Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.
Jiwa yang tidak membaca Al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa Al-Quran segalanya tidak bermakna.

25 July, 2010

Sebuah Seloka: "KITA DAN AURAT"


Tutup aurat satu tuntutan,
Dalam keluarga wajib tekankan,
Kalau tak ikut gunalah rotan,

Demi melaksanakan perintah Tuhan.

Aurat ditutup mestilah lengkap,
Tudung litup termasuk skap,
Mini telekong pun orang cakap,

Elok dipandang tak payahpun 'make up'.


Sekurang-kurangnya berbaju kurung,
Lebih elok jubah mengurung,

Kaki pula mesti bersarung,
Ditumit kaki syaitan bertarung.

Kalau wanita menutup aurat,

Orang jahat tak berani ngorat,
Bahkan boleh menjadi ubat,
Orang memandang boleh bertaubat.


Pakaian modern(?) memanglah hebat,
Harganya mahal walaupun ketat,
Walaupun cantik tetapi singkat,

Orang memakaipun nampak pusat.

Berseluar ketat bajupun ketat,

Jarangnya pulak boleh dilihat,
Orang yang memakai terus dilaknat,

Oleh Allah, Rasul dan Malaikat.


Apa yang aneh bila dipandang,

Lengan pendek tapi bertudung,
Nampak seperti orang yang kudung,

Mata terpandang kaki tersandung

Lagilah aneh bila difikir,

Baju kebaya tudung berukir,

Nampak dada iman terjungkir,
Kain terbelah peha terukir.


Bila ditanya kenapa begitu,
Dia kata fesyennya dah macam tu,
Di dalam hati niat tertentu,

Menggoda jantan sudahlah tentu.

Menutup aurat boleh berfesyen,
Tetapi jangan menunjuk eksyen,
Sesuaikan diri ikut profesyen,
Kalau dilaknat tak guna sesen.

Kalau nak "Make Up" biarlah padan,
Jangan terlebih bila berdandan,
Minyak wangi cuba elakkan,
Bedak dan gincu sekadar keperluan.

Kasut tinggi cuba jauhi,
Kerana ia melahirkan bunyi,
Boleh menarik perhatian lelaki,
Perbuatan ini dibenci Ilahi.

Apatah lagi menghentakkan kaki,
Menarik perhatian orang laki-laki,
Melenggok punggung menggoda hati,
Ustaz melihat pun separuh mati.

Buat apa nak tayang jambul,
Kecantikan tak usah ditonjol-tonjol,
Mahkota disimpan tak jadi bisol,
Memakai tudung Islam tersimbol.

Selokaku ini bukanlah jahat,
Cuma saja mahu peringat,
Kepada semua para sahabat,
Terutama sekali rakan sejawat.

Kalau nak ikut nasihat ini,
Jangan bertangguh ubahlah diri,
Benda yang baik tak payah diuji,
Akan terserlah akhlak terpuji.

Kepada semua kawan lelaki,
Jangan tergelak wanita diperli,
Keluarga kita tak terkecuali,
Terutama sekali anak dan bini.

Sudahkah kita tanamkan iman,
Menutup aurat sepanjang badan,
Ke sana sini dilindungi Tuhan,
Keluarga menjadi contoh teladan.

Setakat ini seloka kami,
Harap dapat menghibur hati,
Yang baik bolehlah anda ikuti,
Kalau boleh besok mulai.

Sekian Terima(lah) Kasih,

06 July, 2010

DI SEBALIK AKAL INSAN

Manusia atau insan sebenarnya adalah salah satu spesis haiwan atau binatang. Manusia memiliki ciri-ciri yang sama pada haiwan seperti makhluk yang hidup, mempunyai pancaindera, membesar, mencari makanan, bergerak dan memiliki sebab serta keinginan yang kuat untuk terus hidup, bersaing, bersetubuh atau bersenyawa dan sebagainya. Malah sepertimana manusia mempunyai perasaan, begitu juga pada haiwan.


Namun begitu, manusia adalah haiwan yang pelik kerana ia memiliki banyak perkara yang tiada pada haiwan-haiwan yang lain. Apa yang menarik perhatian lagi, jika kita lihat dari sudut biologi, hakikatnya manusia adalah haiwan yang sangat lemah dan tidak akan mampu untuk menguasai dunia. Bahkan, boleh dikatakan bahawa manusia adalah haiwan yang ‘malang’. Senjata-senjata semulajadi seperti keupayaan untuk memperdaya, mencakar, mencengkam dan pandangan yang tajam tiada pada manusia. Kekuatan jasmaninya juga tidak seberapa. Manusia tidak mampu untuk berlari atau berenang sepantas sebahagian haiwan. Apatah lagi untuk terbang !


Kelahirannya yang ‘telanjang’ dan tidak berpakaian akan mendedahkannya kepada kematian kerana kesejukan atau kepanasan ataupun apa jua sebab yang lain, berbeza dengan haiwan-haiwan yang tidak memerlukan pakaian. Sepatutnya dengan kelemahan dan kekurangan ini, sudah lama manusia pupus persis haiwan-haiwan lain yang telah pupus !


Akan tetapi realitinya bukan sedemikian rupa. Manusia adalah ‘penghulu semulajadi’. Manusia mampu menguasai dan memanipulasi sebahagian haiwan yang berbahaya dengan mudah, menangkapnya dan menjadikannya sebagai ‘hamba’ untuk berkhidmat kepada manusia.

Mengapa terjadi begini? Jawapannya diketahui oleh kita semua. Ya, manusia dikurniakan akal. Walaupun manusia adalah haiwan yang lemah tetapi ia kaya dengan senjata yang menggerunkan iaitu kepintaran dan kebijakannya. Benar, terdapat kepintaran pada beruk, anjing, ikan dolfin dan gajah, namun tahapnya adalah terhad. Maka, keadaan ini membolehkan manusia menguasai dunia.

Keistimewaan-keistimewaan manusia yang tiada pada haiwan lain adalah seperti teknik penggunaan alat-alat yang dicipta olehnya sendiri. Seterusnya mewarisi apa jua tinggalan generasi sebelumnya, samada dari segi bahasa, mahupun cara hidup yang diperolehi melalui pembelajaran. Kemudian daripada warisan inilah manusia boleh memajukan potensi dirinya dengan terus belajar kerana manusia mampu untuk mereka-cipta ataupun membuat pembaharuan. Manakala kebolehan manusia untuk berfikir juga sangat berbeza dan istimewa kerana ia sentiasa memerah otak seperti mengira, membuat pemerhatian terhadap alam luaran hatta terhadap lolongan suara hati dan gejolak perasaan dirinya sendiri. Manusia adalah satu-satunya haiwan yang benar-benar sedar bahawa suatu hari nanti ia pasti akan mati. Berbeza dengan haiwan yang lain, ia akan meneruskan diari hariannya dengan rutin yang sama iaitu mendapatkan makanan untuk terus hidup. Tiada motif lain bagi haiwan ini selain memenuhi keperluan perutnya sahaja. Sedangkan manusia pula tidak pernah berasa puas dengan apa yang ada. Bukti yang paling nyata ialah apabila manusia mencipta ‘duit’ atau ‘wang’ untuk terus mengisi tuntutan dan kehendaknya yang tiada berkesudahan.


INSAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Islam melihat insan ini sebagai khalifah Allah di muka bumi. Firman Allah swt: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. (al-Baqarah: 30)


Khalifah di sini bermaksud; seorang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarkan kepada wahyu dan syariat Allah, supaya kehidupan itu teratur dan mempunyai tujuan-tujuan hidup yang suci murni untuk mencapai keredhaan Allah swt.


Allah swt telah melebihkan manusia berbanding makhluk-makhlukNya yang lain dan seterusnya memuliakan manusia dengan firmanNya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah berikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (al-Israa’: 70)

Allah swt memuliakan manusia dengan menjadikan mereka dalam bentuk yang seelok-eloknya, pandai berkata-kata, berakal fikiran, sehingga dapat menguasai dunia dan isinya. Sebab itu, sudah semestinya mereka bersyukur dengan nikmat-nikmat Allah yang besar itu, dengan beribadat kepadaNya dan menjauhi perbuatan syirik.


Di sebalik kemuliaan ini, Allah swt telah memberikan suatu amanah yang besar kepada manusia dan ia akan dipersoalkan nanti. Allah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah Kami kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tiada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya.” (al-Ahzaab: 72)


Lantaran daripada tugasan ini, Allah swt telah menyediakan apa-apa yang ada di muka bumi untuk kemudahan dan kegunaan manusia. Firman Allah swt: “Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi (semuanya sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.” (al-Jaathiyah: 13)


Oleh sebab itu, berfikir, meneliti, mengkaji, dan merenung serta bersikap sensitif adalah sesuatu yang mesti ada dalam benak fikiran manusia. Tidak sewajarnya manusia bersikap berpeluk tubuh, tidak mengambil endah dan peduli terhadap alam sekelilingnya. Caranya adalah dengan memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh Allah swt ini untuk kebaikan, maslahat dan kebajikan manusia. Wasilahnya pula adalah dengan ilmu pengetahuan dan kefahaman. Natijah daripada ilmu itu pula akan menaikkan darjat manusia samada dari segi material mahupun rohani. Allah swt berfirman: “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar.” (al-Fussilat: 53)


Antara intipati daripada ayat ini adalah; ia ditujukan secara umum kepada umat manusia, terutama golongan yang ingkar, bahawa Allah swt akan memperlihatkan kepada mereka dari masa ke semasa, sesuai dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan kemajuan manusia - dalil-dalil yang membuktikan kekuasaan Allah dan keesaanNya yang terdapat di merata-rata alam langit dan bumi serta pada diri mereka sendiri, dari perkara-perkara yang sangat menakjubkan yang menimbulkan iman dan yakin. Dengan itu akan jelaslah kepada mereka bahawa apa yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad saw itu adalah benar.


Konklusinya, kita sepatutnya mengkoreksi diri dengan mengingati matlamat asal kejadian insan di alam ini dan mensyukuri nikmat akal kurniaan Tuhan dengan mengakui bahawa Islam adalah landasan kehidupan yang hakiki, di samping menjalankan amanah khalifah yang terpundak sebaiknya.

24 June, 2010

Geografi dalam Islam

Umat Islam terdahulu amat mengambil berat tentang ilmu geografi memandangkan kepentingannya dari segi pelayaran untuk tujuan ibadat haji dan menuntut ilmu serta motif perniagaan. Al-Maqdisi (wafat 388H) dalam kitabnya أحسن التقاسيم في معرفة الأقاليم mengatakan bahawa Ilmu Geografi adalah suatu ilmu yang mesti dipelajari oleh para musafir dan ahli perniagaan. Begitu juga dengan orang-orang soleh dan yang baik-baik kerana ia adalah ilmu yang diminati oleh para raja dan pembesar, dituntut oleh para qadhi dan fuqaha’, dicintai oleh orang-orang awam dan para pemimpin, bahkan sangat memberi manfaat kepada para peniaga dan pengembara.

Sepertimana yang kita maklum, Islam menggalakkan umatnya agar bermusafir dan mengembara, kerana manfaatnya yang luas terutama dari sudut ilmu dan mencari rezeki. Malahan sejak dahulu lagi, kerajaan-kerajaan Islam telah berusaha menyediakan al-khaanah, al-wukaalah, dan al-funduq yang kita sebut sekarang sebagai tempat persinggahan dan istirehat bagi para ahli perniagaan dan musafir. Juga turut dibina ‘rumah api’ di tepian pantai agar menjadi panduan kepada para pelayar di lautan.

Bermulanya aktiviti pelayaran Islam sekitar pertengahan kurun ketiga Hijrah kesembilan Masihi oleh seorang peniaga yang bernama Sulaiman Al-Baar. Beliau telah belayar hingga ke Negara India dan China di samping mencatatkan segala peristiwa yang berlaku dan keadaan penduduk yang dilawatinya. Hasil catatannya itu telah cetak dan diedarkan di Perancis pada tahun 1922.

Nama-nama seperti Ibnu Jubair dari Maghribi @ Marocco, Al-Ya’qubi penulis kitab البلدان, Ibnu Khardazibah penulis المسالك والممالك , Al-Mas’udi penulis مروج الذهب ومعادن الجوهر , Al-Maqdisi penulis أحسن التقاسيم في معرفة الأقاليم , Al-Hauqal penulis صورة الأرض , Al-Hamadzaani penulis صفة جزيرة العرب , Al-Syarif Al-Idrisi penulis kitab نزهة المشتاق في ذكر الأمصار والأقطار والبلدان والجزر والمدائن والآفاق , Yaaqut Al-Himawi penulisمعجم البلدان dan ramai lagi adalah contoh ahli pelayaran Islam yang telah meninggalkan banyak kesan positif dalam ilmu geografi. Mereka telah memperbetulkan banyak kesilapan yang dilakukan oleh Batlimus Alexander dan lain-lain yang terdahulu. Mereka turut menambah maklumat baharu tentang bentuk muka bumi dan menghuraikan beberapa fakta geografi secara ilmiah. Sebagai contoh, fakta yang paling jelas adalah apabila dinyatakan bahawa sebenarnya bentuk bumi ini adalah bulat. Buktinya ialah matahari tidak terbit dan menerangi seluruh alam dalam satu waktu atau secara serentak.

Al-Syarif Al-Idrisi adalah orang yang pertama melukis peta dunia di atas bebola besar yang diperbuat daripada perak. Kini ia dikenali sebagai ‘glob’. Ahli pelayaran Islam juga adalah orang yang pertama berusaha menggunakan kompas ketika mengelilingi dunia sebelum zaman Christopher Columbus, walaupun sebenarnya kompas itu adalah hasil rekaan orang-orang China. Selain daripada itu, lakaran peta Sungai Nil yang dibuat oleh Al-Idrisi juga kini disimpan di salah sebuah muzium di Perancis.

Hal ini membuktikan kepada kita bahawa umat Islam dahulu lebih awal mengetahui tentang ilmu bentuk muka bumi melalui pelayaran mengelilingi dunia. Dicatatkan bahawa suatu ketika salah satu kumpulan pelayaran Islam ini pernah ditangkap oleh kerana masalah bahasa komunikasi. Sehinggalah apabila tiba seorang penterjemah Arab barulah mereka menyedari bahawa mereka telah berada di salah sebuah kepulauan Amerika. Lebih mengejutkan lagi, sebenarnya Christopher Columbus telah membuat pembacaan terlebih dahulu terhadap beberapa hasil karya geografi Arab dan mengkaji peta-peta yang telah dilukis oleh orang-orang Islam sebelum beliau memulakan pelayarannya yang akhirnya menyebabkan beliau sampai ke kawasan Amerika Tengah.

Inilah dia salah satu contoh tamadun dan kemajuan Islam yang telah dimanfaatkan oleh segenap pelusuk masyarakat dunia hingga ke saat ini. Malangnya kita sebagai umat Islam akhir zaman lebih mengagumi orang-orang bukan Islam daripada barat sebagai contoh tauladan pembina tamadun dunia.

08 June, 2010

Al-Quran dan Islam Dari Kaca Mata Barat

AL-QURAN diturunkan sebagai mukjizat kepada Rasulullah saw untuk dijadikan panduan semua manusia. Ia mengandungi pelbagai sistem kehidupan yang bersesuaian dengan fitrah manusia. Al-Quran bukan hanya untuk bangsa Arab walaupun ditulis dalam Bahasa Arab. Al-Quran adalah kitab yang agung untuk umat Islam. Membacanya adalah ibadah manakala mengamalkannya satu kewajipan.

Firman Allah swt bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang lurus dan memberi berita gembira kepada orang mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.” – (al-Isra’ 17:9)

Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku.” – (Riwayat Abu Daud)

Namun, al-Quran adalah kitab yang digeruni orang Eropah (bukan Islam). Mereka berasakan kitab ini amat berbahaya. Orientalis adalah puak yang menakut-nakutkan dunia Barat dengan ‘bahaya’ al-Quran, iaitu kumpulan yang ditundukkan oleh kemahuan individu dan tujuan politik yang bertanggungjawab untuk mendedahkan bahaya al-Quran melalui kajian yang dianggap ilmiah. Usaha mereka itu betul tetapi disesatkan dengan berbagai cara.

Ketika golongan ini mengkaji al-Quran secara mendalam dan diamati dasarnya yang asas, keistimewaan yang unggul ternyata di dalamnya seperti seruan untuk bersatu, berpegang kuat dengan tali Allah, bekerjasama untuk kebaikan, meningkatkan ketakwaan, peringatan dari kezaliman, melarang mengejek orang lain atau mengintai-intai, peringatan supaya tidak mengumpat, mengadu domba, gesaan kepada sifat benar, amanah, adil, menepati janji, gesaan mencari ilmu dan melepaskan diri daripada kejahilan serta peraturan bagaimana menangani kehidupan di dunia ini.

Apabila perkara ini diketahui, orientalis cuba untuk menutup hakikat ini dan menjauhkan orang Islam daripadanya. Mereka segera memberitahu kepada para penjajah bahawa al-Quran ini adalah kitab yang berbahaya bagi mereka. Ini kerana al-Quran mengandungi dasar yang akan membangun dan menundukkan dunia sekiranya dapat difahami ajarannya dan dipraktikkan, justeru pengikutnya akan menguasai muka bumi ini.

Ini bermakna umat Islam, jika mengetahui kitab mereka dengan sebenar-benar makrifah dan dilaksanakan dengan sempurna, maka penjajah akan menerima kecelakaan. Oleh itu, mereka sentiasa berusaha bersungguh-sungguh supaya al-Quran tidak diketahui dan dasarnya terpisah daripada orang Islam serta tidak boleh dipraktikkan.

Barat berasa takut dan gementar apabila adanya semangat Islam di setiap tempat di dunia atau sekarang dikenali sebagai kebangkitan Islam. Sekiranya dirancang dengan teratur dan rapi, ia akan kembali kepada al-Quran, justeru menanamkan semangat dan ketinggian di hati umat untuk menentang musuh Islam. Inilah perkara yang mengancam kepentingan Barat di dunia Islam. Sebagaimana firman Allah swt bermaksud: “Kamu (umat Islam) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan dan beriman kepada Allah.” – (al-Imran: 110)

Media Timur dan Barat berusaha menggambarkan gerakan Islam di dunia Islam sebagai pelampau, ekstrim, fanatik, mundur, taksub, pengganas dan semua istilah yang seumpamanya. Dunia Barat dan Timur bersepakat agar Islam jangan bangkit lagi tetapi orang Islam tidak sedar hakikat ini. Usaha dijalankan supaya pandangan orang Islam berubah, dengan beranggapan bahawa untuk menyelamatkan umat Islam mestilah mengikut cara sekular Barat, dengan itu dakwah daripada orientalis akan melangkah untuk memperbaiki Islam.

Islam pada anggapan mereka adalah agama yang beku dan tidak selaras dengan zaman moden manakala seruan yang ditujukan kepada umat Islam adalah sesuatu yang asing tetapi mereka mesti melakukannya untuk agama. Dakwaan itu adalah percubaan untuk mengubah pandangan orang Islam terhadap Islam dan menjadikan Islam lebih hampir kepada orang Kristian setakat yang boleh.

Sebahagian masyarakat Islam telah terpengaruh dengan fahaman orientalis ini, sebagai contoh buku yang dikeluarkan di Jerman pada tahun 1981 bertajuk Azmat al-Islam al-Hadith (Krisis Islam Sekarang). Buku ini dihasilkan oleh pengarang Islam Arab yang bertugas sebagai profesor di Universiti Jerman, menyeru dengan bersemangat sekali agar mengambil contoh Barat dalam usaha untuk menjadikan agama sebagai ajaran akhlak, bukan ajaran yang berbentuk tanggungjawab yang mesti dipatuhi. Pada pendapatnya, itulah satu cara untuk menyelesaikan krisis Islam, justeru dapat memisahkan agama dengan urusan kehidupan mengikut bentuk sekular Barat. Jika dilihat pada masa sekarang, fahaman ini semakin menular di kalangan masyarakat Islam khasnya. Di setengah negara Islam sekular, sudah ada yang melayani pemikiran Islam seperti melalui pemikiran Mark kerana anggapan mereka, Islam adalah berbahaya dan wajib diperangi serta dihukum pendakwahnya.

Penjajah telah membuat perancangan rapi untuk melemahkan Islam dan menjauhkan mereka daripada dasar Islam. Ia akan menghalang apa saja percubaan untuk menyatupadukan semua umat Islam sekali lagi. Penjajah mendapati umat Islam sendiri yang merelakan diri mereka untuk dijadikan alat bagi tujuan penjajah itu. Kita tidak akan menemui kenyataan itu daripada mulut mereka tetapi inilah yang tercatat di dalam watikah rahsia penjajah sendiri.

Politik orientalis yang menyokong Arab di dalam peperangan yang besar (yang pertama) hanya semata-mata satu strategi untuk menghancurkan kekuatan Turki. Malah, ia juga sebagai strategi untuk memisahkan penguasaannya terhadap dua bandar suci, Makkah dan Madinah, daripada Khilafah Uthmaniyah yang memerintah pada waktu itu.

Perkara yang paling menggembirakan orientalis ialah Kamal Ataturk tidak hanya meletakkan pembaharuan yang jauh kesannya malah akhirnya menolak lambang Turki sebagai negara Islam. Benarlah sebagaimana firman Allah swt bermaksud: “Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah: Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk sebenar. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” – (al-Baqarah: 120)

Ayat ini dikuatkan lagi dengan hadis Rasulullah saw bermaksud: “Kamu akan mengikut tatacara orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga walaupun mereka itu masuk ke lubang biawak, kamu turut sama ke dalamnya.” Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah (yang dimaksudkan) mereka itu Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab: “Siapa lagi?” – (Riwayat Muslim)

Walaupun terdapat celaan dan cacian, propaganda serta diserang dengan bermacam tuduhan, terutama daripada mereka yang memusuhi Islam, mujur masih ada ahli fikir Barat atau orientalis yang tidak sempit hatinya mahu menyelami Islam dan jiwa junjungan kita, Nabi Muhammad saw. Mereka mengkaji sejarah umat yang dihidupkan oleh tuntutan wahyu Ilahi itu, seperti Thomas Carlyle, mengaku bahawa Nabi Muhammad itu bukan orang biasa dan al-Quran itu bukan suatu hasil kesusasteraan belaka.

Edward Gibbon (1737-1794), seorang ahli sejarah Inggeris, berkata mengenai al-Quran seperti berikut: “Al-Quran itu adalah sebuah kitab agama, kitab kemajuan, kenegaraan, persaudaraan dan perundangan. Al-Quran mengandungi isi yang lengkap, daripada urusan ibadat, akidah, akhlak hingga pekerjaan sehari-hari dan daripada urusan rohani hingga jasmani seterusnya. Ia juga menerangkan segala pembalasan atas amalan manusia. Sebab itu amat besar perbezaan al-Quran dengan Bible. Dalam Bible, tidak ada peraturan yang berhubung keduniaan melainkan cerita untuk penyucian diri. Bible tidak boleh menandingi al-Quran kerana al-Quran bukan sahaja menerangkan kaitan amalan keagamaan, bahkan mengupas asas politik kenegaraan. Al-Quran menjadi sumber undang-undang dasar memutuskan semua perkara yang berhubung dengan material kejiwaan.”

Ini adalah antara pandangan cendikiawan Barat yang mengkaji al-Quran berdasarkan fahaman yang benar. Firman Allah swt bermaksud: “Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran dan Kami-lah yang memelihara dan menjaganya.” – (al-Hijr: 9)

Ayat ini adalah jaminan daripada Allah swt bahawa al-Quran tetap akan terpelihara daripada sebarang perubahan dan akan terus kekal hingga ke hari kiamat. Oleh itu, umat Islam perlu sedar hakikat ini supaya mereka mengkaji al-Quran dan menghayati kandungannya, lebih-lebih lagi pada era globalisasi ini supaya kita tidak tertipu dengan dakyah yang dibawa musuh Islam.