillah.

وأما بنعمة ربك فحدث

“Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur)” – {Ad-Dhuha: 11}

Dari Pelabuhan Suez, Mesir, kami berlayar menuju ke Pelabuhan Jeddah, Arab Saudi yang memakan masa selama 48 jam. Akan tetapi sebenarnya kami telah berada dalam perut kapal lebih daripada 55 jam kerana terpaksa masuk lebih awal.

Sepertimana kapal terbang yang mempunyai bahagian kelas pertama @ first class, maka begitulah juga dengan kapal laut. Kelas pertama di tingkat atas menyediakan kemudahan bilik yang dihuni oleh enam orang, dilengkapi dengan katil, soket elektrik dan bilik air.

Manakala kelas kedua di tingkat bawah hanya menyediakan kerusi yang empuk (mujur ruang kaki lebar sedikit), terbuka dan ‘luas’. Seterusnya, “tandasmu tandasku jua”.

Saya bersama dengan seorang sahabat dari Terengganu iaitu Ustaz Zulkifli berada di kelas kedua, duduk bersama-sama dengan pelbagai ragam manusia, yang sudah pasti majoritinya rakyat Mesir. Anda boleh bayangkan bagaimana keadaan kami ketika itu?

Perjalanan yang panjang ini memberikan kesempatan kepada saya dan rakan-rakan yang kebanyakannya dari Syubro untuk saling berbincang dan memperingati di antara satu sama lain tentang pelaksanaan ibadah haji dan umrah yang pertama dalam hidup kami agar ianya dapat dijalankan dengan sebaiknya. Kenalan-kenalan baru dari Tajikistan dan Tunisia juga menjadi rujukan saya.

Kadangkala kami keluar ke tingkat atas menyaksikan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT melalui laut ciptaanNya yang luas terbentang. Ketika itu, terasa benar betapa kerdil dan dhoifnya diri ini. Semasa berada di pelabuhan, mata saya menganggap kapal yang kami naiki ini gagah dan besar saiznya, tetapi setelah berada di tengah-tengah laut, tiba-tiba saiz kapal ini ‘mengecil’. Jarang benar, kami dapat melihat kapal-kapal lain yang berlayar dan jikalau ada pun, nun jauh di sana sayup mata memandang.

Ada suatu ketika, kami langsung tidak nampak apa-apa melainkan warna biru sahaja. Biru air laut dan biru langit. Apa pun tiada. Ya Allah, kecut perut dibuatnya. Terasa semacam berada di alam yang lain. Line handphone juga sudah tiada. Walau bagaimanapun, kerisauan itu tidak keterlaluan kerana selalu ingat bahawa kami sedang bermusafir dengan niat yang sangat suci dan murni insya Allah. Maka, apa pun badai yang akan menguji kami dalam perjalanan ini, pastinya merupakan suatu rahmat ilahi. Bukankah Nabi SAW pernah bersabda;

جهاد الكبير والصغير والضعيف والمرأة الحج والعمرة

Maksudnya lebih kurang, “Jihad bagi orang tua / dewasa, muda / kanak-kanak, golongan yang lemah dan perempuan adalah (dengan menunaikan ibadah) haji dan umrah” – Sunan An-Nasa’ie.

Sempat juga otak ini teringat firman Allah SWT yang berbunyi:

قل لو كان البحر مدادا لكلمات ربي لنفد البحر قبل أن تنفد كلمات ربي ولو جئنا بمثله مددا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimat-kalimat Tuhanku, walaupun Kami (Allah SWT) tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan” (Al-Kahfi:109)

Luasnya lautan di muka bumi ini, amat luas lagi ilmu Allah SWT yang telah menjadikan alam dan seluruh isinya ini dengan SEKALI ciptaan sahaja termasuklah lautan. Kita biasa mendengar perumpamaan sebilah jarum yang sangat kecil saiznya dimasukkan ke dalam air laut lalu diangkat. Adakah air yang melekat di jarum itu telah mengurangkan kandungan air di laut? Jawapannya, sudah tentu sekali-kali tidak !

Perasaan gerun dan bimbang tiba-tiba menyelubungi diri sekali lagi tatkala mengenangkan diri yang banyak melakukan dosa dan kesilapan. Risau apabila teringat cerita-cerita dalam majalah Mastika, Hidayah dan yang seumpamanya. Bagaimana nasibku setelah tiba di Tanah Haram sana nanti?

“Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku”. Kalimah istighfar sentiasa membasahi bibir.

Pada hari kedua, pelayaran kami sedikit memeritkan apabila kapal bergoncang kuat dilanda badai. Gelora dan angin laut bertiup kencang. Selama ini saya hanya melihat di kaca televisyen, akhirnya dapat merasa dan menyaksikannya dengan mata kepala sendiri. Namun begitu, kami dimaklumkan goncangan ini masih bersifat sederhana dan biasa. Biasa bagi mereka yang sudah biasa! Kepala terasa berpinar tetapi alhamdulillah masih terkawal.

Setelah dimaklumkan oleh krew kapal, bahawa kami akan memasuki kawasan miqat, maka persiapan seperti mandi sunat, memakai pakaian ihram dan solat sunat mula dilakukan. Air mata laju mengalir sebaik sahaja lafaz

لبيك اللهم لبيك، لبيك لا شريك لك لبيك، إن الحمد والنعمة لك والملك، لا شريك لك

meniti di bibir menandakan ibadah kami ke tanah suci sudah bermula.

Kulupakan laut yang bergelombang, kerana debaran di dalam dada semakin kencang, mulut sudah ‘tiada selera’ untuk bersembang, jumlah talbiah sudah tidak terbilang, mushaf Al-Quran serta kitab rujukan sentiasa dipandang, lambaian Ka’bah terus terbayang-bayang, dan rindu terhadap Rasulullah SAW semarak membahang.

Apabila kilauan lampu di Pelabuhan Jeddah sudah kelihatan, .... insya Allah bersambung di edisi akan datang.

1 comment:

ghost_MaR said...

TAHNIAH !!! Anda terpilih untuk kategori : SIHAT , KULIT BERSIH , GIGI BAIK & CUKUP UMUR ... Anda akan diambil dari rumah ...Nantikan kami Jawatankuasa Qurban Masjid Berhantu ... GOTCHA , SALAM AIDILADHA ... heheh

klu nk kad ry , meh dtg amek kt istana berhantu beta ...